WASHINGTON: Ketua Eksekutif SpaceX dan Tesla, Elon Musk, dijadualkan menerima taklimat rahsia daripada Pentagon berhubung rancangan ketenteraan Amerika Syarikat sekiranya perang tercetus dengan China, menurut dua pegawai Amerika pada 19 Mac.
Namun, laporan itu mencetuskan kekeliruan dan kebimbangan mengenai konflik kepentingan dan keselamatan negara.
Seorang lagi pegawai menyatakan bahawa taklimat itu akan fokus kepada isu berkaitan China, tanpa memberikan butiran lanjut. Seorang pegawai keempat mengesahkan bahawa Encik Musk dijadualkan hadir ke Pentagon pada 21 Mac, namun enggan memberi maklumat lanjut.
Namun begitu, beberapa jam selepas laporan itu disiarkan oleh The New York Times, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan jurucakap Pentagon menafikan bahawa pertemuan itu berkaitan dengan rancangan peperangan melibatkan China.
“China langsung tidak akan disebut atau dibincangkan,” kata Encik Trump dalam hantaran di media sosial pada lewat malam.
Jurucakap Pentagon, Encik Sean Parnell, turut menafikan laporan itu secara keras di platform X:
“Ini adalah berita palsu 100 peratus. Tidak benar dan berniat jahat. Elon Musk ialah seorang patriot dan kami bangga menerimanya di Pentagon.”
Setiausaha Pertahanan, Encik Pete Hegseth, turut mengulas:
“Ini bukan mesyuarat tentang ‘rancangan perang sulit terhadap China’. Ia adalah pertemuan tidak rasmi mengenai inovasi, kecekapan dan pengeluaran pintar.”
Namun, laporan The Wall Street Journal kemudiannya mengesahkan bahawa memang terdapat perancangan asal untuk membentangkan pelan perang terhadap China kepada Encik Musk, mencetuskan persoalan besar tentang peranannya yang semakin berpengaruh dalam pentadbiran Encik Trump.
Rancangan operasi ketenteraan Amerika atau “O-plans” adalah antara dokumen paling sulit negara itu. Pendedahan kepada negara asing boleh membolehkan mereka memperkukuh pertahanan dan menjejas keberkesanan strategi Amerika.
Taklimat tersebut, menurut beberapa pegawai, mengandungi antara 20 hingga 30 slaid dan merangkumi senario sekiranya China dianggap mengancam keselamatan, termasuk senarai sasaran dan jangka masa tindak balas.
Encik Musk, yang juga memiliki akses keselamatan tinggi, bukanlah anggota tentera mahupun penasihat rasmi dalam hal ketenteraan berkaitan China. Namun, beliau mengetuai pasukan pemotongan bajet di Jabatan Kecekapan Kerajaan (Doge) dan penglibatannya dikatakan penting untuk menilai sama ada sistem senjata tertentu harus dikekalkan atau tidak.
Contohnya, jika rancangan perang memerlukan penggunaan kapal pengangkut pesawat secara inovatif untuk mengejutkan China, maka pemotongan perbelanjaan ke atas kapal tersebut boleh melemahkan strategi keseluruhan.
Namun, penglibatan Musk juga menimbulkan dilema besar. Beliau mempunyai kepentingan perniagaan yang luas di China. Tesla memiliki kilang utama di Shanghai, yang menyumbang lebih separuh daripada penghantaran global syarikat itu.
Pada 2024, Tesla juga menandatangani perjanjian pinjaman bernilai AS$2.8 bilion ($3.74 bilion) dengan pemberi pinjaman China untuk perbelanjaan pengeluaran.
Encik Musk juga secara terbuka mengelak daripada mengkritik pemerintah China. Pada 2022, beliau menulis dalam majalah yang dikendalikan oleh agensi penapisan internet China dan mencadangkan bahawa Taiwan patut dijadikan “zon pentadbiran khas”, mencetuskan kemarahan pemimpin Taiwan.
Kenyataan beliau bahawa Taiwan adalah “sebahagian daripada China yang secara sewenang-wenangnya tidak diiktiraf sebagai bahagiannya” telah dilontarkan dalam sebuah persidangan teknologi, di mana beliau membandingkan situasi tersebut dengan kedudukan Hawaii dalam Amerika Syarikat.
Beberapa ahli politik dan pakar etika menyuarakan kebimbangan berhubung potensi konflik kepentingan.
“Membenarkan seseorang yang mempunyai hubungan perniagaan mendalam dengan China untuk melihat strategi peperangan terhadap negara itu adalah satu risiko keselamatan yang serius,” kata seorang pakar keselamatan dari Washington.
SpaceX, syarikat pelancaran angkasa milik Encik Musk, kini menjadi pembekal penting kepada Pentagon. Rangkaian satelit rendah orbitnya, Starlink, dianggap lebih kebal terhadap serangan siber dan senjata anti-satelit, yang kini sedang dibangunkan oleh China.
Oleh itu, difahamkan bahawa Encik Musk mungkin ingin mengetahui sejauh mana Pentagon boleh mempertahankan sistem Starlink jika berlaku konflik dengan China.
Sementara itu, Encik Musk juga sedang disiasat oleh Pentagon atas dakwaan tidak melaporkan interaksi dengan pemimpin asing, termasuk dari China. Sebelum ini, Tentera Udara Amerika menolak permintaan beliau untuk mendapatkan akses keselamatan lebih tinggi kerana dianggap berisiko.
Namun, pengaruh Encik Musk tetap meningkat di bawah pentadbiran Encik Trump, dan kehadirannya di Pentagon memberi gambaran jelas tentang peranannya yang semakin mencengkam dasar pertahanan Amerika.
Seorang pegawai kanan Pentagon yang enggan dikenali berkata:
“Kami sedang menilai semula sempadan antara inovasi dan keselamatan negara. Dalam kes Elon Musk, sempadan itu menjadi semakin kabur.” - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg