VIRGINIA (Amerika Syarikat): Pihak berkuasa kelmarin telah mengenalpasti mangsa yang terbunuh dalam satu kejadian tembak di sebuah kedai Walmart di Chesapeake, Virginia. Mereka dalam lingkungan umur 16 hingga 70 tahun.
Seorang pengurus di kedai itu melepaskan tembakan ke arah rakan sekerja di bilik rehat, membunuh enam orang sebelum membunuh dirinya sendiri.
Pengurus tersebut dikenali sebagai Andre Bing, 31 tahun, dari Chesapeake, Virginia. Dia tidak berkata apa-apa ketika dia mula menembak pekerja yang berkumpul lewat Selasa sebelum kerja malam mereka.
"Kami sedih untuk mengumumkan nama mereka yang telah mati pada petang Selasa tetapi berharap de-ngan maklumat ini kami dapat menghormati kehidupan mereka dalam masyarakat kami," kata pihak berkuasa di laman web bandar Chesapeake.
Mangsa paling muda ialah seo-rang remaja lelaki berusia 16 tahun, yang namanya tidak didedahkan kerana masih di bawah umur.
Encik Randall Blevins, 70 tahun, ialah mangsa tertua. Sepupu Encik Blevins menulis di Facebook bahawa beliau telah bekerja di Walmart bertahun lamanya dan merancang untuk bersara tahun depan.
Mangsa lain ialah Encik Lorenzo Gamble, 43 tahun; Encik Brian Pendleton, 38 tahun; Cik Kellie Pyle, 52 tahun; dan Cik Tyneka Johnson, 22 tahun.
Keluarga Cik Johnson telah menulis satu hantaran dalam talian merayu kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat selepas tembakan berlaku. Mereka kemudian mengesahkan kematiannya kepada media tempatan. Seorang saudara menyifatkan Cik Johnson sebagai "orang paling baik, yang tidak pernah mengganggu sesiapa pun."
Cik Pyle mengumumkan di Facebooknya pada 1 November lalu bahawa beliau sedang menjalin hubungan dengan Encik Brian Baker. Pada pagi Rabu, Encik Baker menyiarkan gambar pasangan itu di Facebook dengan mesej: "Sehingga kita bertemu lagi sayangku." - Reuters.