WASHINGTON: Sekumpulan orang dipercayai maut selepas sebuah pesawat penumpang serantau American Airlines dan sebuah helikopter Black Hawk tentera Amerika Syarikat terhempas ke dalam Sungai Potomac selepas bertembung di udara berhampiran Lapangan Terbang Nasional Reagan Washington pada malam 29 Januari, menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika (FAA).
Anggota gabungan NBC News di Washington, News4, melaporkan lebih 30 mayat telah ditemui dari sungai itu. Kenyataan yang dikeluarkan Encik Roger Marshall, Senator Kansas, kawasan penerbangan itu berlepas, membayangkan semua penumpang mungkin maut.
Pada satu sidang media di Lapangan Terbang Reagan pada 30 Januari, Encik Marshall berkata: “Sukar untuk diterima apabila kita kehilangan lebih 60 penduduk Kansas sekali gus. Apabila seorang meninggal dunia, ia adalah satu tragedi, tetapi apabila ramai orang meninggal dunia, ia adalah kesedihan yang tidak tertanggung.”
Encik Jack Potter, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penguasa Lapangan Terbang Metropolitan Washington, menekankan semasa sidang media itu bahawa pasukan penyelamat berada dalam “mod menyelamat”.
American Airlines mengesahkan terdapat 64 orang di dalam pesawat tersebut – 60 penumpang dan empat kru. Penumpang dalam penerbangan itu termasuk pemain luncur ais, keluarga dan jurulatih yang pulang dari sebuah acara di Wichita, Kansas, termasuk bekas juara dunia kelahiran Russia, Yevgenia Shishkova dan Vadim Naumov.
Pertembungan di udara itu berlaku ketika pesawat American Eagle 5342 itu, yang dalam perjalanan dari Wichita sedang cuba mendarat di Lapangan Terbang Reagan. Komunikasi radio antara menara kawalan trafik udara dan Black Hawk itu menunjukkan kru helikopter tentera itu menyedari sebuah pesawat sedang berada di kawasan berdekatan.
Pentagon mengumumkan bahawa siasatan segera akan dilancarkan.
Sementara itu, Presiden Donald Trump dalam satu hantaran di Truth Social nampaknya menyalahkan kru helikopter itu dan pengawal trafik udara.
Beliau menulis: “Mengapa menara kawalan tidak memberitahu helikopter apa yang perlu dilakukan, sebaliknya bertanya apakah mereka melihat pesawat itu? Ini adalah satu situasi buruk yang nampaknya dapat dielak.”
Rakaman kawalan lalu lintas udara menangkap komunikasi terakhir antara menara kawalan dengan Black Hawk, yang dipanggil PAT25, sebelum ia bertembung dengan jet yang dipanggil CRJ.
“PAT25, adakah anda nampak CRJ? PAT25, terbang di belakang CRJ,” kata seorang pengawal lalu lintas udara pada jam 8.47 malam waktu tempatan (9.47 pagi waktu Singapura), menurut rakaman di liveatc.net.
Beberapa saat kemudian, sebuah pesawat lain menghubungi kawalan lalu lintas udara, berkata: “Menara, adakah anda nampak itu (kemalangan tersebut)?”
Pengawal lalu lintas udara kemudiannya mengarahkan pesawat lain yang menuju ke landasan itu untuk berpusing.
Ketua bomba Washington DC, Encik John Donnelly, berkata pada satu sidang media sekurang-kurangnya 300 anggota penyelamat sedang terus berusaha dalam operasi menyelamat yang “sangat sukar” ekoran cuaca berangin dan amat dingin.
Apabila ditanya wartawan sama ada terdapat mangsa yang selamat, beliau menjawab “kami belum tahu lagi”. Encik Potter berkata lapangan terbang itu akan terus ditutup sekurang-kurangnya hingga 11 pagi pada 30 Januari.
Dalam satu kenyataan, Tentera Amerika berkata: “(Kami) telah mengesahkan pesawat terlibat dalam insiden malam ini adalah helikopter UH-60 Tentera dari Fort Belvoir, Virginia.”
Tentera Amerika dan CEO American Airlines, Encik Robert Isom, berkata mereka sedang bekerjasama dengan penguasa tempatan dan akan memberi maklumat lanjut apabila ia tersedia.
Polis berkata beberapa agensi terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat di Sungai Potomac, yang bersempadan dengan lapangan terbang tersebut.
Nahas besar terakhir yang melibatkan pesawat komersial di Amerika adalah pada 2009, apabila 49 orang di dalam pesawat Colgan Air terhempas di New York. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg