Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyelamat Thai berdepan timbunan mayat dalam nahas ngeri kereta api

Jan 15, 2026 | 2:12 PM
Pegawai penyelamat menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat ekoran nahas kereta api tergelincir akibat dihempap sebuah kren di daerah Sikhio, wilayah Nakhon Ratchasima, Thailand, pada 14 Januari 2026.
Pegawai penyelamat menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat ekoran nahas kereta api tergelincir akibat dihempap sebuah kren di daerah Sikhio, wilayah Nakhon Ratchasima, Thailand, pada 14 Januari 2026. - Foto: REUTERS

NAKHON RATCHASIMA (Thailand): Penduduk dan penyelamat berdepan dengan timbunan mayat ketika mereka bergegas untuk cuba menyelamatkan penumpang dalam nahas kereta api terburuk di Thailand dalam beberapa dekad.

“Saya melihat mayat bertimbun di dalam gerabak dengan serpihan logam bertaburan merata tempat apabila saya melihat melalui tingkap... Kami cuba menarik mereka keluar tetapi mereka terperangkap,” kata Cik Penporn Poomrateuk, pelayan berusia 28 tahun.

Beliau bergegas ke tempat kejadian selepas mendengar bunyi kereta api dan diikuti dengan bunyi rempuhan yang sangat kuat daripada restoran keluarganya di wilayah luar bandar Nakhon Ratchasima di Thailand, timur laut ibu kota Bangkok.

Perasaan sedih dan kasihan mencerut hatinya kerana ada ada penumpang yang menaiki kereta api itu dengan orang tersayang, berjaya diselamatkan dan ada yang tidak.

Dalam kejadian pada 14 Januari itu, sebuah kren di tapak pembinaan projek kereta api berkelajuan tinggi tumbang lalu menghempap kereta api penumpang, menyebabkan ia tergelincir.

Hampir 200 orang berada di dalam kereta api yang berlepas dari Bangkok, kata pihak berkuasa.

“Saya berlari ke kereta api dan terdengar orang menjerit meminta tolong. Saya membantu menarik keluar mereka yang cedera dari sebuah gerabak,” kata Cik Penporn, yang restoran milik keluarganya terletak betul-betul di seberang jalan.

Suaminya, seorang tukang masak di restoran itu, sedang sibuk melayan pesanan pada masa itu, katanya.

Di tempat kejadian, Cik Penporn melihat kebakaran dan bahan api bocor dari gerabak yang condong.

“Saya suruh mereka yang cedera tidak serius supaya segera keluar daripada sebelum apa-apa berlaku,” cerita beliau.

Cik Penporn berkata beliau akhirnya membantu menarik “20 ​​atau 30 orang” keluar daripada gerabak kereta api yang remuk itu.

Kementerian kesihatan berkata 32 orang terbunuh, 64 cedera dan tiga dilaporkan hilang.

Kren yang runtuh itu dibiarkan tersadai di atas tiang konkrit gergasi – dibina untuk menampung laluan kereta api berkelajuan tinggi pada masa depan.

Manakala gerabak kereta api yang remuk terbiar senget.

Berpuluh-puluh penyelamat berjalan di sekitar gerabak bersama anjing pengesan untuk mencari penumpang yang masih berada di dalam.

Sebahagian lagi anggota penyelamat menggunakan kren daripada kontraktor projek kereta api berkelajuan tinggi Italian-Thai Development untuk menyisihkan serpihan.

Firma itu mengucapkan takziah, dan berjanji untuk memberi pampasan kepada keluarga mangsa dan menampung perbelanjaan perubatan untuk mereka yang cedera.

Perdana Menteri Thailand Encik Anutin Charnvirakul, yang melawat tempat kejadian beberapa jam selepas kemalangan itu, berkata ia “jelas merupakan kesalahan syarikat pembinaan”.

“Kita mesti menentukan puncanya supaya kejadian ini dapat dijadikan pengajaran,” katanya kepada pemberita.

Pengendali kereta api negeri Thailand berkata ia trelah mengarahkan syarikat itu supaya menghentikan pembinaan sehingga siasatan selesai.

Cik Pasinee Klaharn, seorang suri rumah berusia 31 tahun, berkata beliau baru sahaja mula menyediakan sarapan pagi apabila terdengar bunyi hentaman yang kuat.

Seorang pegawai penyelamat, Encik Nopporn Somjit, berkata: “Ini adalah salah satu kemalangan paling serius sepanjang 30 tahun saya bekerja dalam bidang ini.” – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg