Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Netanyahu: Pertempuran dengan Hamas akan berakhir, tapi perang tetap diteruskan

Jun 24, 2024 | 1:50 PM
Palestin
Sekumpulan penduduk Palestin membawa keluar mangsa yang cedera akibat serangan udara Israel ke atas bangunan yang digunakan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Bandar Gaza pada 23 Jun. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata fasa pertempuran sengit menentang Hamas di Jaluran Gaza akan berakhir tetapi perang akan diteruskan sehingga kumpulan itu tidak lagi mengawal wilayah Palestin.

Apabila pertempuran sengit berakhir di Gaza, Israel akan dapat mengerahkan lebih banyak pasukan di sepanjang sempadan utara dengan Lebanon yang menyaksikan pertempuran dengan Hezbollah yang disokong Iran telah meningkat, katanya.

“Selepas fasa sengit selesai, kami mungkin memindahkan sebahagian daripada pasukan ke utara. Kami akan melakukan ini dengan tujuan pertahanan dan untuk membawa pulang penduduk kami (yang dipindahkan),” ujar Encik Netanyahu dalam temu bual dengan Saluran 14 Israel pada 23 Jun.

“Kalau boleh kita buat secara diplomatik. Kalau tidak, kita buat cara lain. Tapi kita akan bawa pulang (penduduk),” tambahnya.

Banyak bandar Israel berhampiran sempadan dengan Lebanon telah dipindahkan semasa pertempuran.

Ditanya bila fasa pertempuran sengit menentang Hamas akan berakhir, Netanyahu menjawab: “Tidak lama lagi.”

“Tetapi tentera masih akan beroperasi di Gaza. Saya tidak sanggup menamatkan perang dan meninggalkan Hamas seperti sedia ada,” katanya.

Encik Netanyahu turut mengulangi penolakannya terhadap idea bahawa Penguasa Palestin yang berpangkalan di Tebing Barat mengendalikan Gaza sebagai menggantikan Hamas.

Sementara itu, lapan rakyat Palestin terbunuh pada 23 Jun dalam serangan udara Israel ke atas sebuah kolej latihan berhampiran Bandar Gaza yang digunakan untuk mengagihkan bantuan, kata saksi Palestin.

Kereta-kereta kebal Israel dilapor menyusup lebih jauh ke bandar Rafah di selatan.

Serangan itu disasarkan terhadap kolej vokasional yang dikendalikan oleh Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang menyediakan bantuan kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal, kata saksi.

“Sesetengah orang datang untuk menerima kupon bantuan dan ramai yang kehilangan tempat tinggal berlindung di sini,” kata Encik Mohammed Tafesh, salah seorang saksi.

Seorang jurugambar Reuters melihat sebuah bangunan bertingkat rendah musnah sepenuhnya dan mayat berbalut selimut diletakkan di tepi jalan, menunggu untuk dialihkan.

Tentera Israel mendakwa Hamas dan kumpulan Jihad Islam menggunakan kolej latihan tersebut untuk kegiatan mereka.

Ia menambah bahawa langkah berjaga-jaga telah diambil sebelum serangan dilancarkan bagi mengurangkan risiko mencederakan orang awam.

“Pagi ini, jet pejuang tentera udara Israel yang diarahkan oleh pasukan perisikan Angkatan Tentera Israel (IDF) menyerang prasarana tempat Hamas dan Jihad Islam beroperasi,” kata pihak tentera dalam satu kenyataan pada 23 Jun.

“Ini adalah satu lagi contoh eksploitasi sistematik Hamas terhadap prasarana awam dan penduduk awam sebagai perisai manusia untuk kegiatan mereka,” tambahnya.

Hamas bagaimanapun menafikan tuduhan Israel bahawa ia menggunakan orang awam sebagai perisai manusia atau kemudahan awam untuk tujuan ketenteraan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg