WASHINGTON: Penutupan separa atau ‘shutdown’ pemerintah Amerika Syarikat dijangka berlarutan hingga minggu hadapan selepas senator mengundi pada 3 Oktober untuk kali keempat bagi menolak cadangan penyelesaian pembiayaan yang dicadangkan oleh Presiden Donald Trump.
Agensi persekutuan telah kehabisan dana sejak 1 Oktober, dengan pelbagai perkhidmatan awam terjejas, akibat rundingan yang menemui jalan buntu di Kongres mengenai bagaimana memastikan operasi pemerintah terus berjalan.
Tapak pelancongan seperti Monumen Washington telah ditutup, data utama mengenai pekerjaan telah ditangguhkan, dan beberapa laman web rasmi tidak beroperasi walaupun beberapa kawasan pemerintah masih belum terjejas.
Sekitar 750,000 pekerja dijangka akan diberhentikan sementara – diberi cuti yang dipaksa ambil, dengan bayaran semula selepas penutupan – ketika krisis pembiayaan semakin mendalam.
Pemimpin Senat tidak mempunyai rancangan memastikan Dewan Senat terus bersidang pada hujung minggu, bermakna undian pada 3 Oktober mengenai penyelesaian jangka pendek adalah peluang terakhir minggu itu untuk menamatkan krisis tersebut.
Di tengah-tengah kebuntuan ini adalah tuntutan pihak Demokrat untuk lanjutan subsidi penjagaan kesihatan yang akan tamat – yang bermaksud peningkatan kos yang melambung tinggi bagi berjuta-juta rakyat Amerika berpendapatan rendah.
Republikan – yang mengawal badan perundangan dan Rumah Putih tetapi memerlukan undi Demokrat untuk undang-undang pembiayaan pemerintah – belum mengumumkan rancangan menangani isu itu.
Demokrat cuba mendesak Republikan dengan menghalang resolusi pembiayaan yang disokong Encik Trump yang memerlukan beberapa undian daripada mereka.
Rumah Putih berkata sikap Demokrat menggambarkan “satu sabotaj yang disengajakan terhadap Amerika”.
“Kelakuan tidak munasabah ini mesti dihentikan,” kata Setiausaha Akhbar Encik Trump, Cik Karoline Leavitt, kepada wartawan.
“Presiden Trump dan Republikan menggesa Demokrat untuk membuka semula pemerintah dengan segera demi rakyat Amerika.”
Di tengah-tengah rasa tidak yakin yang meluas mengenai kemungkinan penyelesaian dapat dilakukan segera, Republikan di Kongres menyuarakan harapan kegagalan terbaru ini mungkin mendorong beberapa golongan sederhana dalam pembangkang untuk menyokong mereka.
Usaha untuk mencapai persetujuan semakin sukar dengan ancaman daripada Encik Trump agar menukar ribuan pemberhentian sementara pekerja kepada pemberhentian tetap, mengurangkan pembiayaan, dan memotong manfaat, sambil beliau meningkatkan tekanan ke atas Demokrat.
Pentadbiran Encik Trump juga dituduh membenarkan pegawai pemerintah menggunakan bahasa berbaur sokongan kuat dalam kenyataan mengenai penutupan, selepas Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar pada 30 September, memaparkan notis di laman webnya yang menyalahkan penutupan kepada golongan “radikal haluan kiri.”
Dengan pengumuman pemberhentian pekerja dijangka bila-bila masa, Ketua Belanjawan Encik Trump, Encik Russ Vought, merancang memberi taklimat kepada senator Republikan minggu depan.
Dewan Perwakilan sedang bercuti, dan Speaker Republikan, Encik Mike Johnson, memberitahu wartawan beliau telah bertemu dengan Encik Trump untuk membincangkan rancangan pemberhentian pekerja menjelang kembalinya Dewan bersidang.
Encik Johnson menuduh Pemimpin Minoriti Demokrat Senat, Encik Chuck Schumer, mendorong penutupan Amerika kerana Encik Schumer, seorang senator veteran dari New York, “takut” aktivis radikal haluan kiri akan merampas kerusinya dalam Pilihan Raya 2028. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg