Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perancis, Britain dan AS rangka draf ketetapan PBB bagi pengaman di Gaza

Oct 17, 2025 | 2:16 PM
Penduduk Palestin berlindung di dalam sebuah bangunan Universiti Islam yang musnah ketika gencatan senjata antara Israel dngean Hamas sedang berlangsung di Bandar Gaza pada 16 Oktober 2025.
Penduduk Palestin berlindung di dalam sebuah bangunan Universiti Islam yang musnah ketika gencatan senjata antara Israel dngean Hamas sedang berlangsung di Bandar Gaza pada 16 Oktober 2025. - Foto REUTERS

PARIS: Perancis mengesahkan negara itu sedang bekerjasama rapat dengan Britain dan Amerika Syarikat untuk memuktamadkan satu draf ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bakal menjadi asas kepada pembentukan pasukan antarabangsa di Gaza dalam beberapa hari akan datang.

Usaha itu dibuat ketika gencatan senjata rapuh antara Israel dengan Hamas yang diusahakan oleh Amerika masih bertahan, sementara perbincangan mengenai masa depan keselamatan wilayah Palestin tersebut semakin giat dijalankan.

Jurucakap Kementerian Luar Perancis, Encik Pascal Confavreux, berkata pasukan antarabangsa itu mesti mendapat mandat rasmi daripada PBB bagi memastikan kekuatan undang-undang antarabangsa dan menarik penyertaan lebih luas daripada negara lain.

“Perancis sedang bekerja rapat dengan rakan-rakannya untuk menubuhkan misi antarabangsa ini, yang perlu disahkan melalui penerimaan ketetapan Majlis Keselamatan PBB,” katanya kepada wartawan di Paris.

“Perbincangan, terutamanya dengan pihak Amerika dan Britain, sedang berlangsung dan kami berharap resolusi itu dapat dibentangkan dalam beberapa hari akan datang,” tambahnya.

Diplomat berkata pasukan yang dirancang itu tidak akan berbentuk misi pengaman rasmi PBB, yang lazimnya dibiayai dan dikawal sepenuhnya oleh badan dunia tersebut.

Sebaliknya, ketetapan baru itu dijangka mencontohi tindakan Majlis Keselamatan dalam menyokong penempatan pasukan antarabangsa di Haiti bagi memerangi kumpulan bersenjata di sana.

Ketetapan itu akan memberi kuasa kepada negara penyertaan untuk “mengambil semua langkah perlu” – istilah diplomatik yang memberi ruang kepada penggunaan kekuatan ketenteraan bagi melaksanakan mandatnya.

Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, berkata di Parlimen bahawa penubuhan pasukan tersebut masih di peringkat awal.

“Pasukan penstabilan ini akan mengambil masa. Rangka terma rujukan masih digubal. Saya berharap Majlis Keselamatan PBB akan meluluskan ketetapan mengenai pembentukan pasukan ini,” kata Encik Starmer.

Menurut dua penasihat kanan Amerika, Washington sedang berunding dengan beberapa negara termasuk Indonesia, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Qatar dan Azerbaijan mengenai kemungkinan penyertaan mereka dalam pasukan berkenaan.

Penasihat kanan Amerika turut mendedahkan terdapat dua dozen anggota tentera Amerika yang kini ditempatkan di rantau tersebut bagi membantu menyediakan operasi penstabilan dalam peranan penyelarasan dan pemantauan.

Italy telah menyatakan secara terbuka kesediaannya menyertai pasukan berkenaan.

Paris sebelum ini telah menjadi tuan rumah kepada perbincangan bersama negara Eropah dan Arab pada 10 Oktober bagi memperincikan cadangan tentang peralihan Gaza pascaperang, termasuk bagaimana pasukan antarabangsa itu akan dibentuk.

Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB pada 23 September lalu, menyatakan bahawa negaranya bersedia menghantar 20,000 atau lebih anggota tentera sekiranya PBB meluluskan ketetapan rasmi bagi mewujudkan pasukan keamanan di Gaza.

“Jika ketetapan itu diterima, Indonesia komited untuk memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan dan kestabilan di Gaza,” kata Encik Prabowo.

Ketetapan yang sedang digubal itu muncul selepas Perhimpunan Agung PBB yang dianggotai 193 negara pada September lalu meluluskan secara besar-besaran satu deklarasi menyokong penyelesaian dua negara antara Israel dengan Palestin.

Deklarasi itu turut menyokong penubuhan misi penstabilan sementara di bawah mandat Majlis Keselamatan.

Penganalisis melihat langkah Perancis, Britain dan Amerika ini sebagai usaha diplomatik penting untuk membuka ruang kepada pemulihan semula Gaza pascaperang, di samping mengekang risiko kekacauan baru.

“Mandat PBB adalah asas legitimasi antarabangsa,” ujar Encik Confavreux.

“Hanya melalui kerjasama sejagat dan kerangka undang-undang yang jelas, kita boleh memastikan keamanan sebenar di Gaza,” tambahnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg