Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perompak tebuk bilik kebal bank Jerman, lesapkan wang, barang kemas bernilai €30j

Dec 31, 2025 | 12:37 PM
Foto edaran yang dikeluarkan oleh Polis Gelsenkirchen pada 30 Disember 2025 menunjukkan sebuah lubang yang ditebuk pada dinding bilik kebal sebuah cawangan bank Sparkasse di Gelsenkirchen, barat Jerman, pada 29 Disember 2025. Menurut polis, pelaku yang tidak dikenali menggerudi masuk ke bilik kebal itu semasa cuti Krismas dan memecah masuk peti-peti simpanan selamat di dalamnya. Skala rampasan masih dalam siasatan, dengan beberapa ribu peti simpanan terjejas. Anggaran awal meletakkan kerugian pada puluhan juta euro.
Foto edaran yang dikeluarkan oleh Polis Gelsenkirchen pada 30 Disember 2025 menunjukkan sebuah lubang yang ditebuk pada dinding bilik kebal sebuah cawangan bank Sparkasse di Gelsenkirchen, barat Jerman, pada 29 Disember 2025. Menurut polis, pelaku yang tidak dikenali menggerudi masuk ke bilik kebal itu semasa cuti Krismas dan memecah masuk peti-peti simpanan selamat di dalamnya. Skala rampasan masih dalam siasatan, dengan beberapa ribu peti simpanan terjejas. Anggaran awal meletakkan kerugian pada puluhan juta euro. - Foto EPA

BERLIN: Sekumpulan perompak menggunakan gerudi bersaiz besar untuk memecah masuk ke bilik kebal sebuah bank di Jerman semasa cuti panjang Krismas, melarikan wang tunai, emas dan barang kemas bernilai sekitar €30 juta (S$45.22  juta), menurut polis dan pihak bank pada 30 Disember.

Kejadian rompakan yang disifatkan pihak berkuasa sebagai sangat terancang itu berlaku di bandar Gelsenkirchen, negeri North Rhine-Westphalia, di barat Jerman. Perompak memecah masuk lebih 3,000 peti simpanan selamat milik pelanggan sebelum melarikan diri dengan hasil rompakan. Sehingga kini, kesemua suspek masih bebas.

Eatusan pelanggan bank yang terjejas berkumpul di luar cawangan Sparkasse itu, menuntut penjelasan berhubung kehilangan harta benda mereka. Cawangan tersebut tidak dibuka kepada orang awam atas sebab keselamatan.

Menurut polis, perompak dipercayai memasuki bilik kebal bawah tanah bank itu dengan menggerudi dari sebuah tempat letak kereta bersebelahan. Pihak bank mengesahkan cawangannya telah dipecah masuk sepanjang cuti Krismas.

“Lebih 95 peratus daripada 3,250 peti simpanan selamat milik pelanggan telah dipecah masuk oleh pelaku yang tidak dikenali,” menurut kenyataan bank tersebut.

Perniagaan di Jerman ditutup pada 25 Disember dan 26 Disember sempena Krismas, dan penyiasat mengesyaki kumpulan perompak itu mungkin menghabiskan tempoh cuti dan hujung minggu berada di dalam premis, memecahkan peti-peti simpanan satu demi satu tanpa dikesan.

Rompakan itu hanya terbongkar selepas sistem penggera kebakaran diaktifkan pada awal pagi 29 Disember. Pasukan kecemasan yang tiba di lokasi kemudian menemui lubang besar yang ditebuk ke bilik kebal bank.

Polis turut memaklumkan bahawa saksi melaporkan melihat beberapa lelaki membawa beg besar di tangga tempat letak kereta pada malam 27 Disember ke 28 Disember. Rakaman kamera keselamatan menunjukkan sebuah kereta Audi RS 6 berwarna hitam meninggalkan tempat letak kereta itu pada awal pagi 29 Disember, dengan individu bertopeng di dalam kenderaan tersebut.

Menurut polis, nombor pendaftaran kenderaan berkenaan telah dicuri lebih awal di bandar Hanover, menunjukkan perancangan rapi sebelum rompakan dilaksanakan.

Seorang jurucakap polis memberitahu AFP bahawa pencerobohan itu “sememangnya dilakukan dengan sangat profesional”, malah mengibaratkannya seperti adegan dalam filem rompakan terkenal Ocean’s Eleven. “Banyak pengetahuan awal dan tahap tenaga jenayah yang tinggi jelas terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan rompakan ini,” katanya.

Polis berkata purata nilai perlindungan insurans bagi setiap peti simpanan melebihi €10,000, justeru menganggarkan jumlah kerugian keseluruhan sekitar €30 juta. Namun, beberapa mangsa memaklumkan kepada polis bahawa nilai sebenar barang yang hilang jauh melebihi jumlah perlindungan insurans yang ditetapkan.

Ketegangan tercetus di luar cawangan bank apabila pelanggan yang marah berkumpul dan mengemukakan bantahan. Jurucakap polis berkata cawangan tersebut kekal ditutup selepas ugutan dibuat terhadap kakitangan bank. “Terdapat pelanggan yang tidak berpuas hati di luar bangunan,” katanya. “Kami masih berada di lokasi untuk memantau keadaan.”

Beliau menambah bahawa situasi kini “telah semakin reda” selepas kehadiran polis dipertingkatkan.
Pihak bank berkata talian hotline khas telah dibuka untuk pelanggan terjejas, dan semua mangsa akan dimaklumkan secara bertulis secepat mungkin. Bank itu juga sedang bekerjasama dengan syarikat insurans untuk menentukan proses tuntutan pampasan.

“Kami terkejut dengan kejadian ini,” kata jurucakap bank, Frank Krallmann. “Kami akan berdiri bersama pelanggan kami dan berharap pelaku dapat ditangkap.”

Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek dan mengesan semula barang-barang berharga yang dicuri, dalam apa yang disifatkan sebagai antara rompakan bank paling berani dan terancang di Jerman sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg