Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk Greenland dipujuk sertai AS guna bayaran tunai

Jan 9, 2026 | 12:46 PM
Tawaran, dolar, Greenland
Bendera Greenland, Erfalasorput, berkibar di hadapan patung H. C. Andersen di Tivoli Castle, Tivoli, Copenhagen, pada 8 Januari 2026. Dalam satu kenyataan bertulis kepada Ritzau, Pengarah Tivoli, Susanne Moerch Koch, berkata isyarat itu merupakan “ungkapan keprihatinan pada saat yang dirasakan sukar oleh ramai pihak”. Menurutnya, Tivoli ingin menunjukkan bahawa mereka sentiasa memikirkan Greenland dan berdiri bersama komuniti yang telah terjalin sejak sekian lama. - Foto EPA

WASHINGTON: Pegawai Amerika Syarikat dilaporkan membincangkan cadangan bayaran sekali gus kepada penduduk Greenland sebagai sebahagian usaha memujuk wilayah itu berpisah daripada Denmark dan berpotensi menyertai Amerika Syarikat, menurut empat sumber yang mengetahui perbincangan dalaman tersebut.

Menurut dua sumber yang meminta identiti mereka dirahsiakan kepada Reuters, jumlah bayaran yang dibincangkan berada dalam lingkungan AS$10,000 ($12,850)  hingga AS$100,000 bagi setiap individu.

Butiran tepat mengenai jumlah akhir, mekanisme pembayaran dan tempoh pelaksanaan masih belum diputuskan.

Idea memberi bayaran secara langsung kepada penduduk Greenland, wilayah seberang laut Denmark dengan kira-kira 57,000 penduduk dilihat sebagai antara pendekatan bagaimana Washington mungkin cuba “membeli” pulau Artik itu, meskipun pihak berkuasa di Copenhagen dan Nuuk berulang kali menegaskan Greenland tidak untuk dijual.

Cadangan itu merupakan sebahagian daripada beberapa pelan yang sedang diteliti Rumah Putih bagi mendapatkan Greenland, termasuk kemungkinan penggunaan kekuatan ketenteraan.

Namun, pendekatan berbentuk urus niaga kewangan berisiko dilihat merendahkan maruah sebuah masyarakat yang sekian lama berdebat tentang masa depan mereka sendiri, termasuk isu kemerdekaan dan kebergantungan ekonomi kepada Denmark.

Perdana Menteri Greenland, Encik Jens-Frederik Nielsen, menolak keras idea penaklukan.

“Cukuplah… tiada lagi fantasi tentang penaklukan,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook pada 4 Januari, selepas Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump sekali lagi menyatakan bahawa Amerika “memerlukan” Greenland.

Kenyataan Encik Trump dan beberapa pegawai Rumah Putih sejak kebelakangan ini mencetuskan reaksi sinis di Copenhagen dan ibu kota Eropah lain, terutama memandangkan Amerika Syarikat dan Denmark adalah sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), yang terikat dengan perjanjian pertahanan bersama.

Pada 6 Januari, Perancis, Jerman, Italy, Poland, Sepanyol, Britain dan Denmark mengeluarkan kenyataan bersama menegaskan bahawa hanya Greenland dan Denmark berhak menentukan masa depan hubungan mereka.

Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt mengakui Encik Trump dan penasihat keselamatan nasionalnya “sedang menilai bagaimana rupa pembelian yang berpotensi”.

Setiausaha Negara Encik Marco Rubio pula berkata beliau akan bertemu rakan sejawatnya dari Denmark minggu depan di Washington bagi membincangkan isu Greenland.

Kedutaan Denmark enggan mengulas, manakala pejabat perwakilan Greenland di Washington tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan komen.

Trump sejak sekian lama berhujah bahawa Amerika Syarikat perlu menguasai Greenland atas beberapa alasan, termasuk kekayaan mineral kritikal untuk aplikasi ketenteraan maju serta kepentingan geopolitik Artik. Sumber yang mengetahui perbincangan dalaman berkata, meskipun idea pembayaran sekali gus bukan baharu, ia menjadi lebih serius dalam beberapa hari kebelakangan ini, dengan jumlah yang lebih tinggi turut dipertimbangkan.

Salah seorang sumber berkata bayaran AS$100,000 bagi setiap individu yang akan menjadikan jumlah keseluruhan hampir AS$6 bilion kini menjadi kemungkinan nyata.

Namun, banyak persoalan masih kabur, termasuk bila dan bagaimana pembayaran itu akan dibuat, serta apa yang diharapkan daripada penduduk Greenland sebagai balasan.

Encik Trump sendiri menegaskan keperluan strategik tersebut. “Kita perlukan Greenland dari sudut keselamatan nasional, dan Denmark tidak akan mampu melakukannya,” katanya kepada wartawan di Air Force One. “Ia sangat strategik.”

Tinjauan pendapat menunjukkan majoriti rakyat Greenland menyokong kemerdekaan, tetapi kebimbangan tentang kos ekonomi berpisah daripada Denmark membuatkan kebanyakan ahli legislatif Greenland berhati-hati untuk menggesa referendum.

Kajian juga mendapati kebanyakan penduduk, meskipun terbuka kepada kemerdekaan, tidak mahu menjadi sebahagian daripada Amerika Syarikat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg