Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tren ke Perlis, Hat Yai dihentikan akibat banjir

Nov 25, 2025 | 5:53 PM
Kawasan sekitar Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Arau dan stesen pengangkutan awam di Perlis yang dilimpahi banjir pada 25 November.
Kawasan sekitar Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Arau dan stesen pengangkutan awam di Perlis yang dilimpahi banjir pada 25 November. - Foto BERNAMA

Ratusan penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terjejas akibat banjir yang menenggelamkan laluan kereta api di utara Semenanjung, sekali gus menutup akses ke Stesen Arau di Perlis dan memaksa pembatalan dua perkhidmatan tren antara KL Sentral dengan Hat Yai, Thailand.

KTMB dalam satu kenyataan pada 25 November memaklumkan, penutupan Stesen Arau akibat akses jalan ke stesen itu dinaiki banjir menyebabkan semua penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS) terpaksa naik atau turun di Stesen Kodiang di Kedah sebagai alternatif buat sementara, sehingga keadaan pulih.

Menurut KTMB lagi, penyesuaian itu dibuat untuk menjaga keselamatan penumpang serta memastikan perjalanan tetap lancar. 

“Bagaimanapun, buat masa ini perkhidmatan tren ETS masih beroperasi seperti biasa, tertakluk kepada situasi semasa di sektor utara.

“KTMB telah menghantar pemberitahuan awal melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pelanggan yang terjejas bagi memaklumkan tentang pertukaran lokasi stesen.

“Kakitangan KTMB turut ditempatkan di Stesen Kodiang untuk membantu dan menyelaras pergerakan penumpang, memastikan proses menaiki dan menurunkan penumpang berjalan secara teratur,” kata KTMB dalam kenyataan itu.

KTMB turut mengumumkan bahawa dua perjalanan tren MySawasdee bagi perjalanan KL Sentral – Hat Yai dan sebaliknya dibatalkan selepas penilaian keselamatan dibuat akibat bencana banjir yang melanda.

Tren yang terlibat ialah MySawasdee No 1004 (KL Sentral - Hat Yai) bagi perjalanan pada 28 November dan No 1005 (Hat Yai - KL Sentral) pada 1 Disember.

“Pembatalan ini dibuat kerana penutupan landasan kereta api di beberapa kawasan bagi sektor Padang Besar, Perlis dan Hat Yai akibat keadaan banjir yang berlaku di wilayah tersebut.

“Keputusan ini dibuat selepas penilaian keselamatan bersama pihak berkuasa Thailand, dengan keselamatan penumpang sebagai keutamaan mutlak,” kata KTMB lagi.

KTMB turut memaklumkan penumpang yang telah membuat pembelian tiket kereta api bagi kededua perjalanan tersebut boleh membatalkan tempahan dan mendapat pemulangan tambang sepenuhnya secara serta merta.

“Sebanyak 840 tiket telah dikeluarkan untuk kedua-dua perjalanan tersebut, dengan 652 penumpang masih belum membatalkan tiket setakat ini.

“Bagi mereka yang menempah tiket secara dalam talian, KTMB membenarkan pembatalan melalui aplikasi KITS dan bayaran balik penuh akan dikreditkan ke dalam KTM Wallet untuk kegunaan tempahan masa depan.

“Manakala, seramai 188 penumpang yang telah membuat pembatalan awal turut layak menerima baki pemulangan tambang,” kata kenyataan itu.

KTMB menambah bahawa sebarang jadual MySawasdee akan dikemas kini kemudian, bergantung kepada perkembangan situasi banjir di Padang Besar dan Hat Yai.

KTMB menegaskan bahawa pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca dan paras air di laluan terjejas dan sebarang perkembangan baru akan dikemas kini melalui saluran rasmi KTMB, termasuk media sosial, supaya penumpang mendapat maklumat dengan pantas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg