LONDON: Britain akan mengiktiraf negara Palestin secara rasmi hujung minggu ini, selepas Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump – yang menentang keputusan itu – meninggalkan United Kingdom pada akhir lawatan negaranya, lapor akhbar Times.
Perdana Menteri Encik Keir Starmer memberi amaran pada Julai bahawa Britain akan mengambil langkah mengiktiraf negara Palestin kecuali Israel bertindak untuk melegakan penderitaan di Gaza dan mencapai gencatan senjata dalam perang hampir dua tahun dengan Hamas.
Israel berkata tindakan mengiktiraf sebuah negara Palestin – di mana Perancis, Canada, dan Australia berkata mereka akan ambil langkah yang sama pada September – berupa memberi ganjaran kepada Hamas.
The Times, tanpa memetik sumbernya, berkata Britain akan membuat pengumuman sebaik sahaja Encik Trump melengkapkan lawatannya pada 18 September.
Kementerian Luar Britain tidak segera menjawab permintaan untuk memberi komen.
Pada Julai, Encik Trump, yang sedang melakukan lawatan negara keduanya yang belum pernah berlaku sebelum ini ke Britain, berkata beliau tidak kisah jika Britain membuat langkah sedemikian.
Tetapi sejak itu, Amerika menyatakan dengan jelas tentangannya terhadap sebarang tindakan mengiktiraf negara Palestin oleh sekutu Eropahnya.
Encik Starmer, yang berada di bawah tekanan daripada beberapa pihak dalam Parti Buruhnya untuk mengambil tindakan yang lebih keras terhadap Israel, berkata Britain akan mengiktiraf kenegaraan Palestin pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan melainkan Israel mengambil langkah substantif untuk meredakan keadaan di Gaza.
Britain telah lama menyokong dasar “penyelesaian dua negara” untuk menamatkan konflik di rantau itu, tetapi sebelum ini berkata ini hanya boleh berlaku apabila tiba masanya.
Pada 12 September, 142 negara, termasuk yang sudah mengiktiraf kedaulatan Palestin dan beberapa negara seperti Singapura, Jerman, Finland dan Denmark, meluluskan ketetapan tidak mengikat di Perhimpunan Agung PBB untuk menghidupkan kembali penyelesaian dua negara.
“Deklarasi New York”, satu kompromi yang disusun dengan teliti dan dipimpin oleh Perancis dan Arab Saudi, menggariskan “langkah nyata, terikat masa, dan tidak boleh diubah” untuk mewujudkan negara Palestin yang hidup secara aman bersama Israel. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg