WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 26 Februari mengarahkan agensi persekutuan supaya melaksanakan lebih banyak pemberhentian kerja secara besar-besaran.
Langkah itu akan menjadikan jumlah kakitangan federal semakin sedikit, sekali gus dapat mengurangkan kos negara.
Ia meneruskan ikrar Encik Elon Musk dalam mesyuarat Kabinet ke arah pemotongan perbelanjaan yang lebih besar.
Memo pentadbiran baru mengarahkan agensi supaya menyerahkan rancangan mereka selewat-lewatnya pada 13 Mac bagi “pengurangan yang ketara” dalam tenaga kerja persekutuan yang sudah tergugat akibat gelombang pemberhentian dan pemotongan program Encik Musk.
Namun, ia tidak menyatakan bilangan pemberhentian yang dikehendaki.
Memo itu, yang ditandatangani oleh pengarah bajet Rumah Putih, Encik Russell Vought, dan pemangku ketua Pejabat Pengurusan Kakitangan, Encik Charles Ezell, mencerminkan peningkatan besar dalam kempen Encik Trump dan Encik Musk untuk mengurangkan saiz pentadbiran pemerintah Amerika.
Setakat ini, pemberhentian kerja tertumpu kepada pekerja percubaan yang baru bertugas dan menikmati perlindungan pekerjaan yang lebih sedikit.
Pusingan seterusnya akan menyasarkan kumpulan penjawat awam veteran yang jauh lebih besar bilangannya.
Pada mesyuarat Kabinet, Encik Trump berkata Encik Lee Zeldin, pentadbir Agensi Perlindungan Alam Sekitar, merancang untuk mengurangkan sehingga 65 peratus daripada lebih 15,000 pekerjanya.
Pada 25 Februari, sumber Jabatan Dalam Negeri memberitahu bahawa jabatan seperti Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar Amerika dan Biro Hal Ehwal India perlu bersedia untuk pengurangan tenaga kerja antara 10 peratus dengan 40 peratus.
Sekitar 100,000 daripada 2.3 juta pekerja persekutuan awam telah dipecat atau diambil alih sejak Encik Trump memegang jawatan.
Encik Trump memberi Encik Musk tanda sokongan yang luar biasa untuk kempen penjimatan kos dengan menjemput jutawan itu ke mesyuarat Kabinet dan meminta beliau bercakap tentang tugas Jabatan Kecekapan Pemerintahnya (Doge), yang menyelia reformasi.
Dalam mesyuarat Kabinet itu, Encik Musk, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX itu menyatakan keyakinan bahawa beliau boleh mengurangkan bajet AS$6.7 trilion ($9 trilion) kepada AS$1 trilion pada 2025.
Sasaran yang sangat bercita-cita tinggi itu mungkin akan melibatkan gangguan ketara terhadap program pemerintah.
Tanpa pemotongan perbelanjaan yang begitu besar, Encik Musk berkata, “negara ini akan menjadi muflis secara de facto”.
Pada 26 Februari, Encik Trump menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan agensi bekerjasama dengan Doge untuk menyemak dan menamatkan semua kontrak “tidak perlu”. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg