SHENZHEN: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bertemu dengan Presiden China, Encik Xi Jinping, dan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dalam satu sidang kemuncak yang belum pernah berlaku sebelum ini pada 19 November.

Ini sekali gus membuka peluang untuk membincangkan peraturan bagi mengawal senjata nuklear serta memulakan usaha menyelesaikan konflik di Ukraine dan Iran.

“Kita benar-benar sedang mencipta sejarah,” kata Encik Trump.

Beliau berkata Amerika, Russia dan China berada dalam “kedudukan unik untuk membincangkan cara mengurangkan jumlah senjata nuklear di dunia serta mengurangkan risiko penggunaan senjata tersebut”.

Encik Xi turut menyuarakan harapan yang sama dengan berkongsi bahawa “segala usaha mesti dilakukan untuk mencegah perang nuklear”.

“Perang nuklear tidak dapat dimenangi dan tidak boleh sama sekali berlaku.

“Segala usaha mesti dijalankan untuk mencegah perang nuklear, mematuhi Perjanjian Pencegahan Penularan Senjata Nuklear (NPT) dan mengekalkan kestabilan strategik sejagat,” kata Encik Xi dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita China, Xinhua, sebelum pertemuan tiga hala itu.

Menyentuh mengenai konflik di Ukraine pula, Encik Putin berkata Amerika, China dan Russia mempunyai “banyak kepentingan bersama dalam menyelesaikan konflik serantau, termasuk tentunya konflik di Ukraine”.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Berbeza dengan Encik Trump dan Encik Putin, Encik Xi tidak menyentuh isu Ukraine, sebaliknya berkata:

“Sejarah memberitahu kita bahawa apabila kuasa-kuasa besar hidup dalam suasana harmoni, dunia akan aman.

“Namun, apabila kuasa-kuasa besar bertelagah, dunia akan dilanda kekacauan.”

Encik Putin turut mengimbau kembali sejarah bersama Russia, China dan Amerika sebagai “pemenang Perang Dunia Kedua”, sambil berkata bahawa “kita memikul tanggungjawab bersama untuk mengekalkan keamanan antarabangsa”.

Penganalisis tidak menjangkakan pertemuan tiga hala itu akan menghasilkan sebarang persetujuan besar, memandangkan wujudnya perbezaan pendirian yang mendalam antara tiga negara paling berkuasa di dunia berhubung isu Ukraine, Iran, senjata nuklear dan perdagangan.

Namun, pertemuan tersebut tetap menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara-negara lebih kecil yang khuatir Encik Trump, Encik Xi dan Encik Putin mahu membahagikan dunia kepada lingkungan pengaruh masing-masing.

Ini seperti membuat keputusan yang memberi kesan kepada Ukraine tanpa melibatkan Kyiv atau Eropah.

Sebelum pertemuan tiga hala itu bermula pada petang 19 November, Encik Trump telah mengadakan pertemuan berasingan dengan Encik Xi – pertemuan substantif ketiga antara kedua-dua pemimpin itu pada 2026.

Beliau memuji hubungan persahabatan mereka serta kepentingan bersama dalam memastikan penghantaran minyak melalui Selat Hormuz, yang kini menjadi lokasi utama serangan dalam konflik Iran.

Encik Trump turut memberi bayangan bahawa beliau akan menggesa Encik Xi supaya membeli lebih banyak hasil pertanian dari Amerika.

“Saya akan meminta anda melakukan lebih banyak lagi untuk para petani kami,” kata beliau.

Menurut Encik Xi, hubungan antara Amerika dengan China secara umum “kekal stabil dan bertambah baik” sepanjang tempoh pentadbiran Encik Trump.

“Usaha yang telah anda lakukan dapat dilihat oleh semua pihak dan akan tercatat dalam sejarah,” ujar beliau. – Agensi berita.