Topic followed successfully
Go to BHkuPengunjung ke AS perlu kuarantin; pelitup wajib bila naiki pesawat, kenderaan
Pengunjung ke AS perlu kuarantin; pelitup wajib bila naiki pesawat, kenderaan
Presiden Biden umum peraturan lebih ketat yang disifatkan ibarat 'janji pada zaman perang' dalam usaha tangani penularan koronavirus
Pengunjung ke AS perlu kuarantin; pelitup wajib bila naiki pesawat, kenderaan
WASHINGTON: Pelancong ke Amerika Syarikat perlu menjalani kuarantin apabila tiba ke negara itu, manakala pemakaian pelitup muka diwajibkan di dalam kebanyakan kereta api, pesawat dan bas.
Presiden Joe Biden mengumumkan perkara itu kelmarin, selepas menandatangani sejumlah perintah eksekutif, termasuk arahan dan tindakan segera bagi menangani pandemik Covid-19.
Presiden ke-46 itu menjadikan usaha menangani jangkitan dan membendung penularan koronavirus sebagai antara keutamaannya, menyifatkan perkara itu sebagai "janji pada zaman perang", ketika bercakap kepada wartawan dari Pejabat Bujur.
Lebih 420,000 penduduk Amerika Syarikat terkorban akibat wabak itu - lebih daripada kematian anggota tentera Amerika yang direkodkan negara itu ketika Perang Dunia Kedua - sedang perangkaan Worldometers menunjukkan jumlah kes mencapai hampir 25.2 juta dengan 15.1 juta pesakit telah pun pulih setakat 2 petang semalam.
California (3,103,836 kes) dan Texas (2,214,767 kes) merupakan dua negeri yang menghadapi jumlah kes tertinggi dengan masing-masing mencatat 35,766 dan 34,165 kematian sejauh ini.
"Selain pemakaian pelitup muka, semua orang yang terbang ke Amerika dari negara lain perlu menjalani ujian saringan sebelum menaiki pesawat, sebelum berlepas dan dikuarantin apabila tiba ke Amerika," katanya.
Syarat melaksanakan ujian saringan itu pernah diumumkan oleh pentadbiran mantan Presiden Donald Trump, namun kuarantin hanya digalakkan.
Arahan terbaru Encik Biden itu dibuat sedang lebih banyak varian baru virus itu yang lebih mudah berjangkit dikesan di seluruh dunia, antaranya mutasi dari Afrika Selatan yang mencetus kebimbangan mengenai keberkesanan vaksin.
Encik Biden memaklumkan sudah menandatangani arahan baru untuk memperluas peraturan pemakaian pelitup muka bagi perjalanan antara negeri menerusi kereta api, kapal terbang dan bas.
Langkah itu adalah sebahagian daripada strategi kebangsaan Encik Biden dalam dokumen setebal 200 halaman, yang antaranya menggariskan jangkaan vaksinasi, ujian, pelajar kembali ke sekolah dan membina kembali kepercayaan dengan orang ramai.
Presiden Biden turut meminta peruntukan AS$1.9 trilion ($2.52 trilion) daripada Kongres untuk pakej bantuan Covid-19.
Pentadbiran Parti Demokrat itu juga mahu melaksanakan undang-undang kecemasan dipanggil Akta Pertahanan Penghasilan, untuk meningkatkan pengeluaran vaksin dan perubatan lain oleh industri, serta mewujudkan ribuan lagi pusat ujian saringan Covid-19.
Encik Biden menjangka program vaksinasi farmasi persekutuan bermula "menjelang 7 atau 8 Februari".
Dalam pada itu kempen mendorong orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 menghadapi hambatan apabila sejumlah negeri di Amerika dilaporkan kehabisan vaksin.
Akibatnya, puluhan ribu yang telah membuat janji temu vaksinasi terpaksa dibatalkan.
Datuk Bandar New York Bill De Blasio berkata 15 pusat vaksinasi di bandar ditutup kerana ketiadaan dos yang mencukupi.
Jabatan Polis New York mengumumkan pada Rabu lalu bahawa mereka menangguhkan vaksinasi bagi dos pertama untuk para pegawainya.
"Ini semua mengenai bekalan dan keupayaan bekalan. Kami mahu ia terus beroperasi dan kami mahu banyak daripadanya beroperasi 24/7.
"Permintaan ada. Kami mempunyai kakitangan; kami mempunyai lokasi. Kami hanya memerlukan vaksin," katanya.
Syarikat Pfizer serta pembuat vaksin lain yang digunakan di Amerika mendakwa pihaknya memenuhi jumlah pesanan yang dilakukan pemerintah sejak dua minggu lalu.
Pfizer berkata mereka sedang berusaha menambah jutaan dos setiap hari dan tiada masalah untuk mencapai komitmennya untuk menghasilkan 200 juta vaksin menjelang akhir Julai ini. - AFP.

