Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saham Asia jatuh mendadak ekoran tarif Trump, bimbang kemelesetan; STI junam 2.9%

Apr 4, 2025 | 2:53 PM
Indeks Nikkei 225 Jepun jatuh 3.5 peratus pada 4 April, antara pasaran saham Asia yang terjejas ekoran ledakan tarif terbaru daripada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mendorong perpindahan ke aset lebih selamat.
Indeks Nikkei 225 Jepun jatuh 3.5 peratus pada 4 April, antara pasaran saham Asia yang terjejas ekoran ledakan tarif terbaru daripada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mendorong perpindahan ke aset lebih selamat. - Foto AFP

TOKYO: Pasaran saham Asia jatuh lagi pada 4 April, melanjutkan kegiatan penjualan di pasaran global selepas ledakan tarif ke seluruh dunia oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mencetuskan perang perdagangan yang dikhuatiri ramai akan mencetuskan kemelesetan dan meningkatkan inflasi.

Indeks Straits Times (STI) Singapura jatuh 2.9 peratus, atau 114.13 mata, selepas rehat perdagangan tengah hari pada 4 April, setelah berakhir 0.3 peratus lebih rendah pada 3 April.

Selepas pasaran saham ditutup pada 3 April, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berkata kenaikan tarif itu akan memberi kesan ketara kepada Singapura.

Indeks Nikkei 225 Jepun jatuh 3.5 peratus, menambah kepada penurunan 2.77 peratus pada 3 April.

Indeks S&P/ASX 200 Australia susut 2.1 peratus, manakala indeks Kospi Korea Selatan susut 1.6 peratus.

Pasaran di China, Hong Kong dan Taiwan ditutup pada 4 April kerana hari cuti.

Dalam dagangan sebelum pasaran di Amerika, niaga hadapan yang terikat dengan Purata Perindustrian Dow Jones jatuh 222 mata, atau 0.6 peratus, dengan niaga hadapan S&P dan niaga hadapan Nasdaq juga turun 0.6 peratus.

Saham dan dolar Amerika semalaman mengalami hari terburuk sejak beberapa tahun kebelakangan, selepas langkah tarif terbaru Encik Trump itu mencetuskan perpindahan global ke aset ‘selamat’ – aset yang nilainya dijangka kukuh walaupun semasa kemelesetan.

S&P 500 jatuh 4.9 peratus dan Nasdaq 100 merosot 5.5 peratus pada 3 April – penurunan terbesar sejak 2020 bagi setiap satu indeks tersebut, melenyapkan sekitar AS$2.5 trilion ($3.3 trilion) daripada pasaran saham Amerika.

Satu ukuran saham kecil Amerika, yang lebih peka kepada pertumbuhan Amerika, menjunam 6.6 peratus sebagai tanda pelabur percaya serangan perdagangan Presiden itu akan membantutkan ekonomi negara itu.

Dolar Amerika hilang semua keuntungannya sejak Encik Trump menjadi presiden pada November 2024, mencetuskan semula perdebatan tentang reputasi selamat aset itu dalam tempoh mencabar, sedang yen dan franc Swiss melonjak.

Indeks Bloomberg Dollar Spot jatuh 0.4 peratus pada 4 April, selepas merosot 1.5 peratus hari sebelumnya.

Harga minyak melanjutkan kejatuhannya selepas menjunam lebih 6 peratus semalaman, setelah Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (Opec) dan sekutunya dengan tidak disangka-sangka meningkatkan bekalan tiga kali ganda jumlah yang dirancang bagi Mei.

Secara keseluruhannya, perdagangan ‘utamakan Amerika’ yang dimegahkan – membeli aset yang menguntungkan ketika Amerika mengatasi prestasi negara dunia yang lain – berputar arah ekoran kebimbangan bahawa kenaikan paling mendadak dalam tarif Amerika dalam satu abad itu akan menjejas pertumbuhan ekonomi.

Keadaan berebut untuk mendapatkan tempat perlindungan bagi aset telah mendorong kenaikan harga bon pemerintah yang sangat selamat dan memberikan pendapatan terjamin.

Akibatnya, hasil pada penanda aras Perbendaharaan Amerika jatuh sebentar di bawah paras 4 peratus yang diawasi dengan teliti.

“Jika tarif ini kekal, ekonomi akan menjadi perlahan,” kata Cik Mary Ann Bartels di firma penasihat pelaburan Sanctuary Wealth.

“Sama ada ekonomi meleset atau tidak, ia jelas sedang menuju ke arah kelembapan di Amerika dan di seluruh dunia. Tiada tempat untuk bersembunyi, melainkan pasaran pendapatan tetap.”

Encik Trump telah menggunakan tarif sebagai alat untuk menegaskan kuasa Amerika, menghidupkan semula perkilangan di dalam negara itu dan mendapatkan konsesi geopolitik.

Pakar ekonomi berkata hasil jangka pendek daripada langkahnya itu berkemungkinan besar menaikkan harga barangan Amerika dan mencetuskan pertumbuhan yang lebih perlahan, atau mungkin juga kemelesetan. – Agensi Berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg