Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syria bergolak, 101 maut dalam pertempuran etnik mazhab

Pemimpin Druze minta masyarakat antarabangsa campur tangan
May 2, 2025 | 3:08 PM
Pasukan keselamatan Syria memeriksa kenderaan yang memasuki bandar Druze di Sahnaya, Syria.
Pasukan keselamatan Syria memeriksa kenderaan yang memasuki bandar Druze di Sahnaya, Syria. - Foto REUTERS

DAMSYIK: Pemimpin Druze Syria Sheikh Hikmat al-Hijri menuduh pemerintah melakukan “serangan pembunuhan beramai-ramai” ke atas komunitinya selepas beberapa hari pertempuran mazhab yang menyebabkan 101 orang maut.

Dalam satu kenyataan, Encik Hijriah merujuk kepada keganasan antara etnik Druze dengan Sunni Syria di selatan Syria minggu ini sebagai “serangan pembunuhan beramai-ramai yang tidak wajar” dan tidak seharusnya berlaku.

Beliau meminta bantuan antarabangsa untuk meredakan keadaan, dengan berkata, “Pasukan antarabangsa mesti campur tangan segera untuk mengekalkan keamanan.”

Pemimpin itu mengecam pemerintah Damsyik atas keganasan itu, dengan menambah: “Kami tidak lagi mempercayai organisasi yang mengaku sebagai pemerintah,” dan “Sebuah pemerintah tidak membunuh rakyatnya melalui kumpulan Takfiri yang dimilikinya.”

Istilah takfiri sering digunakan untuk menggambarkan kumpulan radikal seperti ISIS.

Komen Encik Hijriah menyusuli keganasan antara mazhab di selatan Syria.

Pertempuran berlaku di Jaramana pada 28 April apabila lelaki bersenjata dari kawasan Sunni berhampiran, turun ke bandar majoriti etnik Druze.

Insiden itu didorong oleh rakaman kononnya seorang lelaki Druze menghina Nabi Muhammad saw yang tersebar di Syria.

Pertempuran merebak ke Sahnaya, terletak berhampiran Ashrafiyat Sahnaya dan wilayah Suwayda pada 30 April.

Namun, gencatan senjata dicapai di Sahnaya dan Jaramana pada hari yang sama.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di United Kingdom berkata pada 1 Mei bahawa jumlah kematian akibat pertempuran telah meningkat kepada 101.

Menurut pemantau perang, daripada kesemua yang maut itu, 20 adalah tentera pemerintah dan 14 pejuang Druze yang terbunuh di Ashrafiyat Sahnaya, sembilan orang etnik Druze telah dihukum bunuh dan seorang awam Druze terbunuh akibat tembakan di Sahnaya.

Di Jaramana, 10 tentera pemerintah dan tujuh pejuang Druze terbunuh dan di al-Soura al-Kubra, lima pejuang Druze terbunuh dalam pertempuran berhampiran di kawasan itu.

Selebihnya atau 35 orang merupakan pejuang Druze yang maut dalam serangan hendap oleh pasukan pemerintah di Suwayda-Damascus.

Agensi berita rasmi Syria SANA melaporkan bahawa pasukan keselamatan Syria telah dikerahkan ke Ashrafiyat Sahnaya, terletak 11 kilometer ke selatan Damsyik, pada 1 Mei dalam usaha mengembalikan ketenteraman di sana.

Di wilayah Suwayda selatan, Gabenor Encik Mustafa al-Bakour bertemu pemimpin tentera Syria untuk membincangkan penempatan mereka ke bandar al-Soura al-Kubra, menurut SANA. Pekan ini terletak 50 kilometer ke tenggara Damsyik.

Akhbar Syria Enab Baladi melaporkan bahawa pintu masuk ke pinggir bandar Damsyik Jaramana dibuka semula pada 1 Mei selepas ditutup sejak 29 April kerana keganasan yang berlaku.

Dalam tindak balas yang mungkin terhadap Encik Hijriah, Menteri Luar Syria Encik Asad al-Shaibani mengkritik prospek campur tangan asing dalam siaran menerusi platform X.

“Sebarang seruan untuk campur tangan asing akan hanya memburukkan keadaan dan membawa perpecahan,” katanya.

Terdapat sekitar 700,000 etnik Druze di Syria.

Syria, yang telah lama dilanda konflik mazhab, telah mengalami keganasan yang dahsyat sejak kumpulan pemberontak Islam Hayat Tahrir al-Sham menggulingkan Presiden Bashar al-Assad pada Disember 2024. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg