BANGKOK: Seramai 17 orang awam Thailand telah terkorban dalam konflik sempadan Thailand-Kemboja setakat 31 Julai, menurut Kementerian Kesihatan Awam Thailand.
Konflik tersebut turut menjejaskan kemudahan kesihatan, dengan 20 hospital terkesan. Sembilan daripadanya ditutup sepenuhnya, manakala 11 lagi menggantung sebahagian perkhidmatan.
Selain itu, 139 pusat kesihatan komuniti turut terjejas, dengan 128 ditutup sepenuhnya dan 11 ditutup sebahagian.
Dr Varoth Chotpitayasunodh, jurucakap Kementerian Kesihatan Awam, berkata bahawa 12 orang mengalami kecederaan serius, 13 cedera sederhana, dan 13 lagi mengalami kecederaan ringan.
Sembilan pesakit masih dirawat di hospital, dengan enam dalam keadaan kritikal dan tiga dalam keadaan sederhana. Seramai 21 pesakit telah dibenarkan keluar selepas menerima rawatan.
Kementerian telah menggerakkan 445 pasukan kesihatan awam daripada 1,167 yang disediakan, termasuk Pasukan Tindak Balas Kecemasan Perubatan (MERT), Mini MERT, Sokongan Hidup Lanjutan, Pasukan Siasatan Bersama, Pasukan Penilaian dan Rawatan Krisis Kesihatan Mental (MCATT), serta Pasukan Tindak Balas Kesihatan Persekitaran Khas.
Sebanyak 43 lagi pasukan sokongan berada dalam keadaan bersiap sedia untuk digerakkan ke kawasan berisiko tinggi.
Dari segi penjagaan kesihatan mental, seramai 54,506 orang telah disaring, dengan 1,603 dikenal pasti mengalami tekanan tinggi dan 231 orang berisiko untuk membunuh diri.
MCATT bersama ahli psikologi dan psikiatri sedang memberikan bantuan, termasuk pemberian ubat kepada mereka yang berada dalam keadaan kritikal dan dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg