Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenyelamat cari 140 orang dari kapal penumpang Indonesia
Penyelamat cari 140 orang dari kapal penumpang Indonesia
JAKARTA – Pasukan penyelamat Indonesia pada 13 September sedang mencari 140 orang daripada sebuah kapal penumpang yang dilaporkan hilang di Laut Jawa.
Ini selepas 103 orang lain berjaya dipindahkan – dengan seorang daripadanya disahkan meninggal dunia – menurut seorang pegawai agensi mencari dan menyelamat.
Sebuah kapal penumpang Indonesia yang membawa 243 orang dilaporkan hilang selepas terputus hubungan pada awal pagi 13 September ketika keadaan cuaca buruk, menurut agensi mencari dan menyelamat tersebut.
Kapal Virgo Transport 8 itu memulakan pelayaran pada 12 September dari Surabaya, Jawa Timur, menuju ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan, sebelum terputus hubungan, kata agensi itu.
Ketua pejabat agensi di Banjarmasin itu, I Putu Sudayana, menyatakan dalam satu kenyataan video bahawa seramai 103 orang telah dipindahkan menggunakan pelbagai kapal dan sebahagian daripada mereka akan dibawa ke sebuah pelabuhan di Jawa Timur.
Pasukan penyelamat melancarkan operasi pencarian dengan mengerahkan satu pasukan, beberapa buah kapal, dan sebuah helikopter ke lokasi terakhir kapal penumpang itu dikesan, katanya, tanpa menyatakan apa yang telah berlaku kepada kapal tersebut.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang terdiri daripada 17,000 pulau, sangat bergantung pada perkhidmatan feri sebagai mod pengangkutan utama, memandangkan laluan laut lebih murah dan mudah didapati berbanding perjalanan udara.
Walau bagaimanapun, piawaian keselamatan tidak sentiasa dikuatkuasakan dengan ketat, yang mengakibatkan kadar kemalangan yang agak tinggi. – REUTERS.
