PHNOM PENH Walaupun tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Sen muncul semula sebagai watak dominan dalam konflik sempadan terbaru dengan Thailand, mencerminkan pengaruh berterusannya dalam politik negara dan rantau ini.
Krisis yang tercetus 24 Julai lalu menyaksikan pertempuran sengit di sepanjang sempadan 817 kilometer yang belum dimuktamadkan antara kedua-dua negara. Ketika konflik memuncak dan artileri Kemboja didakwa mengenai kawasan awam di Thailand, kenyataan rasmi tentera Thailand secara terus menyebut nama Hun Sen sebagai pihak bertanggungjawab.
“Berdasarkan bukti yang ada, pemimpin Kemboja yang dipimpin oleh Samdech Hun Sen dipercayai menjadi dalang serangan ini,” menurut kenyataan tersebut.
Hun Sen, 72 tahun, kini Presiden Senat dan Presiden Parti Rakyat Kemboja (CPP), tetapi beliau tampil aktif mengatur strategi dan komunikasi sepanjang lima hari konflik. Dalam satu hantaran di Facebook, media sosial pilihannya Encik Hun Sen memuat naik gambar beliau mempengerusikan mesyuarat ketenteraan sambil memakai pakaian tempur.
“Saya tidak lari ke mana-mana,” katanya dalam satu lagi hantaran pada 20 Julai, membalas kritikan dari bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.
Menurut Encik Lim Menghour, pegawai dasar luar kerajaan Kemboja, Hun Sen “bertindak sebagai komander logistik utama untuk barisan hadapan.” Katanya kepada Reuters, “Beliau sentiasa memantau keadaan dan memberi arahan.”
Namun, ketegasan Encik Hun Sen ini turut dikaitkan dengan matlamat politik peribadi. Dalam konteks krisis ini, Encik Hun Sen dilihat berusaha memulihkan pengaruhnya, terutama apabila anaknya, Perdana Menteri Hun Manet, mengambil pendekatan lebih tenang dan kurang menonjol pada peringkat awal konflik.
Encik Hun Manet, lulusan akademi tentera West Point di Amerika Syarikat, hanya tampil aktif apabila bersedia ke Malaysia untuk rundingan damai yang akhirnya menghasilkan gencatan senjata.
Encik Chhay Sophal, penulis biografi Hun Sen, menyatakan bahawa kuasa sebenar masih terletak di tangan bekas perdana menteri itu. “Sebagai Presiden CPP, beliau berhak mengarah dasar pemerintah. Perdana menteri mesti akur kepada dasar dan arahan parti,” katanya.
Kemunculan semula Encik Hun Sen sebagai wajah utama dalam krisis ini juga turut dikaitkan dengan perpecahan hubungan politiknya dengan dinasti Shinawatra di Thailand. Hubungan akrab beliau dengan Encik Thaksin dan anaknya, Cik Paetongtarn, dikatakan merenggang selepas dasar ekonomi terbaru yang dicadangkan Encik Thaksin dianggap boleh menjejaskan ekonomi Kemboja.
Pada Jun, perbualan telefon antara Cik Paetongtarn dan Encik Hun Sen bocor ke khalayak. Cik Paetongtarn dilihat tunduk dan mengkritik jeneral Thailand dalam rakaman itu, yang kemudiannya didedahkan secara penuh oleh Encik Hun Sen sendiri.
“Ia menyebabkan krisis politik besar di Thailand dan memalukan Paetongtarn,” kata seorang diplomat serantau kepada Reuters.
Sejak itu, Encik Hun Sen terus menghentam keluarga Shinawatra di media sosial, termasuk menuduh mereka sombong dan tidak profesional. Malah, beliau berkongsi gambar-gambar lama Cik Paetongtarn dan Encik Thaksin berada di kediamannya yang dilihat oleh ramai pemerhati sebagai bentuk tekanan atau ugutan politik.
Menurut penganalisis politik Thailand, Encik Ken Lohatepanont, “Hun Sen seperti menghantar isyarat bahawa beliau memiliki banyak maklumat dan bersedia mendedahkannya jika perlu.”
Dalam kalangan diplomat, tindakan Encik Hun Sen dilihat sebagai strategi untuk memanfaatkan krisis sempadan bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada isu domestik seperti kesan sekatan perdagangan oleh Amerika Syarikat, peningkatan jenayah rentas sempadan dan masalah ekonomi.
“Jika matlamatnya adalah untuk membangkitkan semangat nasionalisme, beliau berjaya,” kata seorang diplomat yang berpangkalan di Phnom Penh.
Krisis ini juga memberi peluang kepada Encik Hun Sen untuk menggambarkan dirinya sebagai pelindung utama negara. Dalam lawatannya ke wilayah Oddar Meanchey pada 26 Jun, beliau berkata: “Kami datang untuk mempertahankan wilayah, bukan merampas tanah sesiapa. Kami tidak mahu berperang, tetapi kami dipaksa.”
Beliau turut menambah: “Saya berada di sini untuk melihat sendiri keadaan pasukan keselamatan, penjawat awam dan penduduk yang dipindahkan. Saya beri sokongan dan bantuan kepada mereka yang mempertahankan kedaulatan negara.”
Namun, apa yang paling jelas ialah peranan dominan Encik Hun Sen berbanding anaknya. Sejak sebelum Encik Hun Manet dilantik pada 2023, Encik Hun Sen telah menyatakan kesediaannya untuk mengambil semula jawatan perdana menteri jika anaknya “tidak dapat mengurus krisis”. Hari ini, kenyataan itu tampak seperti sedang direalisasikan.
Menurut Encik Thanachate Wisaijorn dari Universiti Ubon Ratchathani, “Hun Sen bijak menggunakan konflik ini untuk mengukuhkan kedudukan politiknya, mengalih perhatian daripada masalah dalam negeri dan memutuskan hubungan dengan keluarga Shinawatra yang dilihat semakin lemah.”
Bagi rakyat Kemboja yang semakin ghairah dengan semangat kebangsaan, Encik Hun Sen kekal sebagai tokoh paling dominan dan kini kembali berdiri di tengah-tengah pentas politik — bukan sebagai tokoh bayangan, tetapi sebagai panglima sebenar dalam krisis sempadan yang sedang berlaku.- Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg