Cik Nur Fazura Poh, 34 tahun, telah memeluk agama Islam sejak 2017, tetapi beliau tidak pernah melupakan asal usul budaya Cina.
Malah, beliau kini giat memanfaatkan media sosial untuk berkongsi dengan orang ramai tentang Tahun Baru Cina dan kepentingan perayaan itu bagi dirinya.
Pembantu pentadbir guaman itu merupakan seorang pempengaruh yang giat berkongsi tentang makanan halal, gaya fesyen buat wanita berhijab, serta gaya hidupnya sebagai seorang Muslim yang berbangsa Cina.
Kini, beliau mempunyai sekitar 12,700 pengikut di Instagram dan 600 pengikut di Lemon8.
“Lemon8 ibarat blog peribadi bagi saya kerana dapat berkongsi secara mendalam tentang cabaran dan kegembiraan yang telah saya lalui, dan cara saya mengatasinya,” jelas Cik Fazura, yang memeluk agama Islam apabila beliau mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Encik Mohammed Farid Abdullah, 34 tahun, yang berbangsa Melayu, pada 2018.
Antara kandungan yang sering dikongsi Cik Fazura adalah cara beliau menganjurkan perhimpunan keluarga sebagai peluang pertukaran budaya bagi kedua-dua pihak.
Melalui cara ini, Cik Fazura dapat membuktikan bahawa keseimbangan budaya Melayu/Islam dan Cina tidak mustahil.
“Pada hari lahir anak saya, saya telah menjemput ibu dan ayah mentua saya ke rumah keluarga Cina saya. Kami melambung Lo Hei bersama-sama, dan melalui itu, saya dapat kongsi budaya saya bersama keluarga Melayu saya,” kata Cik Fazura.
Tambahan pula, beliau memastikan bahawa anak perempuannya, Erina En Ting Mohammad Farid, lima tahun, boleh berbual dan memahami Bahasa Cina dan Melayu.
Menurutnya, sokongan daripada masyarakat dalam talian amat positif dan sentiasa memberi beliau semangat untuk meneruskan perjalanannya sebagai seorang pencipta kandungan, ataupun ‘content creator’.
Namun, beliau berkata ada juga yang akan memberi komen kurang beralas dan kadangkala tidak wajar.
“Boleh tak kamu tukar balik menjadi Cina?” adalah salah satu contoh komen negatif yang pernah diterima Cik Fazura.
“Apabila saya dapat komen negatif seperti ini, saya akan mengambil beberapa minit untuk berfikir cara yang terbaik memberi tindak balas,” ujarnya.
Cik Fazura turut menekan betapa penting baginya untuk sentiasa mendidik mereka yang kurang sedar tentang perbezaan agama dan budaya.
Sesiapa yang pernah melihat akaun Instagram dan Lemon8 Cik Fazura akan mendapati beliau juga seorang penggemar makanan.
Inilah salah satu aspek budaya yang kekal walaupun sudah menjadi seorang Muslim.
“Bagi saya, tiada perubahan (kepada gaya hidup saya). Sebagai contoh, orang berbangsa Cina suka makan ‘hot pot’. Tapi kini ada alternatif halal yang anda boleh cuba bersama kawan-kawan,” kata Cik Fazura.
Untuk memperkukuh budayanya dan cintanya terhadap makanan Cina, beliau berusaha mencari pelbagai makanan halal di Singapura dan di luar negara untuk dikongsi bersama pengikutnya.
Selain makanan halal, Cik Fazura juga gemar menunjukkan cara beliau menggayakan hijabnya dengan cara yang cantik dan sopan.
Tujuannya adalah untuk terus mendidik sahabat dan keluarganya bahawa walaupun sudah berhijab, ia tidak bermakna beliau tidak boleh kelihatan cantik dan bergaya.
Menurutnya, menjalankan tugas media sosial sementara menjaga anaknya sambil bekerja sepenuh masa bukan mudah.
“Pengikut saya dan kawan-kawan saya sentiasa menerima perkongsian saya dengan hati terbuka dan positif. Merekalah yang mendorong saya untuk sentiasa jalan terus,” kata Cik Fazura lagi.
Tahun Baru Cina ini, beliau sekeluarga akan menyambutnya dengan makan malam bersama keluarga Cina dan Melayu mereka.
“
Pengikut saya dan kawan-kawan saya sentiasa menerima perkongsian saya dengan hati terbuka dan positif. Merekalah yang mendorong saya untuk sentiasa jalan terus.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg