WASHINGTON: Amerika Syarikat kini muncul sebagai pusat utama penularan pandemik Covid-19 di dunia, dengan jumlah kes dihadapinya mencapai 526,396 di mana 20,463 orang telah terkorban, menurut catatan Pusat Rujukan Koronavirus Universiti dan Perubatan John Hopkins sehingga 8.15 pagi ini.
Kedua-dua jumlah ini jauh mengatasi Italy, yang sebelum ini menjadi medan berdarah koronavirus. Italy sejauh ini mencatatkan 152,271 kes jangkitan di mana 19,468 telah terkorban.
Sepanyol berdepan dengan 163,027 kes jangkitan, lebih tinggi dari Italy ketika ini, dengan 16,606 orang meninggal dunia.
Perancis juga mencatatkan jumlah kes jangkitan yang tinggi, dengan 130,727 kes di mana 13,832 daripadanya maut.
Jerman juga mengalami nasib serupa Perancis, berdepan dengan 124,908 kes tetapi mencatatkan hanya 2,736 kes kematian.
Jumlah kes yang besar yang membebani Amerika Syarikat dan sebahagian besar Eropah dilihat berpunca dari kegagalan pemerintah di negara-negara ini melaksanakan ujian besar-besaran selain tidak menjalankan arahan 'jarak selamat' seawal mungkin bagi mencegah virus dari menular.
Sebahagian kawasan di Amerika Syarikat masih belum dikenakan perintah berkurung - mengakibatkan penularan berleluasa di tempat-tempat yang belum mengalami keadaan serupa New York dan Detroit.
Jumlah kematian yang tinggi di Amerika juga bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan jumlah penduduk seramai 330 juta adalah lima kali ganda berbanding Italy.
Di samping itu, pelaksanaan ujian dan kaedah laporan kes juga berbeza antara negara. - Agensi
Dunia menyaksikan sejumlah 1,771,514 kes dilaporkan di mana 108,702 telah terkorban setakat ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg