Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesawat terhempas di Brazil, kesemua 61 penumpang, kru maut

Aug 10, 2024 | 2:20 PM
Pandangan udara menunjukkan bangkai pesawat yang terhempas dan mengorbankan kesemua 61 orang di dalamnya di Vinhedo, Sao Paulo, di Brazil pada 9 Ogos. Nahas itu berlaku di sebuah kawasan perumahan, tetapi tiada sebarang korban tambahan dilaporkan.
Pandangan udara menunjukkan bangkai pesawat yang terhempas dan mengorbankan kesemua 61 orang di dalamnya di Vinhedo, Sao Paulo, di Brazil pada 9 Ogos. Nahas itu berlaku di sebuah kawasan perumahan, tetapi tiada sebarang korban tambahan dilaporkan. - Foto AFP

SAO PAULO (Brazil): Sebuah pesawat yang membawa 57 penumpang dan empat kru terhempas pada 9 Ogos di Sao Paulo, Brazil, mengorbankan semua orang di dalamnya, kata pegawai tempatan, lapor akhbar The Straits Times, menukil agensi berita AFP.

Pesawat jenis ATR 72-500 kendalian syarikat penerbangan Voepass itu dalam perjalanan dari Cascavel di selatan Parana ke lapangan terbang antarabangsa Guarulhos di Sao Paulo apabila ia terhempas di bandar Vinhedo.

Voepass pada mulanya berkata pesawat itu membawa 58 penumpang, tetapi kenyataan kemudian di laman webnya menyemak semula angka itu kepada 57 mangsa.

Imej tersiar di media tempatan menunjukkan sebuah pesawat besar menjunam pada kelajuan tinggi, manakala rakaman lain menunjukkan asap berkepul-kepul naik dari lokasi nahas yang kelihatan seperti sebuah kawasan perumahan.

“Tiada mangsa terselamat,” kata pemerintah bandar di Valinhos yang terlibat dalam operasi menyelamat dan pemulihan di bandar Vinhedo berdekatan, dalam e-mel kepada agensi berita AFP.

Vinhedo dengan kira-kira 76,000 penduduk terletak sekitar 80 kilometer ke barat laut Sao Paulo.

Proses mengenal pasti mayat mangsa telah bermula dan “akan diteruskan sepanjang malam,” kata Gabenor Negeri Sao Paulo, Encik Tarcisio de Freitas, kepada pemberita di tempat kejadian.

Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva, mengisytiharkan tiga hari bagi tempoh berkabung.

Voepass berkata ia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk “menentukan punca kemalangan,” sambil memberikan bantuan penuh kepada keluarga mangsa.

Pesawat itu, sebuah turboprop enjin berkembar, berlepas “tanpa sebarang sekatan penerbangan, dengan semua sistemnya beroperasi,” kata syarikat itu.

Agensi kemalangan penerbangan Cenipa Brazil telah melancarkan siasatan.

ATR, pembuat pesawat Franco-Italy dan anak syarikat Airbus, berkata pakarnya sedang berusaha membantu penyiasat.

Seorang pemandu lori, Encik Martins Barbosa, 49, sedang bekerja apabila beliau mengetahui tentang nahas pesawat itu yang berlaku 150 meter dari rumahnya.

“Saya fikir ia mungkin menimpa rumah saya, dengan anak saya di dalamnya,” katanya kepada AFP, sambil menambah bahawa dirinya berasa sedih sebelum mengetahui keluarganya tidak apa-apa.

Cik Nathalie Cicari, yang tinggal berhampiran lokasi nahas, memberitahu CNN Brasil bahawa impak nahas itu “mengerikan”.

“Saya sedang makan tengah hari apabila saya mendengar bunyi yang sangat kuat dan sangat dekat,” katanya, menggambarkan bunyi itu “seperti dron tetapi lebih kuat”.

“Saya keluar ke balkoni dan melihat pesawat itu berpusing. Dalam beberapa saat, saya menyedari bahawa ia bukan pergerakan biasa untuk pesawat.”

Cik Cicari tidak cedera tetapi terpaksa meninggalkan rumahnya yang dipenuhi asap hitam.

Polis tentera di lapangan memberitahu media tempatan bahawa kemalangan itu tidak menyebabkan sebarang korban tambahan di lokasi nahas, dan api yang dicetuskan telah dapat dikawal.

Kotak hitam pesawat itu “telah ditemui, nampaknya tidak rosak,” kata pegawai keselamatan negara Sao Paulo, Encik Guilherme Derrite, kepada pemberita di tempat kejadian. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg