Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pentagon bentang pilihan serangan lebih luas terhadap Iran

Jan 13, 2026 | 1:40 PM
Penunjuk perasaan menyertai demonstrasi membantah pemerintah Iran di Frankfurt, Jerman, pada 12 Januari 2026. Sejak 28 Disember 2025, protes anti-kerajaan secara meluas telah berlangsung di seluruh Iran walaupun berdepan tindakan keras yang ketat.
Penunjuk perasaan menyertai demonstrasi membantah pemerintah Iran di Frankfurt, Jerman, pada 12 Januari 2026. Sejak 28 Disember 2025, protes anti-kerajaan secara meluas telah berlangsung di seluruh Iran walaupun berdepan tindakan keras yang ketat. - Foto EPA

WASHINGTON: Pentagon kini membentangkan pelbagai pilihan serangan yang lebih luas kepada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berbanding yang pernah dilaporkan sebelum ini, ketika Washington menilai tindak balas terhadap tindakan keras berdarah Iran ke atas penunjuk perasaan.

Menurut seorang pegawai Amerika Syarikat kepada The New York Times, sasaran yang dipertimbangkan termasuk program nuklear Iran serta tapak peluru berpandu balistik, melangkaui serangan udara Amerika Syarikat pada Jun lalu yang telah melemahkan keupayaan nuklear Tehran.

Namun, pegawai itu berkata pilihan yang lebih terhad dan bersasar, seperti serangan siber atau tindakan ketenteraan terhad ke atas jentera keselamatan domestik Iran, dilihat lebih berkemungkinan dilaksanakan

Pasukan keselamatan Iran kini dituduh menggunakan kekerasan maut terhadap penunjuk perasaan awam. Menurut pegawai berkenaan, sebarang serangan oleh Amerika Syarikat tidak akan dilancarkan dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya dalam beberapa hari akan datang, dan berisiko mencetuskan tindak balas balas keras daripada Iran. Presiden Trump dijadualkan menerima taklimat lanjut mengenai pelbagai pilihan pada 13 Januari.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, mengesahkan bahawa serangan udara merupakan antara banyak pilihan yang dipertimbangkan. “Serangan udara adalah salah satu daripada banyak pilihan yang berada di atas meja, tetapi diplomasi sentiasa menjadi pilihan pertama presiden,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa retorik awam Teheran yang keras tidak seiring dengan mesej sulit yang diterima Washington. “Apa yang disampaikan secara terbuka oleh rejim Iran sangat berbeza daripada mesej yang kami terima secara peribadi,” kata Cik Leavitt, sambil menambah bahawa Presiden Trump berminat untuk meneliti jurang antara kenyataan awam dan komunikasi tertutup itu.

Encik Trump pada 11 Januari berkata Iran kelihatan telah melangkaui garis merahnya, selepas beliau memberi amaran awal bulan Januari bahawa Amerika Syarikat akan bertindak jika pemerintah Iran menggunakan kekerasan maut terhadap penunjuk perasaan.

“Terdapat orang yang terbunuh sedangkan mereka tidak sepatutnya dibunuh,” kata Encik Trump kepada wartawan. “Mereka memerintah melalui keganasan. Kami sedang menilai perkara ini dengan sangat serius; pihak tentera juga sedang menilainya. Terdapat beberapa pilihan.”

Pada 12 Januari, Encik Trump meningkatkan tekanan dengan mengumumkan ancaman ekonomi baharu, iaitu tarif 25 peratus ke atas mana-mana negara yang menjalankan perniagaan dengan Iran, walaupun pelaksanaannya masih belum jelas. Encik Trump sejak awal Januari terus mengeluarkan ancaman terbuka terhadap Iran. “Kami bersiap siaga dan bersedia untuk bertindak,” tulisnya pada 2 Januari.

Dalam perkembangan yang dilihat sebagai nada lebih berlapik, Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, pada 12 Januari berkata Tehran bersedia untuk berbincang semula dengan pentadbiran Encik Trump.
“Kami tidak mencari perang, tetapi kami bersedia sepenuhnya untuk perang malah lebih bersedia berbanding perang sebelumnya,” katanya dalam ucapan yang disiarkan televisyen negara, merujuk kepada konflik 12 hari dengan Israel pada Jun lalu.

Beliau menambah Iran juga bersedia untuk rundingan, “tetapi rundingan yang adil, berasaskan hak yang sama dan saling menghormati”.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmail Baghaei, mengesahkan bahawa saluran komunikasi masih terbuka antara Encik Araghchi dan utusan khas Trump ke Asia Barat, Encik Steve Witkoff, walaupun kedua-dua negara tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi. Namun, dua pegawai Amerika Syarikat berkata terdapat keraguan bahawa Teheran benar-benar mahu berunding, sebaliknya mungkin cuba melengahkan serangan Amerika Syarikat.

Namun masih belum jelas isu khusus yang sanggup dibincangkan oleh Iran dalam sebarang rundingan dengan Amerika Syarikat. Rundingan terdahulu memberi tumpuan kepada program nuklear Iran, yang menurut Tehran bertujuan awam. Namun, Amerika Syarikat dan Israel bimbang ia boleh digunakan untuk membangunkan senjata nuklear.

Perjanjian nuklear yang dirundingkan era Presiden Barack Obama pernah mengehadkan program itu, tetapi Encik Trump menarik diri daripada perjanjian berkenaan dalam penggal pertamanya. Selepas itu, Iran meningkatkan pengayaan uranium sehingga menghampiri tahap senjata, walaupun risikan Amerika Syarikat setakat Jun lalu menyatakan Teheran belum membuat keputusan muktamad untuk membangunkan senjata nuklear.

Pendekatan diplomatik baru Iran muncul ketika pemerintah berdepan krisis dalaman paling serius dalam beberapa tahun. Protes yang bermula akibat kemarahan ekonomi dan krisis mata wang kini bertukar menjadi tuntutan perubahan politik yang lebih meluas.

Pasukan keselamatan Iran dilaporkan melepaskan tembakan ke arah orang ramai menggunakan gas pemedih mata dan senjata api. Rakaman video yang disahkan menunjukkan kekerasan meluas, dengan puluhan orang awam terbunuh dan ramai lagi cedera, menurut kumpulan hak asasi manusia.

Penganalisis kanan di Endowmen Carnegie bagi Keamanan Antarabangsa, Encik Karim Sadjadpour, berkata Iran sedang cuba menggunakan tawaran rundingan untuk menghalang serangan Amerika Syarikat.
“Iran sedang menggantung tawaran rundingan untuk menghalang Trump daripada menggunakan kekuatan ketenteraan,” katanya. “Persoalannya, apakah konsesi yang boleh ditawarkan, sedangkan sebahagian besar program nuklear dan rangkaian proksi serantau mereka telah rosak?”

Profesor Vali Nasr dari Universiti Johns Hopkins pula berkata Tehran kini mempunyai pengaruh rundingan yang semakin terhad kerana program nuklearnya terhenti sejak perang pada Jun lalu.“Matlamat Iran jelas mereka tidak mahu perang dengan Amerika Syarikat, dan mereka mahu Washington menghalang Israel daripada menyerang Iran,” katanya.

Seorang pegawai Amerika Syarikat berkata sebarang serangan akan bertujuan menghantar mesej tegas kepada kepimpinan Iran, bukan untuk menjatuhkan pemerintah secara langsung. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg