Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kabinet Prabowo bina ikatan melalui rahat 3 hari di akademi tentera

Oct 25, 2024 | 10:24 AM
Menteri Pelancongan, Cik Widiyanti Putri Wardana (empat dari kiri), bersama anggota Kabinet Merah Putih di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur sebelum berlepas untuk rahat Kabinet di Akademi Tentera di Magelang, Jawa Tengah, pada 22 Oktober dengan menaiki pesawat tentera.
Menteri Pelancongan, Cik Widiyanti Putri Wardana (empat dari kiri), bersama anggota Kabinet Merah Putih di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur sebelum berlepas untuk rahat Kabinet di Akademi Tentera di Magelang, Jawa Tengah, pada 22 Oktober dengan menaiki pesawat tentera. - Foto INSTAGRAM WIDIYANTI PUTRI WARDANA

JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto bersama hampir semua anggota Kabinet Merah Putih menjalani rahat selama tiga hari di Akademi Tentera Nasional Indonesia (TNI) sebagai sebahagian daripada usaha Encik Prabowo untuk memperkukuhkan disiplin dan kerjasama dalam kalangan para menterinya.

Permukiman yang diadakan dari 25 Oktober hingga 27 Oktober di Magelang, Jawa Tengah itu, dikelilingi kawasan gunung berapi, kira-kira 500 kilometer di timur Jakarta.

Rombongan Presiden berangkat dari Jakarta pada 24 Oktober sekitar 1.30 petang dengan menaiki dua pesawat tentera, Hercules C-130J dan Boeing 737 milik Angkatan Udara Indonesia.

Lebih 100 anggota menteri Kabinet dan timbalan mereka, yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli politik, teknokrat, bekas pegawai tentera dan pemimpin agama menyertai kegiatan luar seperti latihan membangun semangat berpasukan dan pelbagai aktiviti ketahanan fizikal lain.

Setiap anggota Kabinet menerima pakaian lengkap latihan, termasuk jaket, seluar dan but taktikal sebaik sahaja tiba di lokasi latihan.

Para anggota Kabinet ditempatkan di dalam khemah yang disediakan di kawasan akademi tentera sepanjang rahat dan tidak akan menginap di hotel mewah seperti kebiasaannya.

Namun, mereka akan menjalani kehidupan serba sederhana, menekankan nilai ketenteraan yang menuntut disiplin dan daya tahan.

Terdahulu Menteri Perlindungan Migran, Encik Abdul Kadir Karding, memberitahu bahawa rahat itu bukan sekadar untuk membina stamina fizikal, bahkan juga untuk memperkuat semangat kerja berpasukan dan mengukuhkan ikatan antara mereka.

“Pak Prabowo mahu memastikan semua anggota Kabinet memahami visinya, supaya kami dapat bekerjasama dengan lebih baik. Beliau sentiasa menekankan kepentingan kesepaduan,” kata Encik Karding.

Dalam mesyuarat Kabinet yang diadakan pada 23 Oktober di Istana Negara, Jakarta, Presiden Prabowo menekankan pentingnya latihan berpasukan demi memastikan setiap anggota Kabinet berkongsi visi dan misinya bagi lima tahun mendatang.

“Pasukan yang baik dan mampu bekerja bersama akan memudahkan kita mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” kata Encik Prabowo.

“Magelang bukan sahaja lokasi latihan, bahkan simbol kepada keberanian dan cinta tanah air.

“Semangat juang Pangeran Diponegoro perlu menjadi inspirasi kepada kita semua dalam usaha membangunkan negara,” jelas Encik Prabowo.

Pangeran Diponegoro, seorang pahlawan nasional Indonesia, memulakan perjuangan lima tahun menentang penjajah Belanda dari 1823 hingga 1830.

Sepanjang rahat itu anggota Kabinet juga akan mengikuti pelbagai sesi perbincangan dan latihan berkaitan dasar utama pentadbiran Encik Prabowo.

Modul antirasuah juga menjadi sebahagian daripada sesi yang dijadual dibincangkan dalam permukiman tersebut.

“Rasuah adalah musuh utama pembangunan negara. Saya tidak akan berkompromi dalam hal ini.

“Mereka yang tidak patuh kepada arahan atau tidak bekerja keras, saya akan singkirkan,” tegas Encik Prabowo dalam mesyuarat Kabinet pada 23 Oktober.

Salah satu dasar utama yang akan diberi penekanan adalah program makanan percuma yang menjadi salah satu janji kempen Encik Prabowo.

Dasar itu bertujuan untuk memastikan setiap rakyat, terutama golongan miskin, mendapat makanan asas secara percuma sebagai usaha mengurangkan kemiskinan.

Kabinet Merah Putih terdiri daripada 109 anggota termasuk menteri, wakil menteri dan ketua agensi kerajaan. Ia merupakan salah satu Kabinet terbesar dalam sejarah politik Indonesia. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg