Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesawat hantar isyarat cemas hanya 30 saat selepas berlepas

Jun 13, 2025 | 2:18 PM
Nahas Air India, mangsa korban
Serpihan pesawat Air India Penerbangan 171 kelihatan berselerakan selepas terhempas di kawasan perumahan berhampiran lapangan terbang di Ahmedabad pada 13 Jun 2025. Pasukan penyelamat bersama anjing pengesan menjalankan operasi menyeluruh di tapak nahas pada 13 Jun, susulan tragedi pesawat penumpang yang dalam penerbangan ke London itu merempuh kawasan perumahan di Ahmedabad, India, mengorbankan sekurang-kurangnya 265 nyawa termasuk mereka yang berada dalam pesawat dan di darat. - Foto AFP

AHMEDABAD: Sejurus selepas berlepas, kokpit membuat panggilan kecemasan ‘mayday’, kata pengawal selia penerbangan India.

Tiada maklum balas diberikan oleh pesawat Air India selepas itu.

Tidak jelas apa yang mendorong panggilan ‘mayday’, tetapi satu-satunya mangsa penerbangan yang terselamat memberitahu media India bahawa beliau mendengar dentuman kuat ketika pesawat itu semakin tinggi di angkasa.

Isyarat ‘mayday’ merupakan panggilan kecemasan antarabangsa yang menandakan keadaan mengancam nyawa.

Rakaman menunjukkan pesawat itu terbang rendah di atas kawasan yang kelihatan seperti kawasan perumahan.

Data akhir yang dihantar menunjukkan pesawat itu mencapai ketinggian 190 meter.

Pakar penerbangan, Encik Sanjay Lazar, ketika mengulas kejadian itu kepada syarikat media, NDTV, berkata kegagalan teknikal dipercayai berlaku ketika pesawat berada pada ketinggian rendah sekitar 825 kaki, iaitu hanya beberapa saat selepas berlepas.

Rakaman video sepanjang 17 saat yang tular di media sosial menunjukkan pesawat menjunam ke kawasan perumahan berhampiran lapangan terbang sebelum meletup dan disusuli kepulan asap hitam pekat di udara.

Namun, ia terus menurun dan dikaburkan oleh pokok dan bangunan, sebelum letupan besar berlaku di kaki langit.

“Tidak ada masa untuk juruterbang bertindak balas jika pesawat kehilangan kedua-dua enjin,” kata seorang juruterbang.

Rakaman menunjukkan pesawat itu berada di udara selama 30 saat.

Pesawat itu terhempas di kawasan perumahan, dengan imej menunjukkan blok perumahan rosak teruk di kawasan yang dibina padat termasuk hospital dan bangunan.

Hampir mustahil untuk menentukan secara pasti punca nahas berdasarkan video penerbangan ringkas.

Dentuman kuat menggegarkan kawasan itu. Pesawat terhempas tepat ke asrama doktor di Kolej Perubatan BJ.

Api menjulang ke langit. Debu dan serpihan logam berterbangan. Kawasan itu berubah menjadi zon bencana, seolah-olah sedang dilanda perang.

Pada saat kejadian, difahamkan pelajar dan staf Kolej BJ sedang menikmati makan tengah hari di kantin.

Menerusi video yang tular di laman sosial, mereka berlari menyelamatkan diri dengan meja yang masih penuh dengan makanan ditinggalkan dalam ketakutan.

Bangkai belakang pesawat sepanjang 186 kaki itu kelihatan terkeluar dari tingkat atas kolej. Sayap yang terputus dan cebisan besar pesawat bertaburan di kawasan sekitar.

Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu diterbangkan oleh Kapten Sumeet Sabharwal, dan pembantu juruterbangnya Clive Kundar.

Kedua-duanya sangat berpengalaman, dengan lebih 9,000 jam penerbangan.

Kapten Sabharwal berpengalaman selama 22 tahun sebagai juruterbang syarikat penerbangan komersial.

Pesawat itu membawa 242 orang ketika ia berlepas pada 13:39 waktu tempatan (08:09 GMT), kata pengendali Air India.

Menteri Dalam Negeri India, Encik Amit Shah, berkata pesawat itu membawa 100 tan bahan api – boleh dikatakan muatan penuh – apabila ia berlepas dari Ahmedabad.

Dalam beberapa hari akan datang, siasatan melibatkan kotak hitam pesawat yang merekodkan data penerbangan dan pemeriksaan serpihan akan dimulakan.

Tetapi video yang muncul menunjukkan pesawat itu kelihatan menghadapi kesukaran sebaik sahaja ia berlepas, di tengah-tengah kekurangan kuasa.

Antara spekulasi punca yang dibuat oleh beberapa pakar adalah kemungkinan kegagalan kededua enjin pesawat, namun ini jarang berlaku.

Soalan telah dibangkitkan sama ada pesawat itu telah menggunakan Ram Air Turbine (RAT), sebuah turbin sandaran kecemasan yang bermula apabila enjin utama gagal menjana kuasa untuk sistem penting.

Punca sebenar yang berlaku kepada penerbangan AI171 antara Ahmedabad dengan London Gatwick pada petang 12 Jun hanya akan didedahkan selepas penyiasatan terperinci dijalankan.

Penyiasat India akan disertai oleh pakar dari Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk menentukan punca pesawat itu terhempas.

Kini, pakar penerbangan cuba memahami apakah yang sebenarnya berlaku.

Ada yang percaya kawanan burung mungkin disedut ke dalam enjin, menyebabkan kegagalan menyeluruh seperti kejadian Jeju Air di Korea Selatan

Ada juga yang berkata rakaman video tidak menunjukkan asap atau letupan dari enjin seperti kebiasaan bagi pesawat yang tersedut masuk burung.

Teori lain pula timbul iaitu kemungkinan besar flap pada sayap pesawat tidak berfungsi seperti sepatutnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg