Bekalan elektrik ke stesen LRT Bangkit terpaksa dimatikan lewat pada 27 Oktober bagi membolehkan seorang penumpang mabuk yang jatuh ke landasan kereta api diselamatkan.
Pengendali kereta api SMRT memberitahu akhbar The Straits Times pada 4 November, seorang penumpang mabuk jatuh ke landasan stesen itu, yang merupakan sebahagian laluan LRT Bukit Panjang, sekitar 11.35 malam.
Kejadian itu berlaku hampir dengan masa kereta api terakhir dijadualkan berlepas daripada stesen, iaitu pada 11.41 malam.
Kakitangan SMRT segera bertindak dengan mengaktifkan alat pemberhenti kecemasan bagi mematikan bekalan kuasa di stesen berkenaan, kata Presiden SMRT Trains, Encik Lam Sheau Kai.
Pusat kawalan operasi juga telah menghentikan perkhidmatan kereta api di sektor yang terjejas, tambahnya.
Ini sekali gus menghalang penumpang mabuk itu daripada dilanggar kereta api.
Penumpang tersebut kemudian dibawa ke hospital oleh pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
“SMRT memandang serius kejadian ini kerana pencerobohan landasan menimbulkan risiko keselamatan yang serius.
“Menceroboh landasan kereta api adalah menyalahi undang-undang, tidak bertanggungjawab dan membahayakan bukan sahaja individu yang terlibat tetapi juga keselamatan penumpang lain. Ia juga boleh mengganggu perkhidmatan kereta api,” tegas Encik Lam.
Menurutnya, pihaknya telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.
Dalam pada itu, pada 24 Mac 2024, seorang lelaki telah minum sekurang-kurangnya dua botol besar bir dan berada dalam keadaan mabuk sebelum terjatuh daripada platform stesen LRT Fajar pada sekitar 12.40 pagi.
Dalam satu siasatan ke atas kematian tukang masak, Ang Boon Tong, 43 tahun, mahkamah diberitahu dia mungkin dilanggar dua kereta api tanpa pemandu yang berbeza sebelum mayatnya ditemui di landasan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg