Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perjanjian damai di Beijing bukan yang pertama antara Fatah-Hamas

Kedua-dua kumpulan Palestin itu terlibat dalam rundingan damai selepas meletusnya konflik antara mereka sejak 2006
Aug 5, 2024 | 5:30 AM
Gaza
Menteri Luar China, Encik Wang Yi (sembilan dari kiri), bergambar dengan anggota kumpulan Palestin semasa menandatangani Deklarasi Beijing di Beijing, China, pada 23 Julai 2024. Beliau memuji persetujuan di antara kumpulan Palestin untuk menubuhkan ‘Pemerintah Perdamaian Nasional Sementara’ untuk mentadbir Gaza apabila konflik berakhir kelak. - Foto EPA-EFE

BEIJING: Satu langkah positif dilihat berlaku apabila dua kumpulan politik terbesar di bumi Palestin, kumpulan Fatah dan Hamas menandatangani perjanjian pada 23 Julai bagi mengakhiri persengketaan antara kedua-dua pihak.

Perjanjian itu, yang dikenali sebagai Deklarasi Beijing – bersempena dengan tempat dan negara ia dijalankan, iaitu di ibu negara China – dianggap sebagai usaha memacu perpaduan dan amat penting dalam memenuhi impian hak rakyat Palestin untuk mendukung sebuah negara berdaulat.

Dengan termeterainya perjanjian itu, Fatah dan Hamas bersetuju untuk menubuhkan ‘Pemerintah Perdamaian Nasional Sementara’.

Penyelidik yang berpangkalan di Kahirah, Mesir dan pengarah eksekutif Forum Timur Tengah untuk Kajian Strategik dan Keselamatan Nasional, Encik Abdel Mohdy Motawe, berkata perbincangan di Beijing melibatkan kumpulan Palestin dengan semua kedudukan mereka seimbang, sekali gus membentuk asas untuk menamatkan perpecahan.

Penasihat Pusat Penyelidikan dan Kajian Arab yang berpangkalan di Kahirah, Encik Abu Bakr Al-Deeb, berkata ia merupakan langkah penting ke arah mengakhiri perpecahan dan mengukuhkan perpaduan kebangsaan dalam rangka kerja Pertubuhan Pembebasan Palestin, dengan penyertaan semua pasukan dan kumpulan Palestin dalam institusinya.

Perdamaian antara Hamas dengan Fatah akan menjadi titik perubahan penting dalam hubungan dalaman Palestin.

Dua parti politik utama Palestin telah menjadi saingan sengit sejak konflik timbul pada 2006.

Peranan China

China telah berusaha untuk memainkan peranan sebagai orang tengah dalam konflik itu, yang kini menjadi lebih rumit disebabkan oleh persaingan sengit antara Hamas, yang memerintah Jaluran Gaza, manakala Fatah mentadbir Tebing Barat.

China menerusi Menteri Luarnya, Encik Wang Yi, menjadi tuan rumah kepada pegawai kanan Hamas, Encik Musa Abu Marzuk; utusan Fatah, Encik Mahmud al-Aloul, dan utusan daripada 12 kumpulan politik lain yang membentuk perjuangan Palestin.

Walaupun tidak jelas sama ada perjanjian yang diumumkan di Beijing boleh bertahan, ia menunjukkan bahawa satu-satunya kuasa dunia yang boleh membina hubungan rapat antara pesaing Palestin ialah China.

Ketika mesyuarat 23 Julai itu berakhir di Beijing, Encik Wang berkata kumpulan itu beriltizam untuk memeterai ‘perdamaian’.

China menyifatkan ia sebagai kesepakatan untuk memerintah Gaza bersama selepas perang berakhir.

Sebelum ini, ada tanggapan terhadap Palestin bahawa mereka tidak dapat bersatu, mencapai kata sepakat dan tidak tahu cara untuk mentadbir negara.

Dengan kesepakatan bersama 12 kumpulan Palestin dalam satu himpunan bersama itu, sekurang-kurangnya mereka dapat mencapai kata sepakat awal atau memeterai perjanjian damai.

Penubuhan ‘Pemerintah Perdamaian Nasional Sementara’ itu dipercayai dapat mengelakkan pertembungan politik dalaman di bumi Palestin yang kemudiannya mampu menyatukan warga negara itu, baik di Tebing Barat mahupun Semenanjung Gaza – dua wilayah yang dipisahkan dan terkepung oleh Israel.

Pemimpin dunia dan pakar turut memuji usaha ikhlas China untuk menyokong hak rakyat Palestin, menamatkan perpecahan dan mewujudkan kedudukan bersatu dalam kalangan kumpulan Palestin.

Anggota biro politik Hamas, Encik Hossam Badran, menyatakan penghargaan yang tinggi terhadap usaha besar yang dilakukan oleh China untuk mencapai pengisytiharan itu, sambil menyatakan pengumuman berkenaan dibuat pada masa penting, ketika rakyat Palestin menghadapi perang berterusan, terutama di Jaluran Gaza.

Setiausaha Agung Inisiatif Kebangsaan Palestin, Encik Mustafa Barghouti, berkata langkah ke arah pemerintahan perpaduan adalah amat penting, kerana ia menyekat usaha Israel untuk mewujudkan kerangka kerjasama menentang kepentingan Palestin.

Perjanjian damai terdahulu

Di sebalik beberapa sambutan positif menyusuli perjanjian itu, beberapa pemerhati turut bersikap kritikal terhadap hasil yang berkemungkinan tercapai daripada usaha tersebut.

Beberapa perjanjian serupa di masa lalu menemui kegagalan, salah satunya yang tercapai pada 2011, sehingga hasil rundingan yang didukung China itu diragukan akan menghasilkan resolusi nyata.

Perjanjian di Beijing itu bukanlah yang pertama antara Hamas dengan Fatah.

Namun kesemua perjanjian sebelum ini berakhir kerana dimungkiri.

Antara punca Palestin tidak dapat disatukan dan rakyatnya masih menderita kerana dizalimi Israel sehingga kini adalah kerana dua parti politik utama Palestin itu tidak pernah sefahaman sebelum ini.

Hamas dan Fatah adalah musuh ketat sejak Hamas mengusir Fatah dari Jaluran Gaza selepas pertempuran maut yang menyusuli kemenangan Hamas dalam pilihan raya 2006.

Fatah pula mengawal Penguasa Palestin (PA) pimpinan Presiden Mahmoud Abbas, yang mempunyai separuh kawalan pentadbiran di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Perbezaan utama kedua-dua pertubuhan itu ialah Hamas yang diasaskan Syeikh Ahmad Yassin pada 1987 tidak mahu menerima kewujudan Israel dan berikrar untuk menghancurkannya.

Fatah pula bersetuju dengan penyelesaian dua negara, iaitu Palestin dan Israel.

Faktor paling mendesak yang tercetus di Gaza ketika ini adalah berkenaan pelan gencatan senjata yang direncanakan Washington dan Israel.

Fasa ketiga pelan itu adalah mengenai pembangunan semula Gaza, yang berkait rapat dengan entiti manakah akan mentadbir Gaza selepas tentera Israel berundur sepenuhnya.

Tel Aviv dari awal bertegas Hamas tidak akan diberi peranan dalam mentadbir Gaza.

Jika diikut kehendak Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, PA yang dikuasai Fatah juga disisih daripada perencanaan pentadbiran Gaza.

Israel mahu penguasaan secara menyeluruh terhadap Gaza bukan sahaja dalam hal keselamatan malah dalam pentadbiran politik.

Berikut adalah antara rundingan perdamaian yang dimeterai oleh Hamas dan Fatah selepas meletusnya konflik di antara mereka sejak 2006.

Perjanjian Kahirah 2005

Perjanjian pada 19 Mac 2005 ditandatangani oleh 12 kumpulan Palestin termasuk Fatah, Hamas dan beberapa kumpulan lain seperti Jihad Islam, Barisan Popular Pembebasan Palestin (PFLP) dan Barisan Demokratik bagi Pembebasan Palestin (DFLP).

Turut diputuskan menjadikan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menjadi satu-satunya wakil rakyat Palestin dengan ia disertai oleh semua kumpulan Palestin berlandaskan prinsip demokrasi.

Keanggotaan PLO antara lain menerima Hamas sebagai anggota.

Pilihan raya legislatif pada 25 Januari 2006 menyaksikan Hamas memperoleh kemenangan besar dan membentuk pemerintahan.

Fatah dan beberapa kumpulan lain enggan menyertai Hamas disebabkan sekatan ekonomi dari negara luar dan pendirian terhadap status Israel.

Perbezaan pendekatan politik dengan Hamas dilihat lebih cenderung kepada perjuangan bersenjata, manakala Fatah pula lebih condong ke arah rundingan.

Konflik tersebut kemudiannya memuncak sehingga membawa kepada pertempuran bersenjata antara kedua-dua pihak dan berakhir kepada pemisahan pentadbiran antara Gaza yang dikuasai Hamas dengan Tebing Barat yang diperintah oleh Fatah.

