WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump pada 5 November mengumumkan pengurangan 10 peratus trafik udara di 40 lapangan terbang paling sibuk di Amerika Syarikat, langkah yang dijangka memaksa syarikat penerbangan membatalkan ribuan penerbangan ketika penutupan pemerintah berlanjutan.
Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy, berkata keputusan itu bertujuan “mengurangkan tekanan” terhadap pengawal trafik udara yang telah bekerja tanpa gaji sejak penutupan pemerintah bermula pada pertengahan Oktober.
“Pengurangan ini adalah langkah perlu untuk memastikan keselamatan penerbangan kekal terjamin, walaupun dalam keadaan luar biasa,” katanya pada sidang media di Washington.
Menurutnya, senarai lapangan terbang dan pasaran yang terjejas akan diumumkan pada 6 November, dengan pemotongan berkuat kuasa mulai 7 November ketika musim perjalanan paling sibuk tahun ini semakin hampir.
Langkah itu bermakna ratusan ribu penumpang mungkin terpaksa menukar rancangan perjalanan mereka pada saat akhir apabila syarikat penerbangan mengurangkan kapasiti laluan.
Seorang pegawai kanan Jabatan Pengangkutan berkata: “Kami tidak akan menunggu sehingga wujud risiko keselamatan sebenar. Petunjuk awal menunjukkan tindakan segera perlu diambil untuk mengelak masalah lebih besar.”
Penutupan pemerintah yang kini memasuki hari ke-36 telah memberi kesan mendalam terhadap sektor penerbangan. Ribuan pengawal trafik udara terpaksa bekerja lebih masa tanpa gaji, bagi menampung kekurangan kira-kira 3,000 pegawai dalam perkhidmatan 14,000 anggota Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).
Encik Duffy memberi amaran awal minggu ini bahawa jika keadaan berterusan, ia boleh membawa kepada “kekacauan besar-besaran” dan memaksa FAA menutup sebahagian ruang udara negara bagi mengelak risiko keselamatan.
Beliau dan pentadbir FAA, Encik Bryan Bedford, berkata pengurangan 10 peratus akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan 4 peratus pada 7 November dan meningkat menjelang minggu depan.
“Kami akan meneliti 40 pasaran utama bagi pengurangan ketara supaya operasi terus selamat,” kata Encik Bedford. “Kami tidak akan menunggu masalah menjadi bencana sebelum bertindak.”
Langkah itu segera mencetuskan reaksi politik di Washington. Senator Ted Cruz, pengerusi jawatankuasa Senat yang memantau FAA, menyifatkan situasi itu sebagai akibat kegagalan Demokrat mencapai kompromi.
“Demokrat sedang bermain dengan bencana,” tulisnya di platform X. “Duffy dan Bedford tidak punya pilihan selain mula mengehadkan perjalanan udara di seluruh negara.”
Sebaliknya, wakil Demokrat menuduh pentadbiran menggunakan isu keselamatan untuk tekanan politik. Ahli Kongres Rick Larsen dari Washington berkata, “Menutup sebahagian sistem ruang udara nasional adalah tindakan dramatik yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan memerlukan ketelusan penuh. FAA mesti segera berkongsi penilaian risiko keselamatan dengan Kongres.”
Penganalisis menjangka pengurangan ini akan memberi kesan besar kepada hab penerbangan utama seperti New York, Washington D.C., Chicago dan Los Angeles, yang sudah pun berdepan kekurangan kakitangan.
“Apabila banyak pesawat tertangguh di satu lapangan terbang, kesannya akan berantai di seluruh sistem,” kata Patrick Anderson, Ketua Eksekutif Anderson Economic Group.
Persatuan Pramugara/Pramugari (Association of Flight Attendants) turut menyuarakan kebimbangan. Presidennya, Sara Nelson, menegaskan, “Kami tahu apa yang berlaku apabila pesawat tidak terbang, ubat tidak sampai, bekalan makanan terganggu, dan orang ramai tidak dapat mendapatkan rawatan perubatan atau bertemu keluarga mereka.”
Ketua Pegawai Eksekutif United Airlines, Scott Kirby, dalam surat terbuka kepada kakitangan, menjelaskan bahawa pengurangan ini tidak akan menjejaskan penerbangan jarak jauh antarabangsa tetapi tertumpu kepada penerbangan domestik dan serantau.
Bedford, veteran industri penerbangan selama 35 tahun, mengakui tindakan ini belum pernah berlaku. “Kami berada dalam wilayah baharu dalam sejarah penutupan kerajaan,” katanya. “Namun, keutamaan kami tetap keselamatan dan kestabilan ruang udara negara.”
Beliau menambah bahawa selepas insiden nahas udara di Washington pada Januari lalu, FAA telah memperketatkan pengawasan, dan langkah semasa adalah lanjutan daripada prosedur keselamatan yang lebih ketat. “Ini masa yang luar biasa,” kata Bedford. “Kami berharap dapat kembali kepada keadaan normal secepat mungkin.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg