Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesakit maut dikebumi dalam kubur besar di Hospital al-Shifa

Tentera Israel kepung hospital terbesar di Jaluran Gaza kerana dakwa ia terletak di atas kompleks terowong, pusat arahan Hamas
Nov 15, 2023 | 3:11 PM
TEROWONG HAMAS: Israel mendakwa terowong yang disambungkan ke arah hospital di lokasi yang dinamakan sebagai Gaza, dalam imej tangkap skrin dari video yang yang dikeluarkan pada 13 November 2023. Israel menuduh Hamas mempunyai pusat kawalan di bawah hospital Al Shifa, yang terbesar di Gaza, dan menggunakan hospital serta terowong di bawahnya untuk menyembunyikan operasi ketenteraan dan menahan tebusan. Hamas menafikannya.
TEROWONG HAMAS: Israel mendakwa terowong yang disambungkan ke arah hospital di lokasi yang dinamakan sebagai Gaza, dalam imej tangkap skrin dari video yang yang dikeluarkan pada 13 November 2023. Israel menuduh Hamas mempunyai pusat kawalan di bawah hospital Al Shifa, yang terbesar di Gaza, dan menggunakan hospital serta terowong di bawahnya untuk menyembunyikan operasi ketenteraan dan menahan tebusan. Hamas menafikannya. - Foto REUTERS

GAZA: Kakitangan Hospital al-Shifa di Bandar Gaza terpaksa mengebumikan berpuluh-puluh pesakit yang meninggal dunia di dalam kubur secara beramai-ramai, kata pegawai hospital, ketika beribu-ribu rakyat Palestin masih terperangkap dalam kemudahan kesihatan yang dikepung tentera Israel.

“Terdapat mayat bergelimpangan di kompleks hospital, dan tiada lagi bekalan elektrik di bilik mayat,” kata Pengarah Hospital al-Shifa, Encik Mohammad Abu Salmiya, kepada wartawan pada Selasa.

“Kami terpaksa mengebumikan mereka dalam kubur secara beramai-ramai,” tambahnya.

Beliau berkata setakat ini 179 mayat telah dikebumikan di halaman hospital, dan tujuh bayi serta 29 pesakit rawatan rapi adalah antara mereka yang maut sejak penjana elektrik di hospital kehabisan bahan api pada Sabtu.

Tentera Israel mengepung hospital terbesar di Jaluran Gaza itu kerana mereka mendakwa ia terletak di atas kompleks terowong dan pusat arahan kumpulan militan Palestin Hamas, yang mentadbir Gaza.

Hamas menafikan dakwaan itu sambil menyatakan bahawa 650 pesakit dan 5,000 hingga 7,000 orang awam yang mendapatkan perlindungan terperangkap dalam kawasan hospital tersebut dan terdedah kepada tembakan berterusan oleh penembak tepat dan dron Israel.

Amerika Syarikat berkata ia “mempunyai maklumat bahawa Hamas dan Jihad Islam Palestin menggunakan beberapa hospital di Jaluran Gaza, termasuk al-Shifa, dan rangkaian terowong di bawahnya untuk menyembunyikan dan menyokong operasi ketenteraan mereka dan menahan tebusan”.

Encik John Kirby, jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika, berkata anggota dua kumpulan Palestin itu “mengeluarkan perintah arahan dan kawalan dari al-Shifa di Bandar Gaza” dan “menyimpan senjata di situ”.

Namun, beliau tidak mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaan itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan 22 daripada 36 hospital di Gaza kini tidak berfungsi kerana kekurangan bahan api untuk menjana kuasa elektrik.

“Empat belas hospital yang masih dibuka mempunyai bekalan yang hampir tidak mencukupi untuk menjalankan pembedahan kritikal dan menyelamatkan pesakit, termasuk di unit rawatan rapi,” kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pekerja perubatan dan pegawai kesihatan telah menolak dakwaan Israel bahawa hospital itu tidak dikepung, dan berkata serangan berterusan Israel telah membawa bahaya tambahan kepada para petugas.

Pada Selasa, jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Encik Ashraf al-Qudra, berkata tawaran Israel untuk memindahkan bayi keluar dari Hospital al-Shifa dengan inkubator mudah alih tidak menghasilkan rancangan konkrit.

Jurucakap WHO, Cik Margaret Harris, berkata memindahkan pesakit yang sakit dan terdedah keluar dari hospital adalah “tugas yang mustahil”.

“Dan sekali lagi, mengapa anda perlu memindahkan mereka?” tanya beliau.

“Sebuah hospital tidak sepatutnya diserang. Hospital adalah tempat yang selamat. Ini dipersetujui di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg