Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertempuran etnik di bandar Druze di Syria ragut 37 nyawa

Jul 14, 2025 | 1:24 PM
Tentera Syria dikerah untuk mengawal keadaan selepas pertempuran antara penduduk bermazhab Sunni dengan Druze di Al-Soura al-Kubra, di wilayah Sweida, pada 2 Mei.
Tentera Syria dikerah untuk mengawal keadaan selepas pertempuran antara penduduk bermazhab Sunni dengan Druze di Al-Soura al-Kubra, di wilayah Sweida, pada 2 Mei. - Foto REUTERS

DAMSYIK: Lebih 37 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera di bandar Sweida yang didominasi penduduk Druze di Syria dalam pertempuran terbaru mazhab antara lelaki bersenjata Druze dengan puak Sunni Badwi, kata saksi pada 13 Julai.

Keganasan tercetus selepas kejadian penculikan, termasuk melibatkan seorang saudagar Druze pada 11 Julai di lebuh raya yang menghubungkan Damsyik dengan Sweida, kata saksi.

Pertempuran itu menyaksikan pihak berkuasa segera menghantar pasukan untuk meredakan keadaan.

Pertempuran itu adalah kejadian pertama keganasan maut di kawasan itu sejak pertempuran antara anggota masyarakat Druze dengan pasukan keselamatan telah membunuh berpuluh-puluh orang pada April dan Mei.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata sekurang-kurangnya 37 orang telah terbunuh, 27 daripadanya Druze, termasuk dua kanak-kanak, dan 10 daripadanya Badwi.

Pada awal 13 Julai, media setempat memberi angka awal 10 orang terbunuh dan 50 cedera di kedua-dua belah pihak.

Ia juga melaporkan penutupan lebuh raya Damsyik-Sweida akibat keganasan.

Sumber pemerintah Syria, yang enggan dikenali kerana mereka tidak dibenarkan memberi taklimat kepada media, memberitahu bahawa pihak berkuasa sedang menghantar pasukan untuk meredakan keadaan.

Gabenor Sweida Encik Mustapha al-Bakur menyeru para penduduk supaya menahan diri dan dan menyahut seruan nasional untuk pembaharuan.

Beberapa pemimpin Druze Syria juga telah meminta ketenangan dikembalikan dan berharap Damsyik segera campur tangan.

Akhbar media pemerintah Syria, Sana, menyatakan pasukan keselamatan telah ditempatkan di sempadan pentadbiran antara wilayah Daraa dengan Sweida akibat ketegangan yang berlaku.

Disebabkan keganasan itu, Kementerian Pendidikan mengumumkan penangguhan peperiksaan rasmi sekolah menengah Sweida yang dijadualkan pada 14 Julai ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Sebelum perang saudara Syria meletus, penduduk mazhab Druze dianggarkan berjumlah 700,000 orang, dengan wilayah Sweida menempatkan komuniti terbesar mazhab itu.

Puak Badwi dan Druze mempunyai sejarah pertelingkahan yang berpanjangan di Sweida, dan keganasan kadangkala meletus antara kedua-duanya.

Sejak penggulingan pemerintahan rejim Bashar al-Assad, kebimbangan telah dibangkitkan mengenai hak dan keselamatan minoriti di bawah pihak berkuasa Islam baru yang juga bergelut untuk mewujudkan semula keselamatan secara lebih meluas.

Pertempuran antara pasukan keselamatan dengan kumpulan bersenjata Druze pada April dan Mei telah membunuh berpuluh-puluh orang, dengan pemimpin tempatan dan tokoh agama menandatangani perjanjian untuk membendung peningkatan dan mengintegrasikan anggota Druze dengan lebih baik ke dalam pemerintahan baru. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg