Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peranan datuk bandar London, NY dalam gelombang nasionalisme global

Jan 2, 2026 | 5:30 AM
 Encik Sadiq Khan, london mayor
Datuk Bandar London dan Pengerusi Bersama, C40 Cities, Encik Sadiq Khan, bercakap dalam satu wawancara ketika menghadiri Forum Pemimpin Tempatan COP30 di Muzium Seni Moden, Rio de Janeiro, Brazil, pada 5 November. - Foto REUTERS

LONDON/NEW YORK: Kebangkitan dua ahli politik Muslim berhaluan kiri, Encik Zohran Mamdani, di New York dan Encik Sadiq Khan, di London, mencerminkan satu persimpangan penting dalam politik bandar raya sejagat ketika dunia Barat berdepan kebangkitan nasionalisme, xenofobia dan politik identiti yang kian ketara.

Walaupun dipisahkan oleh generasi, latar sosioekonomi dan gaya kepimpinan, kedua-duanya muncul sebagai simbol penentangan terhadap gelombang politik sayap kanan yang menguasai wacana awam di Amerika Syarikat dan Eropah sejak hampir sedekad lalu.

Tahun 2016 menjadi titik pembentuk bagi kedua-dua tokoh itu.

Ketika Encik Sadiq Khan dipilih sebagai Datuk Bandar London dalam suasana referendum Brexit yang sarat dengan kemarahan terhadap migrasi dan globalisasi, Encik Mamdani pula dipengaruhi oleh kempen Presiden Senator Bernie Sanders di Amerika yang mengangkat gagasan sosialis demokratik.

Namun sejak itu, laluan politik mereka berbeza dengan ketara.

Encik Khan muncul sebagai tokoh kelompok tengah arus yang pragmatik, manakala Encik Mamdani tampil sebagai wajah baru kiri progresif yang lebih lantang dan berideologi.

Walaupun begitu, kedua-duanya kini berdepan realiti hampir serupa: Menjadi sasaran serangan politik berunsur Islamofobia dan nasionalisme sempit, termasuk ancaman keselamatan yang memaksa mereka meningkatkan perlindungan peribadi.

Kemenangan Encik Mamdani sebagai Datuk Bandar New York menjadikan dua bandar terbesar di Britain dan Amerika kini diterajui oleh anak imigran Muslim yang menang bukan kerana menyesuaikan diri dengan arus kanan, malah dengan menentangnya.

“Kita sedang berada dalam era kebangkitan populisme sayap kanan di kedua-dua negara, dan golongan tengah kiri telah dilemahkan dengan ketara,” kata Encik Matthew McGregor, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), badan pemikir progresif, 38 Degrees, di London.

Namun menurutnya, Encik Khan dan Encik Mamdani luar biasa kerana “menggunakan kuasa bandar raya untuk menggerakkan kemajuan, bukan sekadar bertahan”.

Dari segi dasar, terdapat persamaan yang jelas.

Encik Mamdani menjadikan isu kos sara hidup sebagai teras kempen, termasuk cadangan bas percuma, penjagaan kanak-kanak sejagat dan pembekuan sewa.

Encik Khan pula menumpukan kepada perumahan mampu milik, pengangkutan awam dan dasar alam sekitar seperti pengurangan kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara.

Namun perbezaan generasi dan latar belakang membentuk pendekatan yang berbeza.

Encik Khan, kini berusia 55 tahun, dibesarkan dalam keluarga kelas pekerja Pakistan di perumahan awam London dan telah menghabiskan lebih dua dekad dalam politik arus perdana Parti Buruh.

Encik Mamdani, 34 tahun, pula merupakan anak seorang profesor dan pembikin filem, membesar dalam persekitaran lebih selesa, dan secara terbuka mengaitkan pemikiran politiknya dengan tradisi intelektual ayahnya.

Perbezaan itu turut tercermin dalam penerimaan politik.

Encik Mamdani dikritik sebagai terlalu berhaluan kiri, bahkan berbahaya dari sudut fiskal, oleh lawan dan sebahagian elit Demokrat.

Sebaliknya, Encik Khan sering ditegur oleh pengundi berhaluan kiri sebagai terlalu berhati-hati dan bertolak ansur.

Namun kedua-duanya berkongsi satu ciri utama: Kemampuan membina sokongan merentas kaum dan agama dalam bandar raya yang sangat pelbagai.

Isu Palestin menjadi garis pemisah yang paling sensitif.

Encik Khan secara terbuka menyokong pengiktirafan negara Palestin dan menyifatkan tindakan Israel di Gaza sebagai “genosid”, selari dengan sentimen awam di London yang dipengaruhi sejarah Britain di Palestin.

Encik Mamdani pula mendapat sokongan kuat daripada pengundi progresif kerana pendiriannya yang tekal terhadap hak Palestin dan gesaan awal gencatan senjata, tetapi pada masa sama berdepan tuduhan anti-Israel dan tekanan daripada masyarakat Yahudi New York yang besar.

Dalam satu wawancara media konservatif, Encik Mamdani mengelak soalan mengenai pelucutan senjata Hamas, dengan menegaskan tumpuannya terhadap isu tempatan.

Namun tindak balas lawan politik jauh lebih keras.

Seorang ahli Kongres Republikan menyifatkannya sebagai “penyokong jihad”, satu label yang dikritik pasukannya sebagai berbahaya dan berunsur kebencian agama.

Demografi bandar menjelaskan sebahagian tekanan itu.

London mempunyai sekitar 15 peratus penduduk Muslim dan masyarakat Yahudi yang kecil, manakala di New York, penduduk Muslim membentuk sekitar 6 peratus, jauh lebih kecil berbanding masyarakat Yahudi.

Realiti itu mempengaruhi ruang gerakan strategik politik masing-masing.

Serangan dari sayap kanan turut mengikat nasib mereka.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, pernah menyifatkan Encik Mamdani sebagai “komunis tulen” dan Encik Khan sebagai “gagal sepenuhnya”.

Sekutu Encik Trump seperti Encik Stephen Bannon pula menuduh kedua-duanya sebagai sebahagian daripada “pakatan merah hijau” antara haluan kiri dengan Islam radikal.

Namun Encik Khan dan Encik Mamdani tidak berundur.

Encik Khan menuduh Encik Trump menyemarakkan politik perpecahan, manakala Encik Mamdani menyifatkan era Encik Trump sebagai “zaman kegelapan politik” yang menormalkan kebencian terhadap Muslim.

Encik Khan sendiri menyifatkan kemenangan Encik Mamdani sebagai kemenangan “harapan mengatasi ketakutan, dan perpaduan mengatasi perpecahan”.

Menurutnya, “apa yang dilakukan oleh Datuk Bandar London dan Datuk Bandar New York bukan lagi peranan tempatan semata-mata, tetapi peranan sejagat”.

Ketika kedua-duanya melangkah ke fasa baru kepimpinan, perbezaan ideologi mungkin kekal, tetapi cabaran yang dihadapi semakin selari.

Dalam dunia yang semakin terpolarisasi, bandar raya besar muncul sebagai medan utama pertarungan nilai, dan Encik Khan serta Encik Mamdani kini berdiri di barisan hadapan – bukan sekadar sebagai pemimpin bandar, malah sebagai simbol politik zaman ini. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg