Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesawat bawa pesakit terhempas di Philadelphia; 6 termasuk seorang kanak-kanak maut

Feb 1, 2025 | 4:55 PM
Para pegawai tempatan belum dapat mengesahkan jumlah mangsa yang mungkin maut di darat selepas sebuah pesawat pemindahan perubatan terhempas dan merempuh satu kawasan yang padat penduduk di Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat, pada 31 Januari.
Para pegawai tempatan belum dapat mengesahkan jumlah mangsa yang mungkin maut di darat selepas sebuah pesawat pemindahan perubatan terhempas dan merempuh satu kawasan yang padat penduduk di Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat, pada 31 Januari. - Foto AFP

PHILADELPHIA (Amerika Syarikat): Sebuah pesawat ‘medevac’ atau pemindahan perubatan terhempas sejurus selepas berlepas di Philadelphia pada 31 Januari, dengan seorang kanak-kanak dan lima yang lain di dalamnya, kata syarikat ambulans udara yang mengendalikannya, sambil menambah bahawa ia belum dapat mengesahkan jika ada yang terselamat.

Syarikat Jet Rescue Air Ambulance, yang berpangkalan di Mexico dan berlesen untuk operasi di Amerika Syarikat, berkata pesawatnya terhempas dengan empat anak kapal, seorang pesakit perubatan kanak-kanak dan ibu pesakit itu di dalamnya.

“Pada masa ini kami tidak dapat mengesahkan jika ada yang terselamat,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Pegawai negeri dan tempatan, berkata pada lewat 31 Januari, mereka belum dapat mengesahkan berapa ramai orang lain yang mungkin maut di darat selepas pesawat itu merempuh satu kawasan yang padat penduduk di bandar itu.

Video oleh saksi-saksi nahas itu jelas menunjukkan bahagian badan pesawat itu berselerak di jalan raya dan di dalam rumah-rumah berhampiran.

Pemerintah Mexico berkata semua yang berada di dalam pesawat itu warga Mexico, lapor siaran CNN.

Kanak-kanak perempuan itu dalam perjalanan pulang dengan destinasi terakhir di Tijuana, Mexico, kata Encik Shai Gold, yang bekerja dalam bahagian strategi korporat di Jet Rescue Air Ambulance, kepada CNN. Ibu kanak-kanak itu juga berada di dalam pesawat itu, katanya.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata enam orang berada di dalam pesawat Learjet 55 yang terhempas sekitar 6.30 petang (8.30 pagi 1 Februari waktu Singapura) itu.

Media tempatan melaporkan ia berada berhampiran Roosevelt Mall di timur laut Philadelphia dan terdapat banyak kecederaan di darat.

Video yang disiarkan di stesen TV tempatan menunjukkan pesawat itu menjunam ke tanah sebelum meletup.

Datuk Bandar Philadelphia, Cik Cherelle Parker, memberitahu sidang akhbar di tempat kejadian itu, beberapa rumah dan kereta turut terbakar.

Para pegawai pula berkata tidak jelas apa yang menyebabkan nahas itu.

Pesawat itu terhempas ketika cuaca sejuk dan hujan serta jarak penglihatan yang rendah.

Ambulans udara itu telah meninggalkan Lapangan Terbang Northeast Philadelphia dan menuju ke Lapangan Terbang Nasional Springfield-Branson di Missouri, kira-kira 1,800 kilometer ke arah barat daya, kata FAA dalam satu kenyataan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg