Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mamdani buka jalan pengiktirafan politik untuk komuniti Muslim New York

Nov 8, 2025 | 5:30 AM
Zohran Mamdani, calon utama Demokrat dalam perlumbaan Datuk Bandar New York, berucap di luar sebuah masjid dan pusat kebudayaan di Bronx pada 24 Oktober 2025. Mamdani menggunakan sidang media petang itu untuk memberi respons terhadap kenyataan pesaing utamanya, Andrew Cuomo, yang sehari sebelumnya menuduh bahawa Mamdani “akan bersorak” sekiranya serangan 9/11 berlaku lagi.
Zohran Mamdani, calon utama Demokrat dalam perlumbaan Datuk Bandar New York, berucap di luar sebuah masjid dan pusat kebudayaan di Bronx pada 24 Oktober 2025. Mamdani menggunakan sidang media petang itu untuk memberi respons terhadap kenyataan pesaing utamanya, Andrew Cuomo, yang sehari sebelumnya menuduh bahawa Mamdani “akan bersorak” sekiranya serangan 9/11 berlaku lagi. - Foto AFP

NEW YORK: Pada malam Selasa, 4 November, suasana di kafe Moka & Co. di Astoria, Queens bagaikan pesta sejarah. Di tengah hiruk-pikuk restoran halal dan kafe Yaman di kejiranan padat imigran itu, ratusan orang membanjiri ruang sempit kafe bagi menyaksikan keputusan pilihan raya Datuk Bandar New York.

Di antara aroma kopi panas dan skrin televisyen gergasi, gema perbualan dalam Bahasa Inggeris, Bangladesh dan Arab bergema menandakan detik penting buat komuniti Muslim dan Asia Selatan di kota metropolitan tersebut.

Ketika jam menunjukkan pukul 9.30 malam, keputusan rasmi diumumkan: Zohran Mamdani menang. Sorakan “Mamdani! Mamdani!” bergema di seluruh ruang, disusuli cahaya lampu telefon yang menyinari wajah-wajah teruja. Ramai menitis air mata.

Bagi komuniti Muslim di New York, sesuatu yang dahulunya tampak mustahil kini menjadi kenyataan, bandar terbesar di Amerika Syarikat itu akhirnya bakal dipimpin oleh Datuk Bandar Muslim pertama. “Alhamdulillah,” ujar seorang anak muda dengan penuh syukur.

Cik Fatima Khan, 32 tahun, seorang aktivis komuniti, berkata beliau tidak menyangka dapat menyaksikan saat bersejarah ini secara langsung. “Rasa seperti mimpi,” katanya sambil menahan sebak. “Kita bukan sahaja ada Datuk Bandar Muslim, tapi seorang pemimpin yang faham realiti hidup rakyat.”

Politik dan Identiti: Dari Masjid ke Media Sosial

Apabila Encik Mamdani mengangkat sumpah pada 1 Januari nanti, beliau bukan sekadar pemimpin tempatan tetapi bakal menjadi wakil Muslim paling berprofil tinggi dalam sejarah politik Amerika.

Sejak tragedi 11 September 2001, masyarakat Islam di New York sering berdepan prejudis dan pengawasan ketat. Namun kemenangan Encik Mamdani menandakan titik perubahan besar. Ia menandakan bahawa komuniti Muslim kini bukan sahaja sebahagian daripada struktur sosial bandar itu, malah kini menjadi teras politiknya.

“Saya mengundi awal, dan saya menangis,” kata Cik Sumaiya Chowdhury, 41 tahun, seorang ahli farmasi dari Queens. “Saya tidak pernah bayangkan seorang Muslim boleh menang jawatan Datuk Bandar New York. Ini detik yang saya akan ceritakan kepada anak-anak saya.”

Kempen Encik Mamdani berteraskan satu kata kunci mudah: “affordability” atau kemampuan hidup di bandar yang terkenal dengan kos sara hidup yang melampau. Beliau menjadikan isu perumahan, sewa rumah, penjagaan kanak-kanak dan harga makanan sebagai fokus utama.

“New York terlalu mahal untuk rakyat biasa,” katanya dalam satu temu bual kempen. “Saya mahu menjadikan bandar ini tempat di mana pekerja, bukan jutawan, boleh membesarkan keluarga.”

Pendekatan ini menarik minat pengundi kelas pekerja, ramai daripadanya imigran Muslim, Bangladesh, Pakistan dan Arab. Ramai yang mengundi buat kali pertama, tertarik dengan mesej Encik Mamdani yang menyentuh kehidupan sebenar mereka.
“Bukan kerana beliau Muslim, tapi kerana beliau peduli,” kata Encik Tarek Mnawer, 46 tahun, dari Bronx. “Kalau beliau mampu turunkan kos sara hidup, semua orang akan rasa manfaatnya.”

Kempen Encik Mamdani menggabungkan strategi moden media sosial dengan cara tradisional dengan mengetuk ribuan pintu rumah di kawasan majoriti Muslim seperti Ozone Park, Jamaica, Kensington dan Parkchester. Pasukannya berkempen dalam pelbagai bahasa termasuk Arab, Bangladesh dan Urdu, menjadikan kempen ini antara yang paling berbilang budaya dalam sejarah New York.

Selain mesej ekonomi, Encik Mamdani juga menjadikan identiti Muslim sebagai kekuatan, bukan beban. Beliau berkunjung ke lebih 50 masjid sepanjang kempen, solat bersama jemaah dan berbuka puasa di bulan Ramadan bersama masyarakat.

Salah satu momen paling tular ialah ketika beliau memuat naik gambar berbuka puasa dengan burrito di dalam tren Q subway mencetuskan kehangatan di media sosial.

Bagi sesetengah pihak, tindakan itu menimbulkan perdebatan. Tetapi bagi ramai pengundi Muslim, ia melambangkan keaslian dan kejujuran seorang pemimpin yang tidak takut menunjukkan identitinya.

“Itu Zohran yang sebenar, seorang anak imigran yang masih menaiki tren seperti rakyat biasa,” kata Cik Rana Abdelhamid, pengasas pertubuhan bukan berasaskan keuntungan di Queens. “Kami sudah lama menjadi tulang belakang bandar ini dari pemilik kedai halal hingga guru sekolah. Kini tiba masa kami diiktiraf,” ujar Cik Lana.

Melawan Islamofobia dan Ketakutan Lama - Kebangkitan Politik Baru

Namun kemenangan Encik Mamdani bukan tanpa cabaran. Dalam minggu-minggu terakhir kempen, beliau menjadi sasaran serangan Islamofobia, dengan beberapa pengulas konservatif menuduhnya “radikal” dan “pro-Hamas.”

Berucap di hadapan Pusat Kebudayaan Islam Bronx pada akhir Oktober, Encik Mamdani memberi respons tegas: “Selama ini ramai antara kita hidup dalam bayang-bayang, seolah-olah harus bersembunyi kerana nama atau agama kita. Tapi hari ini, saya berdiri di sini sebagai Muslim dan saya tidak akan bersembunyi lagi.”

Kata-kata itu disambut dengan sorakan gemuruh dan mendapat sorakan panjang. Bagi ramai Muslim di New York, detik itu menjadi simbol peralihan daripada politik ketakutan kepada politik keberanian.

“Kami selalu dengar New York disebut ‘melting pot’ iaitu tempat semua orang diterima,” kata Encik Asad Dandia, ahli sejarah awam yang pernah menyaman Polis New York selepas disiasat kerana aktiviti di masjid. “Tapi untuk kali pertama, saya rasa ia benar-benar nyata. Kita sudah bersedia untuk seorang Datuk Bandar Muslim.”

Kemenangan Encik Mamdani turut membangkitkan semangat politik dalam kalangan Muslim dan Asia Selatan di New York. Beberapa tokoh muda, termasuk Cik Mary Jobaida dari komuniti Bangladesh, telah mengumumkan hasrat bertanding di kerusi dewan negeri yang ditinggalkan Encik Mamdani di Astoria. “Zohran menunjukkan bahawa suara kita penting. Kami juga boleh memimpin,” kata Cik Mary.

Cik Aminata Diallo, 28 tahun, pelajar dari Mali yang kini menetap di Bronx, berkongsi pandangan sama. “Cerita hidup Zohran sama seperti ramai antara kami, anak imigran, berjuang menyesuaikan diri. Tapi beliau buktikan kita bukan sekadar warganegara, kita sebahagian daripada masa depan bandar ini.”

Makna Global di Sebalik Kemenangan

Secara simbolik, kemenangan Zohran Mamdani membawa erti lebih besar daripada sekadar kejayaan politik tempatan. Ia melambangkan kebangkitan semula idealisme progresif dan keterbukaan terhadap identiti Muslim dalam sistem politik Amerika.

Bagi dunia Islam, Encik Mamdani kini menjadi wajah baharu Amerika moden, seorang pemimpin muda, berprinsip, dan berani mencabar ketidakadilan. “Ini bukan kemenangan individu. Ini kemenangan untuk semua yang percaya bahawa keadilan dan kemanusiaan harus memimpin politik,” katanya dalam ucapan kemenangannya di Brooklyn.

Penganalisis politik Encik Ashik Siddique dari Demokrat Sosialis Amerika menyifatkan kemenangan itu sebagai “haluan baru untuk politik Amerika.” “Pilihan raya ini membuktikan idea demokratik sosialis bukan ancaman, tetapi harapan. Zohran menunjukkan bahawa dasar berasaskan rakyat boleh menang, walau di tengah arus kapitalisme bandar.”

Walaupun Presiden Donald Trump melabelnya sebagai “komunis kecil,” kemenangan Mamdani membuktikan bahawa politik berasaskan empati dan keberanian moral masih mampu menarik hati pengundi.

Kemenangan Zohran Mamdani bukan hanya tentang politik tetapi ia tentang identiti, harapan, dan pengiktirafan terhadap komuniti yang selama ini berada di pinggiran. Dari kafe kecil di Astoria hingga ke pejabat Datuk Bandar, perjalanan beliau mencerminkan peralihan sejarah Amerika daripada politik ketakutan kepada politik harapan.

“Zohran bukan sekadar memenangi undi,” kata Cik Fatima Khan, sambil tersenyum. “Beliau memenangi hati kami dan mungkin, mengubah sejarah bandar ini untuk selamanya.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg