Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenjenayah perang, Ratko Mladic, 83 tahun, meninggal dalam tahanan
THE HAGUE: Bekas panglima tentera Serb Bosnia, Ratko Mladic, yang digelar ‘Penyembelih Bosnia’ kerana peranannya dalam kekejaman ketika Perang Bosnia termasuk pembunuhan beramai-ramai kira-kira 8,000 lelaki dan kanak-kanak lelaki Islam di Srebrenica pada 1995, meninggal dunia dalam tahanan di The Hague pada usia 83 tahun.
Kematiannya diumumkan media pemerintah Serbia pada 27 Ogos.
Pihak berkuasa di The Hague berkata Mladic meninggal dunia ketika dirawat di hospital, namun tidak menyatakan punca khusus kematiannya.
Mladic menjalani hukuman penjara seumur hidup selepas disabitkan pada 2017 atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang yang dilakukan ketika konflik berdarah susulan perpecahan Yugoslavia pada 1990-an.
Ketika menjatuhkan hukuman itu, Hakim Alphons Orie menyifatkan jenayah Mladic sebagai “antara yang paling kejam pernah diketahui manusia”.
Mladic kemudian membuat rayuan, namun sabitan dan hukuman penjara seumur hidup terhadapnya dikekalkan pada 2021.
Namanya paling sinonim dengan pembunuhan beramai-ramai Srebrenica pada Julai 1995, yang dianggap pembunuhan beramai-ramai paling buruk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Dalam tempoh kira-kira 10 hari, tentera Serb Bosnia di bawah pimpinannya memburu dan menangkap ribuan lelaki serta kanak-kanak lelaki Islam Bosnia sebelum mereka dibunuh.
Ramai mangsa diikat tangan sebelum ditembak. Mayat mereka kemudian dikebumikan di kubur besar.
Pasukan Serb kemudian menggali semula sebahagian mayat itu dan memindahkannya ke kubur besar lain di lokasi berasingan dalam usaha terancang untuk menyembunyikan bukti jenayah berkenaan.
Mladic juga didapati bertanggungjawab atas beberapa jenayah berkaitan pengepungan Sarajevo selama hampir empat tahun.
Kira-kira 10,000 orang terbunuh dalam pengepungan ibu kota Bosnia itu, termasuk sekitar 1,500 kanak-kanak.
Tentera Mladic mengepung Sarajevo dari kawasan pergunungan di sekeliling bandar itu, membedil kawasan awam dan menggunakan penembak tepat untuk menyerang penduduk.
Mahkamah turut mendapati dia bersalah melakukan penganiayaan dan pembunuhan terhadap penduduk bukan Serb di beberapa kawasan Bosnia.
Perang Balkan tercetus ketika Yugoslavia berpecah kepada beberapa negara merdeka.
Presiden Serbia ketika itu, Slobodan Milosevic, yang membawa fahaman nasionalisme Serbia, berusaha mewujudkan apa yang dikenali sebagai “Serbia Raya”, sekali gus membangkitkan semula permusuhan etnik dan agama yang sudah lama berakar di rantau berkenaan.
Konflik itu menyaksikan pertempuran antara masyarakat Serb dengan Slovenia, Croatia, penduduk Islam Bosnia dan etnik Albania di Kosovo.
Kira-kira 100,000 orang terbunuh dalam konflik di Bosnia, manakala lebih 2.5 juta lagi kehilangan tempat tinggal.
Mladic, seorang pegawai Tentera Rakyat Yugoslavia sebelum menjadi panglima tentera Serb Bosnia, muncul sebagai antara tokoh tentera paling berkuasa dalam konflik tersebut.
Namun, selepas perang berakhir, beliau menjadi antara penjenayah perang paling dikehendaki di dunia.
Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi Bekas Yugoslavia (ICTY) mendakwa Mladic pada 1995 atas tuduhan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai berkaitan pengepungan Sarajevo serta pembunuhan di Srebrenica.
Bagaimanapun, Mladic berjaya mengelak daripada ditangkap selama hampir 16 tahun.
Pada tahun-tahun awal selepas perang, dia dipercayai mendapat perlindungan daripada sekutu dalam tentera dan perkhidmatan perisikan Serbia.
Dia akhirnya ditangkap pada 26 Mei 2011 di sebuah perkampungan pertanian di utara Belgrade selepas ditemui bersembunyi di rumah seorang saudara.
Ketika ditangkap, dua pistol berisi peluru berada di sisinya, namun beliau menyerah diri tanpa melawan.
“Tahniah. Sayalah orang yang kamu cari,” katanya kepada pegawai yang menyerbu tempat persembunyiannya.
Penangkapannya dianggap detik penting bagi Serbia yang ketika itu berusaha meninggalkan imej sebagai negara yang terasing selepas peperangan Balkan dan mendekatkan diri dengan Kesatuan Eropah (EU).
Kegagalan beberapa pemerintah Serbia menangkap Mladic sebelum itu menjadi antara halangan utama dalam usaha negara berkenaan menyertai EU.
Perbicaraan Mladic kemudian menjadi antara kes berprofil tinggi terakhir yang dikendalikan ICTY di The Hague.
Tribunal itu mengendalikan kes terhadap hampir 100 individu yang bertanggungjawab atas kekejaman ketika peperangan Balkan.
Antaranya ialah pemimpin politik Serb Bosnia dan ketua Mladic, Radovan Karadzic, yang ditangkap pada 2008 dan disabitkan pada 2016 atas tuduhan hampir sama. Hukumannya kemudian ditingkatkan kepada penjara seumur hidup pada 2019.
Sepanjang perbicaraan, keadaan kesihatan Mladic semakin merosot selepas beliau mengalami sekurang-kurangnya dua serangan angin ahmar ketika masih menjadi buruan.
Namun, sikap kerasnya masih terserlah di mahkamah. Pada penampilan pertamanya pada Jun 2011, dia menyifatkan tuduhan terhadapnya sebagai “menjijikkan” dan “mengerikan”, malah beberapa kali bertengkar dengan hakim.
Di Serbia, Mladic kekal dianggap wira oleh sebahagian masyarakat Serb yang melihatnya sebagai pembela bangsa mereka.
Namun di Bosnia dan di peringkat antarabangsa, namanya terus dikaitkan dengan Srebrenica serta kempen pembersihan etnik yang menyebabkan penderitaan besar kepada penduduk Islam Bosnia dan Croatia.
Pembunuhan di Srebrenica akhirnya membantu mengubah pendirian Amerika Syarikat dan Eropah terhadap perang tersebut, membawa kepada kempen pengeboman Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) terhadap tentera Serb Bosnia.
Tekanan itu membuka jalan kepada Perjanjian Dayton yang menamatkan Perang Bosnia pada Disember 1995.
Mladic meninggalkan isterinya, Bosiljka, dan anak lelakinya, Darko. Anak perempuannya, Ana, seorang pelajar perubatan, membunuh diri pada 1994 ketika berusia awal 20-an.
Dengan kematiannya di dalam tahanan, berakhirlah kehidupan seorang panglima tentera yang pernah dianggap tidak dapat disentuh, tetapi akhirnya menghabiskan tahun-tahun terakhir hidupnya menjalani hukuman penjara seumur hidup atas antara kekejaman perang paling buruk dalam sejarah moden Eropah. – Agensi berita.