Perjanjian Fatah-Hamas Makkah 2007

Perjanjian Fatah-Hamas Makkah 2007 ditandatangani pada 8 Februari 2007 menyaksikan kedua-dua kumpulan itu bersetuju untuk menghentikan konfrontasi ketenteraan di Gaza dan memulakan pembentukan pemerintah perpaduan.

Fatah diwakili Encik Mahmoud Abas yang juga Presiden PA dan wakil Hamas, Encik Ismail Haniyeh, yang merupakan Perdana Menteri Palestin pada waktu itu.

Rundingan itu gagal menyatukan Pemerintahan Palestin dan Pentadbiran Hamas di Gaza.

Perebutan kuasa politik dikatakan sebagai punca utama perjanjian itu gagal bertahan.

Deklarasi Sana’a 2008

Pada 23 Mac 2008, Hamas dan Fatah menandatangani perjanjian damai di Sana’a, Yaman, susulan kegagalan Perjanjian Makkah.

Isi kandungan rundingan itu menyeru supaya Jaluran Gaza dikembalikan kepada keadaan sebelum Jun 2007.

Pada 8 November 2008, rundingan perdamaian Palestin yang sepatutnya dijadualkan di Kahirah dibatalkan selepas Hamas memboikot sebagai bantahan terhadap penahanan ratusan anggotanya oleh pasukan keselamatan PA yang diketuai Fatah.

Perjanjian Fatah–Hamas Doha dan Perjanjian Kahirah 2012

Kebuntuan yang berlaku seterusnya membawa kepada dua lagi perjanjian yang masing-masing diadakan di Doha dan Kahirah pada 2012.

Namun, kedua-dua rundingan itu gagal membawa kepada berlangsungnya pilihan raya bersama.

Pilihan raya tempatan pada Oktober 2012 yang berlangsung di Palestin dilaksanakan tanpa disertai penduduk Gaza selepas Hamas mengambil pendirian untuk tidak menyertainya.

Rundingan Gaza dan Kahirah 2014

Pada 23 April 2014, Fatah dan Hamas menandatangani perjanjian perdamaian baharu, yang akan menyaksikan kerajaan perpaduan dibentuk dalam tempoh lima minggu, diikuti dengan pilihan raya presiden dan Parlimen dalam tempoh enam bulan.

Pada 2 Jun 2014, Encik Mahmouud Abbas, mengangkat sumpah dalam kerajaan perpaduan baharu diketuai oleh penyandang Perdana Menteri, Encik Rami Hamdallah.

Perdana Menteri Israel ketika itu, Encik Netanyahu, berkata pemimpin dunia tidak seharusnya tergesa-gesa mengiktiraf pemerintah baru terbabit dan turut menyerang Hamas dengan menggelarnya sebagai organisasi pengganas yang mahu memusnahkan Israel.

Pejabat Perdana Menteri Palestin mengeluarkan kenyataan mengecam Encik Netanyahu, yang diketahui mahu meneruskan pendudukan Israel di wilayah Palestin.

Sebagai tindak balas, Israel menghentikan rundingan damai terbabit dan mengumumkan sekatan baru.

Rundingan Rahsia Doha 2016

Pada Disember 2015 dan sekitar Januari dengan Februari 2016, Hamas dan Fatah secara rahsia mengadakan rundingan yang diusahakan kerajaan Qatar di Doha untuk menghidupkan perjanjian 2014.

Hamas kemudiannya mengeluarkan kenyataan ringkas pada 8 Februari, mengatakan kedua-dua pihak mencapai visi praktikal penyelesaian untuk dibincangkan dan dilaksanakan.

Wakil Fatah mengeluarkan kenyataan yang mengancam Hamas untuk menyerahkan Jaluran Gaza. Keadaan itu menyebabkan kedua-dua pihak gagal menemui penyelesaian terbaik dalam rundingan tersebut.

Rundingan Fatah-Hamas Kahirah 2017

Pada 12 Oktober 2017, satu rundingan perjanjian antara Fatah dengan Hamas yang dianjurkan di bawah tekanan dari Qatar, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir telah ditandatangani di Kahirah.

Dalam perjanjian itu, ditetapkan Hamas memberi Fatah kawalan awam sepenuhnya ke atas Jaluran Gaza dan sebagai balasan, sekatan ekonomi Gaza akan dilonggarkan.

Sehingga Januari 2018, kedua-dua pihak gagal memenuhi perjanjian mengikut tarikh yang ditetapkan ekoran beberapa ketetapan yang kurang dipersetujui.

Hamas mengambil pendirian tidak menerima ketetapan yang memerlukannya untuk menyerahkan senjata sementara di pihak PA manakala pimpinan Encik Mahmoud mahu mendapat kawalan penuh terhadap senjata di Gaza. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg