Perang Iran meluas ke Lebanon dan Teluk, harga minyak naik
Perang Iran meluas ke Lebanon dan Teluk, harga minyak naik
BEIRUT/DUBAI: Kempen ketenteraan udara Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran terus meluas tanpa tanda berakhir apabila konflik kini melibatkan Lebanon, negara Teluk dan sebuah pangkalan tentera Britain di Cyprus.
Ini sekali gus meningkatkan kebimbangan perang serantau berskala besar.
Israel melancarkan serangan ke atas Lebanon pada 2 Mac selepas kumpulan Hezbollah – sekutu utama Teheran menembak peluru berpandu dan dron ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Agensi berita Lebanon melaporkan sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh dan 149 cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan pinggir selatan Beirut.
Tentera Israel berkata sasaran termasuk pemimpin kanan Hezbollah, malah mengisytiharkan ketua kumpulan itu, Encik Naim Qassem, sebagai “sasaran penghapusan”.
Pada masa yang sama, Iran melancarkan peluru berpandu dan dron ke Israel, negara Teluk serta pangkalan udara Britain di Akrotiri, Cyprus.
Letupan dilaporkan di Kuwait, Doha, Dubai dan Abu Dhabi, manakala asap hitam kelihatan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat di Kuwait.
Di Israel, siren serangan udara dibunyikan di Tel Aviv dan Baitulmakdis ketika peluru berpandu dipintas sistem pertahanan.
Pihak berkuasa Britain berkata serangan dron di Cyprus menyebabkan kerosakan kecil tanpa korban.
Rakaman video menunjukkan sebuah pesawat perang Amerika terhempas di kawasan Al Jahra, Kuwait, dengan seorang juruterbang sempat terjun menggunakan payung terjun.
Kementerian Pertahanan Kuwait mengesahkan beberapa pesawat Amerika terhempas namun semua kru selamat.
Dalam perkembangan berkaitan, Washington turut mengesahkan tiga anggota tenteranya terbunuh dalam konflik korban pertama sejak kempen bermula.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menyifatkan mereka sebagai “patriot Amerika sejati” dan berkata operasi ketenteraan boleh berlanjutan selama beberapa minggu.
“Serangan akan diteruskan sehingga semua objektif dicapai,” katanya sambil menggesa rakyat Iran bangkit menentang pemerintah mereka.
Seorang pegawai kanan Rumah Putih berkata rundingan mungkin berlaku pada masa depan tetapi bukan dalam masa terdekat.
“Operasi Epic Fury diteruskan tanpa henti,” katanya.
Bagaimanapun, penasihat kanan Iran, Encik Ali Larijani, menegaskan Teheran tidak akan berunding.
“Cita-cita Trump bersifat khayalan dan beliau kini bimbang tentang korban Amerika,” katanya.
Letupan berterusan kedengaran di Teheran, sementara ribuan penduduk meninggalkan bandar melalui lebuh raya.
Sebahagian rakyat Iran meraikan kematian Khamenei, tetapi kepimpinan konservatif negara itu tidak menunjukkan tanda akan melepaskan kuasa.
Seorang guru, Encik Morteza Sedighi, mengkritik serangan tersebut.
“Mereka membunuh kanak-kanak dan menyerang hospital. Inikah demokrasi yang mahu dibawa?” katanya melalui telefon dari Tabriz.
Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, mengumumkan majlis kepimpinan sementara mengambil alih tugas pemimpin tertinggi negara.
Gangguan penghantaran minyak melalui Selat Hormuz, laluan bagi kira-kira satu perlima perdagangan minyak dunia, mengejutkan pasaran global.
Harga minyak melonjak dua digit apabila pasaran dibuka pada 2 Mac, dengan saham jatuh dan dolar mengukuh.
Pengawal Revolusi Iran mendakwa menyerang tiga kapal tangki minyak Amerika dan Britain serta pangkalan tentera di Kuwait dan Bahrain.
Data perkapalan menunjukkan ratusan kapal termasuk kapal tangki minyak berlabuh dan mengelak kawasan tersebut.
Serangan udara turut melumpuhkan pengangkutan udara apabila lapangan terbang utama Asia Barat, termasuk Dubai, hab penerbangan antarabangsa tersibuk dunia ditutup sementara.
Perkembangan ini meningkatkan kebimbangan bahawa konflik berpanjangan bukan sahaja mencetuskan perang serantau, malah mengancam ekonomi global dan kestabilan politik di banyak negara.
Penganalisis memberi amaran tanpa penyelesaian diplomatik segera, perang berpotensi berlarutan dan merebak lebih luas dalam beberapa minggu akan datang. – Agensi berita.

