Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenyokong Hasina tunjuk perasaan tuntut kepulangan dari buangan
Penyokong Hasina tunjuk perasaan tuntut kepulangan dari buangan
DHAKA: Bangladesh kembali dilanda keganasan apabila penyokong bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina, mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negara bagi menuntut beliau dibenarkan pulang selepas lebih dua tahun hidup dalam buangan di India.
Polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan penunjuk perasaan, manakala beberapa kenderaan dibakar dan jalan raya utama disekat dalam pertempuran antara penyokong Hasina dengan pasukan keselamatan, lapor BBC.
Keganasan itu mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan Bangladesh, ketika negara berkenaan masih bergelut dengan kesan pergolakan politik yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan Hasina pada Ogos 2024.
Di daerah Gopalganj, sebuah kenderaan polis dibakar selepas anggota keselamatan bertempur dengan aktivis Liga Chhatra Bangladesh (BCL), sayap pelajar parti Liga Awami pimpinan Hasina yang kini diharamkan.
Penunjuk perasaan turut membakar tayar dan mendirikan sekatan jalan raya sehingga menyebabkan lalu lintas terganggu di beberapa kawasan.
Di bandar Faridpur, seorang pemandu bas berusia 60 tahun maut akibat terhidu asap selepas sekumpulan individu membakar kenderaannya pada awal 10 November.
Kira-kira 200 penunjuk perasaan pula menyekat lalu lintas buat sementara waktu di Jambatan Padma sepanjang 6.2 kilometer, yang merentasi Sungai Ganges dan menghubungkan ibu kota Dhaka dengan wilayah barat daya Bangladesh.
Media tempatan turut melaporkan puluhan letupan bom buatan sendiri berlaku di Dhaka dan beberapa kawasan lain sejak beberapa hari lalu.
Menteri Dalam Negeri Bangladesh, Encik Salahuddin Ahmed, memberi amaran pemerintah tidak akan membenarkan sebarang usaha menggugat keselamatan negara.
“Sebarang percubaan memburukkan keadaan keselamatan atau mencetuskan ketidakstabilan melalui konspirasi dari seberang sempadan (India) tidak akan dibenarkan berjaya,” katanya.
Bagaimanapun, seorang pemimpin kanan BCL yang kini hidup dalam buangan menafikan penyokong Hasina bertanggungjawab terhadap keganasan itu.
“Penyokong kami tidak bertanggungjawab terhadap kejadian ganas tersebut. Ia dilakukan oleh pihak tidak dikenali. Kami percaya kepada tunjuk perasaan secara aman,” katanya.
Tunjuk perasaan itu bermula sehari selepas Hasina mengumumkan beliau sudah memohon pasport daripada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di New Delhi bagi membolehkannya pulang pada Disember.
Bagaimanapun, pemerintah Bangladesh menolak permohonan tersebut dan menyifatkan bekas pemimpin berusia 79 tahun itu sebagai seorang pengganas serta penjenayah buruan.
Hasina melarikan diri ke India pada Ogos 2024 selepas pemberontakan rakyat secara besar-besaran menamatkan pemerintahannya selama 15 tahun.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sehingga 1,400 orang terbunuh dalam tunjuk perasaan antipemerintah ketika itu, kebanyakannya akibat tembakan pasukan keselamatan.
Pembangkang sebelum ini menuduh Hasina memenjarakan pesaing politik, menyekat kebebasan bersuara dan melakukan pencabulan hak asasi manusia secara meluas.
Beliau bagaimanapun berulang kali menafikan tuduhan tersebut.
Pada 2025, satu tribunal khas Bangladesh menjatuhkan hukuman mati terhadap Hasina tanpa kehadirannya selepas mendapati beliau bersalah melakukan jenayah terhadap kemanusiaan.
Hasina menolak keputusan itu dan menyifatkan perbicaraannya sebagai berat sebelah serta bermotifkan politik.
Seorang pendakwa raya Bangladesh pada 10 November menegaskan hukuman mati itu akan dilaksanakan sekiranya Hasina kembali, kerana beliau sudah terlepas peluang untuk mengemukakan rayuan.
Sementara itu, pemimpin Liga Awami mendakwa ratusan penyokong parti terbunuh akibat keganasan kumpulan perusuh sejak dua tahun lalu, manakala puluhan lagi meninggal dunia ketika dalam tahanan.
Pemerintah Bangladesh menolak dakwaan bahawa penyokong parti tersebut menjadi sasaran secara sistematik.
Tunjuk perasaan terbaru itu dianggap sebagai gerakan besar pertama yang dianjurkan penyokong Hasina sejak beliau digulingkan.
Ia sekali gus menunjukkan pengaruh politik bekas pemimpin itu masih belum lenyap meskipun parti pimpinannya diharamkan daripada menyertai pilihan raya umum Februari lalu.
Di sebalik ancaman hukuman mati, Hasina tetap berkeras mahu kembali ke tanah air, namun pemerintah Bangladesh menegaskan kepulangannya hanya akan membawa beliau berdepan hukuman.
“Adakah kami patut melayannya seperti pelancong biasa dan mempelawanya pulang untuk melawat rumah keluarga mentuanya?” soal Encik Kobir. – Agensi berita.