Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 500,000 dipindahkan ketika konflik sempadan Thailand-Kemboja kian meruncing

Trump akan hubungi Thailand, Kemboja untuk hentikan konflik sempadan
Dec 10, 2025 | 1:18 PM
Kemboja, Thailand, pertikaian
Seorang wanita yang mendukung seorang kanak-kanak dilihat memasak di sebuah kem pelarian selepas pemindahan, susulan pertempuran maut antara Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan yang dipertikaikan, di Srei Snam, wilayah Siem Reap, Kemboja, 10 Disember 2025. - Foto REUTERS

BANGKOK/PHNOM PENH: Lebih setengah juta penduduk di Thailand dan Kemboja telah dipindahkan ke kawasan selamat sejak konflik sempadan dua negara itu kembali tercetus, menurut kedua-dua kerajaan pada 10 Disember.

Angka itu kini melepasi jumlah pemindahan besar-besaran semasa pertempuran sengit pada Julai 2025.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Encik Surasant Kongsiri, berkata perpindahan besar-besaran ini tidak dapat dielakkan selepas tentera menilai adanya ancaman segera terhadap keselamatan awam.

“Orang awam terpaksa dipindahkan dalam jumlah yang sangat besar kerana kami menjangkakan ancaman yang boleh menjejas keselamatan mereka. Lebih 400,000 penduduk kini berada di pusat perlindungan di tujuh wilayah,” katanya. “Kami tidak mahu tragedi yang berlaku pada Julai 2025 berulang.”

Di Kemboja, jurucakap Kementerian Pertahanan, Cik Maly Socheata, berkata 101,229 penduduk telah dipindahkan ke pusat perlindungan dan rumah saudara-mara di lima wilayah setakat malam 9 Disember.

Kedua-dua negara saling menyalahkan antara satu sama lain sebagai pencetus keganasan baru ini, yang pada 9 Disember telah merebak ke lima wilayah masing-masing.

Konflik berpunca daripada pertikaian lama mengenai garisan sempadan sepanjang 800 kilometer, termasuk tuntutan bertindih terhadap kuil bersejarah warisan kolonial.

Pertempuran terbaru adalah yang paling buruk sejak lima hari pertempuran pada Julai lalu yang mengorbankan puluhan nyawa dan memindahkan sekitar 300,000 orang sebelum gencatan senjata rapuh dicapai dengan campur tangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Dalam satu ucapannya di Pennsylvania pada 9 Disember, Presiden Trump mengulangi hasratnya untuk campur tangan sekali lagi bagi menghentikan keganasan di Asia Tenggara.

“Esok saya akan membuat panggilan telefon kepada kedua-dua negara,” katanya. “Siapa lagi yang boleh berkata: Saya hanya telefon dan hentikan perang antara dua negara yang kuat? Ini strategi keamanan melalui kekuatan,” ujar Encik Trump.

Washington sebelum ini mengugut sekatan perdagangan ketika pertempuran pada Julai, sebelum menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kuala Lumpur pada Oktober yang merangka langkah awal ke arah perdamaian.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, turut mengeluarkan kenyataan mendesak “penghentian segera permusuhan, perlindungan orang awam, dan kembali kepada langkah meredakan ketegangan” seperti termaktub dalam perjanjian 26 Oktober lalu.

Bagaimanapun, Menteri Luar Thailand, Encik Sihasak Phuangketkeow, memberitahu media beliau tidak melihat ruang untuk rundingan dalam masa terdekat. “Keadaan tidak kondusif untuk pengantaraan pihak ketiga,” katanya ketika ditemu bual pada 9 Disember.

Sebaliknya, penasihat kanan kepada Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, berkata Phnom Penh “sedia berbincang pada bila-bila masa”.

Pertempuran tercetus sejak 8 Disember lalu apabila Thailand menuduh Kemboja melancarkan roket ke kawasan penduduk. Thailand membalas dengan tembakan artileri dan turut mengerah jet pejuang F-16.

Kemboja pula menuduh Thailand mensasarkan kawasan kediaman secara “sembarangan dan kejam”. Kementerian Pertahanan Kemboja mengesahkan sembilan orang awam terbunuh dan 20 cedera parah sejak 8 Disember. Pihak Thailand melaporkan empat anggota tentera terbunuh dan 68 cedera.

Seorang jeneral kanan Thailand berkata matlamat operasi mereka adalah: “Melemahkan keupayaan ketenteraan Kemboja untuk tempoh yang lama.” Tuduhan itu dibalas Kemboja yang menegaskan bahawa serangan balas mereka bersifat pertahanan sahaja.

Di wilayah Surin, Thailand, penduduk seperti Sutida Pusa, 30 tahun, menggambarkan ketakutan berterusan.

“Keluarga saya dipindahkan ke pusat perlindungan semalam (9 Disember). Kami tidak pernah benar-benar percaya keadaan sudah selamat,” katanya kepada AFP. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg