Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjara seumur hidup ke atas pengganas Sweden bakar juruterbang hidup-hidup

Aug 1, 2025 | 2:34 PM
FOTO FAIL: Tertuduh Salah Abdeslam, Osama Krayem dan Mohamed Abrini diiringi oleh polis ketika tiba di mahkamah semasa perbicaraan serangan Brussels 2016 di bangunan Justitia, Brussels, pada 3 April 2023.
FOTO FAIL: Tertuduh Salah Abdeslam, Osama Krayem dan Mohamed Abrini diiringi oleh polis ketika tiba di mahkamah semasa perbicaraan serangan Brussels 2016 di bangunan Justitia, Brussels, pada 3 April 2023. - VIA REUTERS

STOCKHOLM: Sebuah mahkamah di Stockholm pada 31 Julai menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas jihadis Sweden, Osama Krayem, atas pembunuhan juruterbang Jordan yang dibakar hidup-hidup oleh kumpulan pengganas ISIS di Syria pada tahun 2015.

Mahkamah Sweden merupakan yang pertama membicarakan individu atas pembunuhan yang mencetuskan kemarahan di seluruh dunia.

Hakim Anna Liljenberg Gullesjo berkata, “siasatan menunjukkan bahawa tertuduh berada di lokasi pelaksanaan hukuman mati, lengkap berpakaian seragam dan bersenjata, serta membenarkan dirinya dirakam.”

Walaupun rakaman video menunjukkan individu lain yang menyalakan api, hakim menyatakan bahawa “tindakan tertuduh telah menyumbang secara signifikan kepada kematian mangsa sehingga dia dianggap sebagai pelaku utama.”

Krayem, yang kini sedang menjalani hukuman penjara panjang atas penglibatannya dalam serangan Paris dan Brussels pada 2015 dan 2016, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas “jenayah perang serius dan jenayah pengganas.”

Pada 24 Disember 2014, sebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja Jordan terhempas di Syria. Juruterbang, Maaz al-Kassasbeh, ditangkap pada hari yang sama oleh pegganas IS berhampiran bandar Raqqa dan dibakar hidup-hidup dalam sebuah sangkar sebelum 3 Februari 2015, apabila video pembunuhan kejam itu diterbitkan, menurut pihak pendakwa.

Hakim Gullesjo berkata tindakan Krayem termasuk “menjaga mangsa sebelum dan semasa pelaksanaan hukuman, serta membawanya ke sangkar di mana dia dibakar hidup-hidup.”
Mahkamah turut memerintahkan pampasan kepada ibu bapa dan adik-beradik juruterbang Jordan itu, masing-masing berjumlah 80,000 kronor Sweden (S$10,605).

Pendakwa masih belum dapat menentukan tarikh sebenar pembunuhan itu, tetapi siasatan telah mengenal pasti lokasi kejadian.

Krayem berusia 32 tahun itu berdiam diri sepanjang perbicaraan yang berlangsung dari 4 hingga 26 Jun, walaupun beberapa segmen soal siasat bersama Krayem yang dilakukan semasa siasatan dibacakan dan dimainkan di mahkamah.

Fakta bahawa tertuduh tidak memberi keterangan “tidak menjejaskan keputusan secara signifikan kerana pihak pendakwaan mengemukakan bukti kukuh dan siasatan yang menyeluruh,” kata Hakim Gullesjo kepada AFP.

Menurut peguamnya, Krayem mendakwa beliau hanya berada di lokasi selama 15 hingga 20 minit dan tidak mengetahui apa yang akan berlaku sehinggalah dia melihat kamera.

“Keputusan ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada keluarga,” kata saudara mangsa, Encik Jawdat al-Kassasbeh, yang menjadi pihak sivil dalam kes itu, kepada AFP. “Kami berterima kasih kepada Sweden dan badan kehakiman Sweden yang adil atas usaha mereka dalam membicarakan kes ini,” tambahnya.

Beliau datang dari Jordan untuk memberi keterangan tentang kesakitan yang masih dirasai oleh keluarganya.

Peguam keluarga al-Kassasbeh menyatakan kekecewaan terhadap Krayem kerana tidak menunjukkan empati atau rasa bersalah atas tindakannya.

“Kebanyakan orang yang menyaksikan apa yang dialami oleh Maaz pastinya memerlukan rawatan jangka panjang untuk mengatasi trauma tersebut,” kata Encik Mikael Westerlund kepada mahkamah.

“Krayem pula tidak kelihatan trauma, sebaliknya seperti mendapat inspirasi. Inspirasi untuk terus melakukan kegiatan pengganas, yang akhirnya membawa kepada penglibatannya dan sabitan atas serangan pengganas di Eropah,” tambah Encik Westerlund.

Krayem, berasal dari Malmoö di selatan Sweden, sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun di Perancis atas peranannya dalam merancang serangan Paris 2015, dan penjara seumur hidup di Belgium atas serangan di lapangan terbang dan stesen metro Brussels pada 2016.

Pada 12 Mac, Perancis bersetuju untuk menyerahkan Krayem kepada Sweden selama sembilan bulan bagi tujuan siasatan dan perbicaraan. Mahkamah Stockholm menyatakan bahawa dia mesti dikembalikan ke Perancis selewat-lewatnya pada 27 Disember.

“Rakyat Jordan tidak akan melupakan jenayah kejam ini,” kata jurucakap kerajaan Jordan, Mohammed Momani kepada AFP. “Keputusan ini adalah langkah penting ke arah keadilan.” - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg