Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pentagon: Serangan militan IS dijangka berganda di Syria, Iraq pada 2024

Serangan IS didapati beberapa bahagian dunia meningkat berbanding 2023 dan kebangkitan semula kumpulan militan itu dibimbangi menggugat rantau Timur Tengah
Aug 5, 2024 | 5:30 AM
Syria
Sepasukan anggota tentera yang bergabung dengan bekas sekutu Al-Qaeda, Hayat Tahrir al-Sham (HTS), berkumpul di stadium terbuka pada 16 Jun di wilayah Idlib, barat laut Syria. Ia merupakan benteng terakhir pasukan bersenjata Syria, yang dianggarkan menempatkan kira-kira tiga juta orang. - Foto AFP

DAMSYIK: Serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan militan IS di Iraq dan Syria pada 2024 dilihat semakin kerap dan dijangka terus meningkat berbanding 2023, lapor Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Pentagon.

Dalam laporan pada 16 Julai, Pentagon melaporkan kebangkitan semula kumpulan pengganas itu, sedekad selepas ia melakukan kemusnahan dan pembunuhan di seluruh rantau tersebut.

Kumpulan IS bertanggungjawab terhadap 153 serangan di Iraq dan Syria pada separuh pertama 2024.

Sepanjang 2023, IS mendakwa melakukan 121 serangan di Iraq dan Syria, kata seorang pegawai pertahanan.

Kumpulan itu, sebuah pertubuhan Sunni Muslim yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda, mengeksploitasi kekosongan kuasa yang muncul selepas perang saudara Syria meletus, untuk menakluki kawasan yang besar.

Terkenal dengan penculikan, perhambaan seksual dan hukuman mati secara terbuka, IS dikatakan meraih manfaat terbesar apabila ia merampas Mosul, bandar kedua terbesar di Iraq, sebelum dikalahkan pada 2014.

Walaupun serpihan terakhir ‘kekhalifahan’ yang diisytiharkan sendiri oleh IS di rantau Timur Tengah telah dibebaskan dengan sokongan tentera Amerika lima tahun lalu, kumpulan itu telah berubah menjadi koleksi sel dan gabungan terpisah di seluruh dunia.

Tentera Amerika sejak itu mengekalkan kehadirannya di Syria dan Iraq.

Gabungan ketenteraan diketuai Amerika telah menjalankan hampir 200 misi menentang IS sejak Januari 2024, kata tentera Amerika, berkoordinasi dengan pasukan pimpinan Kurdish di Syria dan tentera di Iraq.

Secara keseluruhan, laporan itu berkata, tentera yang diketuai Amerika telah membunuh 44 anggota IS dan menahan 166 yang lain.

“Kami terus menumpukan usaha untuk menyasarkan secara khusus anggota IS yang ingin menjalankan operasi luar di luar Iraq dan Syria dan ahli IS yang cuba membebaskan anggota IS dalam tahanan, dalam usaha untuk membentuk semula pasukan mereka,” ujar Ketua Pemerintah Komando Pusat Amerika, Jeneral Michael E. Kurilla, dalam satu kenyataan.

Punca di sebalik peningkatan serangan di Syria dan Iraq mungkin rumit, kata pakar.

“Kumpulan itu telah menjadi lebih kuat dan memperoleh lebih banyak kebebasan beroperasi, tetapi gabungan faktor lain juga berkemungkinan besar menyumbang kepada perkembangan tersebut,” kata Encik Daniel Byman, zamil kanan di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa dan pakar dalam bidang memerangi keganasan kepada agensi berita.

“Peningkatan serangan mungkin disebabkan oleh kekecewaan berterusan terhadap pemerintah Iraq dan Syria, serta tumpuan mereka kepada isu-isu lain,” katanya dalam satu temu bual pada 17 Julai.

“Ia juga mungkin disebabkan oleh pengalihan aset Amerika ke arah kumpulan yang disokong Iran,” kata Encik Byman.

Walaupun Encik Byman berkata peningkatan dalam serangan tidak bermakna terdapat sebab segera untuk kebimbangan sedunia, penyusunan semula kumpulan itu boleh membawa akibat serius dan berbahaya kepada penduduk di rantau itu, yang kebanyakannya telah mengalami kesan perang selama beberapa dekad.

Walaupun beliau berkata “ini bukan keadaan ‘Baghdad hampir runtuh’,” Encik Byman menekankan ancaman serangan yang ditimbulkan ke atas rakyat Iraq dan Syria.

“Kebangkitan semula IS adalah berita buruk bagi masyarakat ini,” katanya.

Dalam tempoh enam bulan lalu, IS dan sekutunya telah melancarkan serangan berprofil tinggi dan membawa maut, menonjolkan daya tahan kumpulan itu dan keupayaannya untuk mempelbagaikan tindakan melalui rangkaian sayap di seluruh dunia.

Dalam beberapa kes, serangan telah menyasarkan orang awam dan lokasi tanpa hubungan tentera yang jelas.

Pada 16 Julai, IS mengaku bertanggungjawab melakukan serangan ke atas masjid Syiah di Oman, melibatkan lelaki bersenjata membunuh enam orang dan mencederakan lebih 30 yang lain.

Dalam video serangan itu, yang berlaku pada hari cuti Syiah yang penting, penyerang memberikan gambaran menghina para penganut Syiah itu.

Gabungan IS yang aktif di Afghanistan, Pakistan dan Iran – Daesh-Khorasan (IS-K) telah menjadi semakin berani dan membahayakan.

Pegawai Amerika berkata kumpulan itu bertanggungjawab atas serangan berdarah pada Mac ke atas dewan konsert di luar Moscow, yang mengorbankan lebih 130 orang dan mencederakan lebih ramai lagi.

Pada Januari, IS-K mengaku bertanggungjawab ke atas pengeboman maut di Iran yang mengorbankan 84 orang, semasa perarakan peringatan untuk komander tertinggi, Mejar Jeneral Qassim Suleimani, yang terbunuh empat tahun sebelumnya dalam serangan dron Amerika.

Iran adalah sebuah negara teokrasi yang diperintah oleh ulama Syiah.

Jeneral Suleimani sebelum ini mengetuai usaha Iran untuk menyatukan kumpulan Syiah di seluruh rantau itu.

Pegawai Amerika turut memantau perkembangan kumpulan itu di seluruh wilayah Sahel di Afrika di tengah-tengah ketidakstabilan politik dan beberapa rampasan kuasa.

Pada Mac, IS mendakwa berlaku serangan ke atas tentera Nigeria yang dilaporkan membunuh 30 tentera. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg