OTTAWA (Canada): Majlis Penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 12 Mei memutuskan bahawa Russia bertanggungjawab ke atas insiden tembakan jatuh sebuah pesawat penerbangan Malaysia di ruang udara Ukraine pada 2014 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal, menurut kenyataan kerajaan Belanda.
Dalam kenyataan itu, pemerintah Belanda menyatakan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) akan mempertimbangkan bentuk pampasan yang wajar dalam beberapa minggu akan datang.
Penerbangan Malaysia Airlines MH17 berlepas dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, namun ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine ketika pertempuran sengit antara puak pemisah pro-Russia dengan tentera Ukraine.
Pada November 2022, jemaah hakim Belanda mensabitkan dua lelaki Russia dan seorang lelaki Ukraine tanpa kehadiran mereka atas tuduhan membunuh di atas peranan mereka dalam serangan berkenaan.
Namun Moscow menyifatkan keputusan itu sebagai ‘memalukan’ sambil menegaskan ia tidak akan mengekstradisi warganya.
ICAO, yang berpangkalan di Montreal, tidak memberi respons segera terhadap permintaan untuk memberi ulasan berhubung perkara itu, lapor Reuters.
Kes berkenaan dimulakan pada 2022 oleh Australia dan Belanda.
Menteri Luar Belanda, Encik Caspar Veldkamp, dalam satu kenyataan berkata keputusan itu adalah langkah penting ke arah menegakkan kebenaran dan mencapai keadilan serta kebertanggungjawapan buat semua mangsa Penerbangan MH17, serta keluarga dan orang tersayang mereka.
“Keputusan ini juga memberi mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa: sesebuah negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa dikenakan tindakan,” katanya.
ICAO tidak mempunyai kuasa kawal selia tetapi mempunyai pengaruh moral dan menetapkan piawaian penerbangan global yang diterima pakai sebahagian besar 193 negara anggotanya.
Pada Julai 2014, kerajaan Malaysia mengulangi komitmen dalam proses kehakiman yang dijalankan secara telus di bawah undang-undang antarabangsa terhadap pihak bertanggungjawab dalam tragedi Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014.
Kementerian Pengangkutan negara itu berkata kerajaan juga komited akan terus mencari keadilan bagi keluarga mangsa dalam kejadian berkenaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg