PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): China menggesa Russia dan Ukraine agar tidak membiarkan kesan peperangan mereka ‘melimpah-ruah’ sehingga payah dikawal lantas memohon huraian diplomatik di PBB pada Sabtu (24 September).
Menteri Luar China, Encik Wang Yi, juga memberi amaran baru terhadap Taiwan dalam suasana tegang yang berkemelut di Selat Taiwan itu sambil menyatakan Beijing akan mengambil “langkah yang tegas” untuk mengelakkan sebarang sokongan luar bagi kemerdekaan kepulauan itu.
Berucap di Perhimpunan Agung PBB, diplomat atasan China itu berhenti daripada menyokong teguh pencerobohan Ukraine oleh Russia yang kebiasaannya merupakan sekutu Beijing.
“Kami menggesa semua pihak terbabit agar memastikan krisis ini tidak melimpah-ruah dan melindungi hak dan kepentingan sah negara membangun lain,” jelas Encik Wang.
Beliau juga mengusulkan agar perbincangan damai yang adil dan pragmatik diadakan untuk menghurai semua isu global.
“China menyokong semua usaha yang berfaedah pada huraian damai pada krisis Ukraine ini. Keutamaan yang mendesak ini adalah bagi memudahkan perbincangan damai ini,” tambah Encik Wang.
Menurutnya, huraian asas adalah dalam menangani keprihatinan keselamatan yang sah bagi semua pihak dan membangun seni bina seimbang, berkesan dan mampan.
Dalam kunjungannya ke PBB, Encik Wang menemui Menteri Luar Ukraine, Encik Dmytro Kuleba, dalam sesi perbincangan pertama mereka sejak Russia menakluki Ukraine pada 24 Februari.
Awal bulan ini, Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, akur pada keprihatinan China tentang Ukraine sewaktu mengadakan mesyuarat bersama rakan sejawatannya, Presiden Xi Jinping.
Sebelum perang ini, Encik Putin telah mengunjungi Beijing dan kededua negara mengesahkan perikatan yang teguh.