Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penurunan pangkat mantan ketua mahkamah tinggi dibatal mahkamah rendah Indonesia

Aug 15, 2024 | 1:12 PM
Keputusan Pengadilan Tata Usaha Negara (PTUN) di bawah naungan Mahkamah Agung Republik Indonesia memihak kepada mantan Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan, Encik Anwar Usman, yang juga abang ipar kepada Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, berhubung penurunan pangkatnya daripada jawatan tertinggi mahkamah.
Keputusan Pengadilan Tata Usaha Negara (PTUN) di bawah naungan Mahkamah Agung Republik Indonesia memihak kepada mantan Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan, Encik Anwar Usman, yang juga abang ipar kepada Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, berhubung penurunan pangkatnya daripada jawatan tertinggi mahkamah. - Foto AFP

JAKARTA: Mahkamah pentadbiran telah memutuskan sebahagiannya memihak kepada petisyen yang difailkan oleh mantan Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan, Encik Anwar Usman, berhubung penurunan pangkatnya daripada jawatan tertinggi mahkamah.

Keputusan itu, yang dibuat pada 13 Ogos, menurut pengkritik, menjadi contoh kehakiman yang membimbangkan dan boleh mengganggu fungsi mahkamah, lapor The Jakarta Post.

Pengadilan Tata Usaha Negara (PTUN) Jakarta di bawah naungan Mahkamah Agung Republik Indonesia mengisytiharkan pelantikan Dr Suhartoyo H.S sebagai Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan sebagai tidak sah dan memulihkan “reputasi” Encik Anwar sebagai hakim.

Bagaimanapun mahkamah tidak membenarkan perkara terakhir petisyen Encik Anwar, iaitu pemecatannya sebagai ketua hakim mahkamah dibatalkan.

Ini mematahkan harapan Encik Anwar untuk dikembalikan secara automatik sebagai Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan.

Encik Anwar, abang ipar kepada Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, telah diturunkan pangkat daripada jawatan tertinggi mahkamah pada November 2023, selepas majlis etika mendapati beliau bersalah atas “pelanggaran etika yang serius” kerana gagal menarik diri daripada petisyen yang bertujuan menyemak semula syarat umur bagi calon presiden dan naib presiden dalam keadaan tertentu.

Keputusan mahkamah mengenai kes itu memberi laluan kepada anak saudara Encik Anwar, anak sulung Presiden Jokowi, Encik Gibran Rakabuming Raka, untuk bertanding dalam pemilihan presiden pada Februari sebagai calon naib presiden, berpasangan dengan Encik Prabowo Subiato.

Pasangan itu memenangi pilihan raya.

PTUN memerintahkan Mahkamah Perlembagaan membatalkan pelantikan Encik Suhartoyo sebagai ketua hakim negara, tetapi memberi tempoh dua minggu kepada defendan untuk mengemukakan rayuan.

Jurucakap Mahkamah Perlembagaan, Encik Fajar Laksono, memberitahu The Jakarta Post bahawa panel hakim mahkamah – lapan orang tidak termasuk Encik Anwar – telah memutuskan dalam mesyuarat pada 13 Ogos untuk merayu keputusan itu.

Dr Suhartoyo akan mengekalkan jawatannya sebagai ketua hakim negara semasa mahkamah bersiap mendengar rayuan itu.

“Amalan yang kurang baik,” kata pakar undang-undang, Encik Feri Amsari, sambil menambah bahawa kes itu telah dicemari dengan “nuansa politik yang kuat”.

“Untuk meminta Mahkamah Perlembagaan, salah satu kuasa kehakiman tertinggi negara, diperbetulkan oleh mahkamah rendah, adalah sesuatu yang luar biasa,” katanya.

“Ia juga tidak tepat kerana penurunan pangkat (Encik) Anwar adalah perkara etika, bukan pentadbiran.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg