Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perikatan pimpinan Modi menang majoriti dalam pilihan raya India

Jun 5, 2024 | 12:28 PM
Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, (tengah) disambut meriah ketika tiba di ibu pejabat Parti Bharatiya Janata (BJP) untuk meraikan kemenangan parti itu dalam pilihan raya umum negara itu, di New Delhi, India.
Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, (tengah) disambut meriah ketika tiba di ibu pejabat Parti Bharatiya Janata (BJP) untuk meraikan kemenangan parti itu dalam pilihan raya umum negara itu, di New Delhi, India. - Foto EPA-EFE

NEW DELHI: Perikatan pimpinan Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi memenangi majoriti di Parlimen, dalam pilihan raya berperingkat negara itu, berdasarkan keputusan rasmi yang dikeluarkan awal pagi 5 Jun oleh Suruhanjaya Pilihan Raya India.

Kiraan itu menunjukkan Perikatan Demokratik Kebangsaan pimpinan Encik Modi memenangi 286 kerusi, lebih daripada 272 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh majoriti.

Namun, jumlahnya masih jauh lebih rendah daripada apa yang diramalkan.

Bagaimanapun, pihak pembangkang mendakwa pengundi negara itu menghantar mesej jelas selepas parti nasionalis Hindu yang dipimpin Encik Modi hilang undi majoriti dua pertiga kerusi Parlimen, buat kali pertama dalam tempoh sedekad.

Pemimpin utama pembangkang, Encik Rahul Gandhi, menyifatkan jumlah kerusi yang diperoleh pihaknya menunjukkan penduduk negara itu tidak lagi mahukan Encik Modi.

“Negara telah berkata kepada Narendra Modi. Kami tidak mahu kamu. Saya yakin rakyat negara ini memberikan tindak balas yang betul,” katanya.

Encik Modi sudah pun menyatakan kemenangan untuk perikatan itu, pada 4 Jun, walaupun Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintahnya, memenangi kurang kerusi daripada yang dijangkakan – dan lebih 60 kerusi kurang daripada rekod 303 yang dimenanginya pada pilihan raya 2019.

“Kemenangan hari ini adalah kemenangan demokrasi terbesar di dunia,” kata Encik Modi memberitahu orang ramai di ibu pejabat partinya, seperti dilapor ABC News.

Beliau berkata Pakatan Demokratik Kebangsaan (NDA) yang dipimpin BJP akan membentuk pemerintah untuk kali ketiga berturut-turut.

Namun, parti Kongres pembangkang India, menyifatkan prestasi baik pakatan pembangkang dalam pilihan raya sebagai “kemenangan untuk demokrasi” dan “kerugian moral dan politik” bagi Encik Modi.

Lebih 640 juta telah keluar mengundi dalam pilihan raya maraton yang diadakan dalam tempoh enam minggu, di negara demokrasi terbesar di dunia.

Hampir 970 juta orang – lebih 10 peratus penduduk dunia – layak mengundi.

Menurut data rasmi, purata peratusan yang keluar mengundi adalah 66 peratus.

Selepas mendakwa kemenangan untuk pakatan gabungannya walaupun prestasi hambar daripada partinya sendiri, Encik Modi memberitahu orang ramai di ibu pejabat parti, bahawa beliau tidak akan mengelak daripada meneruskan agendanya.

Beliau berkata akan memajukan antara lain, peruntukan bagi pertahanan India, pekerjaan untuk belia, meningkatkan eksport dan membantu petani.

“Orang ramai telah meletakkan kepercayaan mereka kepada NDA, untuk kali ketiga berturut-turut!

“Ini adalah pencapaian bersejarah dalam sejarah India,” kata Encik Modi dalam hantarannya di X, merujuk kepada Perikatan Demokratik Kebangsaan yang diketuai oleh partinya.

Menurut Encik Modi, beliau akan terus bekerja dan memenuhi aspirasi rakyat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg