Parti Tarique Rahman isytihar menang besar pilihan raya Bangladesh
Parti Tarique Rahman isytihar menang besar pilihan raya Bangladesh
Pengerusi BNP kembali ke Bangladesh pada Dis lalu selepas hampir dua dekad hidup dalam buangan di Britain
DHAKA: Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang dipimpin oleh Encik Tarique Rahman pada Jumaat, 13 Februari mengisytiharkan kemenangan dalam pilihan raya pertama negara itu sejak gerakan pelajar menggulingkan pemerintahan Sheikh Hasina pada 2024.
Dalam kenyataan di platform X, parti itu berkata: “Parti Nasionalis Bangladesh akan membentuk pemerintah selepas memenangi majoriti kerusi.”
Pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka dibuat pada hari yang sama, namun keputusan tidak rasmi menunjukkan kemenangan besar gabungan yang diterajui BNP.
Menurut laporan media tempatan Jamuna TV, gabungan yang didominasi BNP meraih 212 daripada 299 kerusi di Parlimen Jatiya Sangsad, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga.
Kemenangan itu menepati jangkaan tinjauan pendapat yang sebelum ini memberikan kelebihan kepada parti berkenaan.
Encik Tarique, 60 tahun, kembali ke Bangladesh pada Disember lalu selepas hampir dua dekad hidup dalam buangan di Britain.
Beliau ialah anak kepada manta Perdana Menteri Cik Khaleda Zia dan mantan Presiden Ziaur Rahman, antara tokoh penting dalam sejarah penubuhan Bangladesh pada 1971.
Dalam satu kenyataan selepas pengiraan undi selesai, BNP mengucapkan terima kasih kepada rakyat dan menyeru agar tiada perarakan kemenangan dianjurkan.
“Walaupun memenangi pilihan raya dengan majoriti besar, tiada perarakan atau perhimpunan kemenangan akan diadakan,” kata parti itu.
Sebaliknya, rakyat digesa mengadakan doa khas di masjid, kuil, gereja dan pagoda di seluruh negara demi kesejahteraan Bangladesh.
Pilihan raya yang berlangsung pada 12 Februari itu dianggap penting untuk memulihkan kestabilan negara majoriti Muslim berpenduduk 175 juta orang selepas berbulan-bulan pergolakan anti-Hasina yang mengorbankan lebih 1,400 nyawa serta menjejaskan kehidupan harian dan sektor utama seperti industri pakaian, eksport kedua terbesar dunia.
Kempen BNP menjanjikan bantuan kewangan kepada keluarga miskin, had maksimum 10 tahun bagi seseorang memegang jawatan perdana menteri, pengukuhan ekonomi melalui pelaburan asing dan dasar anti-rasuah.
Saingan utama BNP, parti Islamis Jamaat-e-Islami dan gabungan parti lain yang dipimpin Encik Shafiqur Rahman, mengakui kekalahan selepas hanya memenangi 70 kerusi.
“Kami tidak akan berpolitik semata-mata untuk menjadi pembangkang,” katanya kepada wartawan.
“Kami akan melakukan politik yang positif,” tambahnya.
Parti Nasional Warga yang diterajui aktivis muda yang memainkan peranan penting dalam menjatuhkan Cik Hasina pula hanya memenangi lima daripada 30 kerusi yang ditandinginya.
Walaupun kemenangan BNP dianggap besar, pilihan raya ini dilihat sebagai undian paling kompetitif dalam tempoh beberapa tahun.
Parti Liga Awami pimpinan Cik Hasina yang memerintah lebih 15 tahun sebelum digulingkan, dilarang bertanding.
Kadar keluar mengundi dilaporkan melebihi 42 peratus yang dicatatkan dalam pilihan raya 2024.
Media tempatan melaporkan lebih 60 peratus pengundi berdaftar dipercayai menunaikan tanggungjawab mereka.
Lebih 2,000 calon, termasuk ramai calon bebas, bertanding mewakili sekurang-kurangnya 50 parti, satu rekod baharu dalam sejarah negara itu.
Pengundian di satu kawasan terpaksa ditangguhkan selepas seorang calon meninggal dunia.
Serentak dengan pilihan raya, satu referendum turut diadakan bagi meluluskan beberapa pembaharuan perlembagaan, termasuk penubuhan pemerintah sementara berkecuali ketika tempoh pilihan raya, penstrukturan semula Parlimen kepada dua dewan, peningkatan perwakilan wanita, pengukuhan kebebasan kehakiman serta had dua penggal bagi jawatan perdana menteri.
Keputusan rasmi referendum belum diumumkan, namun akhbar The Daily Star melaporkan 73 peratus daripada hampir 296,000 undi menyokong cadangan tersebut.
Di New Delhi, Cik Hasina yang kini berada dalam buangan secara sukarela di India menyifatkan pilihan raya itu sebagai satu sandiwara yang dirancang.
“Ini adalah pilihan raya tanpa pengundi, tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan,” katanya dalam kenyataan selepas pusat pengundian ditutup.
Beliau menuntut pembatalan keputusan serta pemulihan hak mengundi rakyat melalui pilihan raya bebas dan adil di bawah pemerintah sementara berkecuali.
Penentang Cik Hasina pula berpendapat bahawa pilihan raya di bawah pentadbirannya sering dicemari boikot dan tekanan terhadap pengundi serta calon.
Pilihan raya kali ini bermula daripada revolusi pelajar pada Julai 2024 yang tercetus akibat kekecewaan terhadap kelembapan ekonomi dan rasuah meluas.
Tindakan keras Cik Hasina terhadap penunjuk perasaan mencetuskan kemarahan yang akhirnya membawa kepada penggulingannya dan beliau melarikan diri ke India.
Ramai melihat undian ini sebagai ujian sama ada protes jalanan dapat diterjemahkan kepada perubahan politik yang sebenar.
Encik Tarique dalam kempen ringkasnya menyatakan sokongan terhadap tuntutan gerakan pelajar untuk Bangladesh yang lebih demokratik dan inklusif.
Namun, beliau juga mewarisi legasi dinasti politik yang lama mendominasi negara itu. BNP dan Liga Awami merupakan dua parti utama yang silih berganti memerintah sejak kemerdekaan daripada Pakistan pada 1971.
Kemenangan besar BNP kini membuka lembaran baharu dalam politik Bangladesh.
Dengan mandat dua pertiga di parlimen, perhatian tertumpu kepada sejauh mana kerajaan baharu mampu menunaikan janji reformasi, memulihkan ekonomi dan memastikan kestabilan selepas tempoh pergolakan berdarah yang mencabar masa depan negara itu. – Agensi berita.

