PARIS: Dalam tempoh tidak sampai 10 minit, empat perompak berjaya meloloskan diri dengan lapan barang kemas bersejarah bernilai 88 juta euro ($132 juta) dari Muzium Louvre – satu kejadian yang digelar oleh pegawai Perancis sebagai “rompakan paling berani dalam sejarah moden muzium itu.”
Menurut penyiasatan awal, kejadian selama tujuh minit itu berlaku sekitar 9.30 pagi 19 Oktober, ketika muzium terkenal itu baru dibuka kepada orang ramai.
Dua lelaki bertopeng menaiki ‘monte-meuble’, sejenis tangga elektrik yang dipasang pada trak yang lazim digunakan di Paris untuk mengangkat perabot besar ke apartmen tingkat atas, untuk memanjat ke tingkat dua Galeri Apollo, tempat simpanan koleksi permata diraja Perancis.
“Ia kelihatan seperti babak dalam filem mustahil, berlaku dalam dunia sebenar,” kata Datuk Bandar Paris Tengah, Encik Ariel Weil, yang menggambarkan kejadian itu sebagai satu penghinaan terhadap warisan negara.
Selepas dua perompak memecahkan tingkap menggunakan alat pemotong logam, hingga mencetuskan penggera keselamatan pertama, mereka terus masuk ke dalam Galeri Apollo yang bersadur emas dan memecahkan dua bekas pameran yang dilindungi keselamatan tinggi.
Rakaman dalaman menunjukkan kedua-dua bekas itu terletak di bahagian tengah galeri sepanjang 60 meter itu.
Antara barang berharga yang dilarikan termasuk: tiara, kalung nilam dan subang sepadan milik Ratu Marie Amelie dan Ratu Hortense; serta ‘diadem’ (mahkota kecil) yang dipakai oleh Maharani Eugenie, isteri Maharaja Napoleon III.
Dalam kekalutan melarikan diri, mereka tertinggal mahkota utama Maharani Eugenie, dihiasi 1,354 berlian, 1,136 berlian potongan ros, dan 56 zamrud, yang ditemui kemudian oleh pihak berkuasa dalam keadaan rosak akibat dihentak semasa dirompak.
“Rompakan ini dilakukan dengan ketepatan dan kelajuan yang luar biasa, jelas ia hasil kerja penjenayah profesional,” kata Encik Laurent Nunez, Menteri Dalam Negeri Perancis, kepada radio France Inter.
Lima kakitangan muzium yang berada berhampiran galeri itu segera menghubungi polis dan melaksanakan protokol kecemasan dengan mengutamakan keselamatan pengunjung.
Keseluruhan muzium itu dikosongkan dalam masa beberapa minit, menyebabkan kekecohan di kalangan ribuan pelawat yang menyangka telah berlaku serangan pengganas atau kebakaran.
“Kami sedang beratur untuk melihat (potret) Mona Lisa apabila pengawal menjerit supaya semua keluar. Orang ramai panik dan berlari,” kata Encik Joseph Sanchez, pelancong dari Puerto Rico, yang sempat merakam detik kekecohan itu sebelum diarahkan keluar.
Selepas rompakan itu, muzium itu ditutup sepanjang hari “bagi menjaga bukti dan membantu siasatan,” menurut kenyataan rasmi Louvre.
Presiden Emmanuel Macron menyifatkan kejadian itu sebagai “serangan terhadap warisan yang kita cintai kerana ia adalah sejarah kita sendiri.”
Dalam kenyataan di media sosial, beliau berikrar bahawa “semua usaha sedang dijalankan untuk menjejaki semula karya seni yang dicuri dan membawa pelaku ke muka pengadilan.”
Jurucakap Pejabat Pendakwa Raya Paris, Cik Laure Beccuau, mengesahkan 60 penyiasat sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), menyoal saksi, dan memeriksa bukti forensik.
Namun, satu pendedahan mengejutkan muncul – hanya satu kamera keselamatan dipasang di dinding luar Louvre di bahagian rompakan berlaku, dan lebih malang lagi, kamera itu menghala ke arah bertentangan.
“Kami telah gagal melindungi permata bersejarah ini,” akui Pengarah Louvre, Cik Laurence des Cars, dalam kenyataan kepada Senat Perancis.
“Tiada siapa kebal daripada penjenayah kejam bahkan Louvre sekalipun,” katanya.
Beliau menambah, sistem CCTV muzium itu sudah “usang dan tidak memadai” berbanding dengan Musée d’Orsay, tempat beliau bertugas sebelum ini.
Galeri Apollo bukan sekadar bilik pameran.
Ia adalah ruang bersejarah yang melambangkan kemegahan monarki Perancis.
Dihiasi siling bersadur emas dan lukisan alegori oleh Charles Le Brun, galeri itu menempatkan permata berharga dari zaman Napoleon III, termasuk barang kemas yang diberikan kepada Maharani Eugenie semasa Pameran Dunia Paris 1855.
Ahli sejarah seni, Profesor Claire Delmas, berkata kepada Le Monde: “Permata ini bukan sekadar barang perhiasan, ia adalah simbol kesinambungan sejarah Perancis dari empayar Napoleon hingga ke republik moden.”
Kerugian itu bukan sahaja bersifat material tetapi juga simbolik.
“Apabila permata diraja dicuri dari pusat budaya negara, ia seperti mencuri sebahagian daripada identiti Perancis,” tambahnya.
Pihak pembangkang segera menuding jari kepada pemerintahan Presiden Macron, menuduh kecuaian dalam pengurusan keselamatan muzium negara itu.
Ahli Parlimen konservatif, Encik Eric Ciotti, menyatakan di media sosial: “Pemerintah membiarkan Permata Mahkota dicuri, membayangkan kejatuhan sistem pemerintahan kini. Jika harta negara pun tidak selamat, bagaimana rakyat boleh berasa aman?”
Sementara itu, senator berhaluan kiri, Encik Ian Brossat, mengingatkan bahawa pekerja Louvre pernah mengadakan mogok pada musim panas lalu, membantah kekurangan kakitangan keselamatan serta keadaan kerja yang sesak.
“Mereka sudah memberi amaran, tetapi tidak diendahkan oleh menteri,” katanya.
Cik Des Cars berkata beliau telah menawarkan peletakan jawatan selepas kejadian itu, namun ditolak oleh Kementerian Kebudayaan.
Beliau berikrar untuk menggandakan jumlah kamera keselamatan menjelang 2026 dan menambah baik kawalan perimeter muzium itu.
Rompakan di Louvre bukan kes terpencil.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, muzium-muzium Eropah menjadi sasaran sindiket antarabangsa.
Pada 2019, pencuri menjarah bilik ‘Green Vault’ di Dresden, Jerman, dan melarikan barang kemas bernilai sekitar 100 juta euro ($150 juta), sementara pada 2022, 483 syiling emas purba dicuri dari sebuah muzium di Bavaria.
Pakar jenayah seni Belanda, Encik Arthur Brand, berkata kepada AFP: “Ini rompakan tertinggi dalam hierarki seni. Mencuri dari Louvre ialah impian semua penjenayah seni. Ia memerlukan keberanian, kepakaran, dan maklumat dalaman yang mendalam.”
Muzium Louvre pernah menjadi sasaran beberapa rompakan besar sebelum ini.
Pada 1911, lukisan terkenal Mona Lisa dicuri oleh bekas pekerja muzium itusendiri, Vincenzo Peruggia, dan hanya ditemui semula dua tahun kemudian di Italy – kejadian yang ironinya telah menjadikan karya Leonardo da Vinci itu karya paling masyhur di dunia.
Kini, lebih 33,000 karya seni dipamerkan di Louvre, daripada lebih 500,000 karya seni keseluruhan dalam koleksi muzium itu.
Antaranya termasuk arca Yunani purba, perabot Napoleon III, dan lukisan-lukisan agung seperti Liberty Leading the People oleh Delacroix.
Dengan sekitar 30,000 pelawat setiap hari, Louvre kekal sebagai muzium paling banyak dikunjungi di dunia.
Presiden Macron sebelum ini telah mengumumkan projek pengubahsuaian besar-besaran Louvre untuk menambah baik keselamatan dan ruang bagi Mona Lisa.
Selepas rompakan itu, rancangan itu kini mendapat desakan supaya dipercepatkan.
“Projek ini bukan sekadar soal estetika,” kata Encik Macron. “Ia jaminan bagi pemeliharaan memori dan budaya kita.”
Namun bagi banyak rakyat Perancis, persoalan yang lebih besar masih berlegar: Bagaimanakah sebuah institusi kebanggaan negara yang dijaga 24 jam boleh ditawan hanya dalam tujuh minit?
Sehingga permata yang hilang ditemui semula, Louvre kini berdiri bukan sekadar sebagai simbol keindahan seni, tetapi juga simbol kerapuhan penjagaan warisan dunia. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg