BEIJING: Jutaan rakyat China mula pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan paling penting dalam budaya mereka, Tahun Baru Cina, yang akan bermula pada Rabu, 29 Januari.
Dikenali sebagai Tahun Ular, perayaan ini mencatat fenomena migrasi tahunan terbesar, dikenali sebagai Chunyun, dengan rekod 9 bilion perjalanan domestik dijangka berlaku sepanjang tempoh ini.
Stesen kereta api dan lapangan terbang di seluruh China sesak dengan penumpang yang berpusu-pusu pulang ke kampung halaman untuk makan malam perjumpaan keluarga dan memulakan tahun baru bersama orang tersayang.
Ahad, 26 Januari, beberapa hari sebelum Tahun Baru Cina, dilaporkan sebagai kemuncak perjalanan dengan stesen kereta api dan lapangan terbang di seluruh negara sesak dengan lautan manusia.
Menurut Kementerian Pengangkutan China, sekitar 510 juta perjalanan kereta api dan 90 juta perjalanan udara dijangka direkodkan sepanjang tempoh Chunyun pada tahun 2025 ini.
Pada penghujung 2024, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) memasukkan perayaan Tahun Baru Cina dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan, manakala Perhimpunan Agung PBB pada tahun sebelumnya mengiktiraf Tahun Baru Cina sebagai cuti rasmi PBB.
Pengiktirafan ini mencerminkan pengaruh global perayaan yang kini diraikan di hampir 200 negara dan wilayah, dengan sekitar 20 negara menjadikannya cuti umum rasmi.
Di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia, jalan raya yang biasanya sibuk kini sunyi sepi apabila ribuan penduduk bandar berpusu-pusu meninggalkan ibu kota untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga mereka.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melaporkan bahawa 90 peratus daripada 248,288 tiket telah terjual setakat 25 Januari, termasuk semua tiket bagi tempoh 24 Januari hingga 2 Februari.
Lembaga Lebuhraya Malaysia menjangkakan sebanyak 2.6 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya setiap hari sepanjang musim perayaan.
Manakala di Vietnam, Vietnam Railways memperkenalkan dua kereta api khas, dikenali sebagai ‘Spring Train,’ yang menghubungkan Hanoi dan Ho Chi Minh pada malam Tahun Baru Cina.
Kereta api ini dihiasi dengan lukisan berkaitan tradisi Tet atau Tahun Baru Cina seperti pasar bunga dan kaligrafi. Aktiviti kebudayaan lain seperti pameran seni dan bengkel lukisan juga diadakan di stesen-stesen utama.
Di Indonesia, di mana berjuta-juta penduduknya berketurunan Cina, orang ramai berkumpul untuk menyaksikan persembahan tradisional gendang yang diselang-seli dengan pertunjukan boneka naga dan singa.
Tarian naga tersebut, yang panjangnya mencapai 20 meter dan dipegang oleh sekitar sedozen orang, melintasi pentas dengan penuh meriah. Pada hari Ahad, 26 Januari beberapa hari sebelum Tahun Baru Cina, kumpulan tersebut memuatkan boneka dan pemain ke dalam sebuah trak kecil untuk persembahan di sebuah pusat membeli-belah di Jakarta.
Sementara itu, China-Laos Railway turut menyediakan pelbagai persembahan seperti nyanyian, tarian dan pertunjukan akrobatik diadakan di dalam kereta api untuk memeriahkan perjalanan. Laluan ini menjadi pilihan popular di kalangan pelancong yang ingin merasai semangat Tahun Baru Cina sambil melintasi sempadan antara China dan Asia Tenggara.
Di Eropah, Perancis menyambut Tahun Baru Cina dengan melancarkan setem peringatan khas yang memaparkan ular hijau di atas latar belakang oren. Ini merupakan tahun ke-21 berturut-turut Perancis meraikan Tahun Baru Cina dengan setem bertema zodiak.
Di Arab Saudi, Pasar Festival Musim Bunga yang diadakan di Istana Kebudayaan Riyadh menjadi tarikan utama, termasuk zon e-sukan yang mempamerkan permainan popular seperti “Black Myth: Wukong” dan “Honor of Kings.” Presiden Persatuan E-Sukan Kebangsaan Arab Saudi, Putera Faisal bin Bandar bin Sultan Al Saud, menyatakan bahawa e-sukan adalah cara yang kuat untuk menghubungkan belia di seluruh dunia.
Amiriah Arab Bersatu (UAE) pula menyediakan pelbagai sambutan termasuk perarakan kenderaan tenaga baharu dan persembahan kebudayaan oleh artis-artis dari wilayah Shandong, China. Yas Island di Abu Dhabi menjadi tumpuan untuk acara kebudayaan khas yang menyatukan penduduk tempatan dan pelancong.
Perayaan Tahun Baru Cina turut membawa impak di luar China, termasuk di Thailand, di mana permintaan terhadap wang kertas baharu meningkat mendadak, menyebabkan kekurangan bekalan di beberapa bank. Wang kertas ini digunakan untuk angpau, sampul merah berisi wang tunai yang melambangkan kegembiraan dan keberuntungan, yang masih menjadi pilihan ramai walaupun pembayaran digital semakin popular.
“Perayaan Tahun Baru Cina bukan sahaja mempererat hubungan keluarga tetapi juga memperkenalkan budaya Cina kepada dunia. Ini adalah lambang keharmonian dan perpaduan global,” kata Profesor Zhang Wei, pakar budaya dari Universiti Peking. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg