NEW DELHI: Sebuah pesawat Air India yang membawa 242 penumpang dan kru yang menuju ke London dilaporkan terhempas beberapa minit selepas ia berlepas dari barat bandar Ahmedabad, India, pada 12 Jun.
Menurut ketua polis Ahmedabad, “tiada mangsa yang terselamat” dalam kejadian itu.
Para penyelamat berkata mereka telah menemui sekurang-kurangnya 30 mayat, kebanyakannya daripada sebuah hostel perubatan yang terkena pesawat itu semasa ia terhempas.
Sehingga 8 malam pada 12 Jun, lebih daripada 100 mayat telah dibawa ke sebuah hospital di Ahmedabad menyusuli kejadian itu.
Pesawat tersebut sedang menuju ke Lapangan Terbang Gatwick di London, kata Air India dalam platform X.
Ia terhempas di sebuah kawasan dekat lapangan terbang, kata polis.
“Pada masa ini, kami masih mengesahkan butiran dan akan berkongsi maklumat terkini,” kata Air India lagi.
Angka 242 penumpang itu dikatakan terdiri daripada 169 warga India, 53 (Britain), tujuh (Portugal) dan seorang dari Canada.
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, dalam catatan Facebook beliau pada 12 Jun melahirkan rasa sedihnya di atas kejadian pesawat Air India yang terhempas itu.
“Hilangnya banyak nyawa memang menyedihkan. Kami lahirkan rasa takziah yang mendalam kepada keluarga yang hilang orang tersayang, dan kepada rakyat India pada masa sedih ini.
“Kami berdiri dalam perpaduan dengan India dan mereka yang terjejas – termasuk rakyat daripada negara lain yang berada dalam pesawat itu,” kata Encik Wong.
Dalam kenyataannya Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, berkata:
“Imej yang menunjukkan pesawat yang menuju ke London membawa ramai rakyat Britain terhempas di bandar India, Ahmedabad, itu amat dahsyat.
“Saya diberi maklumat terkini mengenai situasi itu, dan ingatan saya adalah kepada penumpang serta keluarga mereka ketika saat yang menyedihkan ini.”
Selain itu, bekas ketua menteri Gujarat, Encik Vijay Rupani, merupakan antara penumpang penerbangan Air India ketika kejadian itu berlaku, menurut laporan pihak media tempatan.
Platform penjejak penerbangan Flightradar24 berkata dalam X bahawa ia menerima isyarat terakhir daripada pesawat Air India AI171 pada 8.08 pagi (4.08 petang waktu Singapura) “beberapa saat selepas ia berlepas”.
“Ia membuat Panggilan Mayday kepada kawalan trafik udara (ATC), tetapi selepas itu tiada respons yang diberi pesawat tersebut,” kata Pengarah Agung Penerbangan Awam India dalam satu kenyataan.
Ia menambah bahawa pesawat itu “terhempas di luar sempadan lapangan terbang tersebut”.
Pengerusi Air India, Encik N. Chandrasekaran, meluahkan rasa simpatinya kepada anggota keluarga mangsa yang terbabit dalam kejadian itu.
“Buat masa sekarang, tumpuan utama saya adalah untuk memberi sokongan kepada mereka yang terjejas serta anggota keluarga mereka,” katanya.
“Kami sedang sedaya upaya membantu pasukan respons kecemasan di tapak kejadian dan bagi menyediakan semua sokongan serta penjagaan yang diperlukan kepada mereka yang terjejas,” tambah beliau.
Rakaman di lokasi kejadian menunjukkan serpihan pesawat terbakar dengan asap hitam tebal menyelubungi kawasan berhampiran lapangan terbang.
Menurut laporan, pesawat yang terlibat dikenal pasti sebagai Boeing 787-8 Dreamliner, dengan nombor pendaftaran VT-ANB.
Pesawat berenjin kembar itu dilaporkan mula mendarat perlahan sejurus berlepas dengan gear pendaratannya masih dilanjutkan sebelum meletup dan terbakar.
Pesawat itu dikatakan diterbangkan Kapten Sumeet Sabharwal bersama Pegawai Pertama Clive Kundar, yang masing-masing mempunyai pengalaman menerbangkan pesawat selama 8,200 jam dan 1,100 jam, lapor The Straits Times.
Keadaan cuaca dilaporkan “stabil dan jelas”, kata pakar keselamatan penerbangan Encik Marco Chan kepada BBC.
Beberapa gambar yang dikongsikan di media menunjukkan mangsa dibawa keluar dengan pengusung dan dimasukkan ke dalam ambulans.
Syarikat penerbangan itu berkata mangsa yang cedera sedang dibawa ke hospital terdekat dan ia memberi “kerjasama penuh” kepada pihak berkuasa yang menyiasat kejadian itu.
Kemalangan pesawat yang mengorbankan nyawa yang terakhir di India berlaku pada 2020 dan melibatkan Air India Express, yang merupakan pesawat tambang murah syarikat penerbangan Air India.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg