WASHINGTON: Sekumpulan penyelidik dari Universiti Washington meramalkan lebih 145,000 kematian akan direkodkan di Amerika Syarikat sehingga 4 Ogos ini.
Negara itu telah mencatatkan 450 kematian akibat Covid-19 dalam 24 jam terakhir, menurut catatan Universiti Johns Hopkins yang dilaporkan semalam.
Jumlah itu dianggap terendah dalam tempoh kira-kira dua bulan.
Pemerhatian dilakukan sama ada penurunan kes kematian akan bertahan dalam tempoh beberapa hari akan datang
Negara yang paling teruk dilanda wabak dari segi jumlah kematian itu sehingga 11.30 pagi tadi (waktu Singapura) menunjukkan ia kini menghadapi sejumlah 110,990 kematian dari sejumlah 1,960,642 kes jangkitan.
Amerika Syarikat kali pertama menyaksikan jumlah kematian setiap hari lebih 500 kes pada akhir Mac lalu, manakala melebihi 3,000 kes dalam tempoh 24 jam pada pertengahan April.
Selama dua minggu terakhir, jumlah kematian harian menurun di bawah 1,000 kes.
Bagaimanapun peningkatan kes jangkitan tetap berlaku sekitar 20,000 kes sehari. - Agensi


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg