Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perjanjian dagangan AS gagal pulih permintaan; pengeluaran kilang Asia terus perlahan

Dec 1, 2025 | 6:58 PM
perdagangan, Asia, merosot, perjanjian
China, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan semuanya melaporkan kemerosotan dalam aktiviti pengeluaran mereka, manakala ekonomi Asia Tenggara kebanyakannya menyaksikan pertumbuhan. - Foto ST

Syarikat-syarikat perkilangan Asia bergelut dengan permintaan yang lembap pada November, melanjutkan kemerosotan aktiviti kilang kerana kemajuan dalam rundingan dagangan Amerika Syarikat gagal diterjemahkan kepada pemulihan pesanan yang ketara.

Sejumlah indeks pengurusan pembelian (PMI) pada 1 Disember menunjukkan keadaan yang berbeza di seluruh rantau ini, dengan China, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan semuanya, melaporkan penurunan dalam aktiviti manakala ekonomi Asia Tenggara kebanyakannya menyaksikan pertumbuhan.

Di China, pengeluar terbesar di dunia, aktiviti kilang kembali menguncup, manakala PMI sektor swasta pula menunjukkan aktiviti merosot untuk bulan kelapan berturut-turut, walaupun pada kadar yang lebih perlahan.

“Penghantaran kontena di pelabuhan China sedikit berubah bulan lalu (November) berbanding Oktober.

“Permintaan bertambah baik tetapi tidak banyak membantu pengeluaran di tengah-tengah tahap inventori yang sudah tinggi. Komponen pengeluaran jatuh ke paras terendah dalam masa empat bulan,” kata Encik Zichun Huang, ahli ekonomi China di Capital Economics, dalam satu kenyataan.

“Dan walaupun komponen harga pengeluaran meningkat sedikit, ia kekal pada tahap yang rendah, menunjukkan tekanan deflasi yang berterusan,” tambahnya.

Bagaimanapun, Capital Economics menyatakan terdapat jurang umum antara PMI dengan data perdagangan daripada seluruh Asia.

“Eksport daripada kebanyakan negara Asia telah melonjak dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan kami fikir prospek jangka pendek untuk sektor perkilangan yang didorong oleh eksport di rantau ini kekal menggalakkan,” kata Encik Shivaan Tandon, ahli ekonomi Asia di Capital Economics, dalam laporan berasingan.

Di seluruh Asia, perniagaan di negara pengeksport utama telah berebut-rebut untuk mengharungi ketidakpastian yang dicipta oleh tarif meluas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Sedang perjanjian perdagangan Amerika dengan negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan dan ketegangan yang berkurangan dengan China telah memberi sedikit keyakinan kepada pengeluar, ramai masih menyesuaikan diri kepada realiti perdagangan dengan Amerika.

Ekonomi rantau ini diunjurkan akan terus perlahan kepada 4.1 peratus pada 2026.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pertumbuhan Asia akan menjadi lembap tahun ini (2025), disebabkan oleh risiko perdagangan

PMI Jepun menunjukkan permintaan baru terus menurun, ekoran kelembapan persekitaran perniagaan sejagat, bajet pelanggan yang lebih ketat dan pelaburan modal yang lemah.

Data rasmi pada 1 Disember juga menunjukkan perbelanjaan korporat Jepun untuk kilang dan peralatan meningkat 2.9 peratus dari Julai hingga September, berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya (2024), perlahan daripada suku sebelumnya.

Aktiviti kilang Korea Selatan menguncup untuk bulan kedua pada November, walaupun perjanjian dagangan yang dimuktamadkan dengan Amerika membawa sedikit kejelasan untuk pengeluar.

PMI Taiwan menunjukkan aktiviti kilang terus menurun, tetapi pada kadar yang lebih perlahan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg