PHNOM PENH/BANGKOK: Pertempuran sengit kembali meletus di sempadan Thailand–Kemboja pada 11 Disember dengan dentuman artileri kedengaran berhampiran kuil bersejarah yang dipertikaikan, hanya beberapa jam sebelum Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dijangka menghubungi kedua-dua pemimpin negara itu bagi menuntut penghentian segera pertempuran.
“Saya difahamkan dijadualkan bercakap dengan mereka esok (11 Disember),” kata Encik Trump kepada wartawan di Rumah Putih. “Kita mahukan pertempuran ini dihentikan segera.”
Konflik yang tercetus semula ini adalah yang paling berdarah sejak lima hari pertempuran pada Julai lalu yang turut dihentikan selepas campur tangan Encik Trump apabila puluhan terkorban sebelum gencatan rapuh dicapai.
Tentera Kedua Thailand melaporkan bahawa pertempuran terbaru tercetus awal pagi tadi di Wilayah Surin dan Buri Ram, hanya beberapa jam selepas tentera Thai didakwa melancarkan serangan terhadap sebuah kasino dan depot minyak di Kemboja yang dipercayai dijadikan pangkalan ketenteraan oleh Phnom Penh.
Menurut laporan portal berita The Nation, Tentera Kedua Thailand berkata aktiviti ketenteraan mula dikesan seawal jam 4.35 pagi 11 Disember waktu tempatan di beberapa lokasi strategik sepanjang garis sempadan, termasuk Chong Bok, Chong An Ma, Ta Kwai dan Ta Muean, yang sering menjadi titik panas dalam pertikaian wilayah kedua-dua negara.
Dalam satu kemas kini di Facebook rasmi “Army Military Force”, satu serangan besar dilaporkan ke atas posisi Kemboja di kawasan Choep Koki, bertentangan dengan Daerah Ban Kruat di Buri Ram. Kemas kini itu menyatakan bahawa asap hitam tebal kelihatan dari kasino dan depot minyak di Choep Koki, yang kedua-duanya musnah dalam serangan dilancarkan tentera Thailand.
“Letupan berterusan juga kedengaran lebih 10 kilometer jauhnya. Jet pejuang F-16 Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) melakukan serangan udara malam tadi, menjatuhkan bom berkuasa tinggi ke sasaran kasino di Choep Koki, Daerah Banteay Ampil, Oddar Meanchey, Kemboja,” demikian menurut The Nation.
Di Kemboja, wartawan AFP di Oddar Meanchey melaporkan letupan artileri sejak subuh, dipercayai dilepaskan ke arah kawasan kuil yang dipertikaikan. Kementerian Pertahanan Kemboja menuduh Thailand memulakan serangan awal pagi tersebut dengan “menembak ke kawasan Kuil Khnar”.
Thailand pula mengumumkan perintah berkurung malam dari 7 malam hingga 5 pagi di beberapa kawasan Sa Kaeo mulai Rabu. Tentera Thailand menuduh Kemboja menembak roket yang hampir mengenai Hospital Phanom Dong Rak di Surin, yang pernah terkena serangan pada Julai.
Sekurang-kurangnya 15 orang, termasuk askar Thailand dan orang awam Kemboja, disahkan terbunuh dalam pertempuran terbaru ini. Lebih 500,000 penduduk, kebanyakannya di Thailand, telah melarikan diri dari kawasan sempadan selepas jet pejuang, kereta kebal dan dron digunakan dalam siri serangan balas kedua-dua pihak.
Menurut pihak berkuasa Kemboja, lebih 101,000 orang telah dipindahkan. Thailand pula melaporkan lebih 400,000 penduduk telah berpindah ke kawasan selamat. Saya cuma mahu pulang dan bercucuk tanam semula,” kata Rat, seorang petani berusia 61 tahun yang terpaksa meninggalkan rumah sebelum menanam ubi kayu musim ini. “Setiap kali pertempuran bermula, hidup kami seolah-olah terhenti sekali lagi.”
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) mengeluarkan gesaan agar semua pihak melindungi warisan budaya di rantau itu. “Kami telah memaklumkan koordinat semua tapak Warisan Dunia bagi mengelak kerosakan,” kata kenyataan Unesco yang menyuarakan kebimbangan terhadap kawasan sekitar Kuil Preah Vihear, tapak warisan Unesco yang telah lama menjadi punca ketegangan.
Pertempuran di kawasan itu pernah meletus antara 2008 hingga 2011, mengorbankan kira-kira 24 orang dan memaksa puluhan ribu penduduk melarikan diri dari rumah masing-masing.
Dalam perkembangan besar yang meningkatkan konflik ini ke peringkat antarabangsa, Kemboja secara rasmi telah membawa isu tersebut ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), memohon campur tangan segera.
Dalam surat bertarikh 10 Disember kepada presiden majlis, Wakil Tetap Kemboja ke PBB, Encik Keo Chhea, menuduh Thailand melancarkan “siri serangan bersenjata yang tidak dicetuskan dan semakin meningkat”.
Surat itu menyatakan bahawa Thailand melanggar Piagam PBB dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dengan menggunakan kereta kebal, artileri berat, dron, jet pejuang dan “asap beracun”.
Serangan itu, dakwa Kemboja, telah menular ke zon awam di Banteay Meanchey, Pursat dan Battambang, selain merosakkan tapak warisan budaya berhampiran Preah Vihear. “Tindakan ini satu pelanggaran serius terhadap Piagam PBB dan ancaman nyata kepada keamanan serantau,” tulis Encik Keo Chhea.
Kemboja turut menuduh Thailand melanggar perjanjian gencatan 28 Julai serta Perjanjian Damai Kuala Lumpur bertarikh 26 Oktober, yang mewajibkan penyelesaian secara aman tanpa penggunaan kekerasan.
Thailand belum memberikan reaksi balas rasmi terhadap tuduhan tersebut, tetapi menegaskan bahawa serangan awal adalah dari sebelah Kemboja. Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Encik Nikorndej Balankura, pada 10 Disember memberitahu pemberita bahawa pertempuran terbabit dijangka boleh dihentikan melalui rundingan tetapi sekarang bukan masanya untuk dialog.
“Jika mana-mana negara ketiga mahu menjadi pengantara, Thailand tidak boleh menerimanya pada peringkat ini kerana garisan telah dilangkaui. Rakyat Thailand sudah terbunuh dan kami perlu memastikan wujud kepercayaan yang mencukupi sebelum rundingan boleh dimulakan,” katanya.
Kemboja meminta Majlis Keselamatan menghentikan operasi ketenteraan Thailand, menuntut pematuhan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dan menghantar misi pencari fakta PBB.
“Ini bukan sekadar serangan terhadap Kemboja, tetapi cabaran terhadap ketertiban undang-undang antarabangsa dan kewibawaan Majlis ini,” tulis Encik Keo Chhea. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg